Kita di Malaysia masih dipelihara daripada     gempa bumi, tsunami,  letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat  dunia.   Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.  
Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyakkan  melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat   Yang Maha  Kuasa.   Apatah lagi, di akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan.   Jika tidak, kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal  menimpa secara tiba-tiba tanpa disedari implikasi daripada kemurkaan  Allah terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur.  
Malahan bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan mula dirasai apabila  kerosakan akhlak dan moral masyarakat berada pada tahap    membimbangkan.   Buktinya akhbar melaporkan sejak tahun 2000 hingga 2008,    kira-kira 257,000 bayi didaftarkan tanpa nama bapa oleh Jabatan  Pendaftaran Negara.   Ia bersamaan dengan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap  bulan atau 84 kes setiap hari iaitu tujuh bayi dilahirkan bagi setiap  dua jam.  
Lebih menakutkan apabila akhbar melaporkan kenyataan   Polis  Diraja Malaysia (PDRM) bahawa   517 kes buang bayi direkodkan sejak  Januari 2005 sehingga Januari tahun ini.       Januari lalu,   19 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara.   Institusi kekeluargaan Islam juga turut dilanda kehancuran apabila  pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menyatakan purata satu  pasangan Islam bercerai setiap 15 minit.  
Malapetaka dan kehancuran di kalangan muda-mudi juga tidak dapat dielakkan lagi.   Perkara haram dan dosa jadi   mainan. Arak diminum seperti teh dan  kopi, gejala melepak, berpeleseran jadi hobi mengisi masa lapang dan  berseronok di kelab malam umpama   kemestian.   Kelab gay dan lesbian   mula mendapat tempat  dalam masyarakat kita yang berpegang kepada   kepercayaan kepada Tuhan. 
Rumah urut yang menyediakan khidmat seks beroperasi tanpa halangan  dan banyak lagi bukti kehancuran yang dapat diperhatikan berlaku di  sekeliling kita.    Bukankah semua ini musibah dan malapetaka yang   melanda negara?  Malah jika difikirkan musibah moral dan sosial yang berlaku hari ini  lebih buruk kesannya berbanding tsunami dan bencana alam lain kerana  akan merebak dan berjangkit kepada generasi masa hadapan jika tidak  dibendung dan dibiar berpanjangan.  
Sebelum terlambat, umat Islam   harus menginsafi betapa gegaran  dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan  tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam.   Justeru sebelum tiba detik   menakutkan itu, marilah semua bangkit  daripada tipu daya dan kemewahan dunia yang sementara untuk patuh  kepada Tuhan Yang Maha Esa bagi   kesejahteraan hidup di dunia  dan  akhirat. 
MOHD ALI MOHD DON 
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, 
UiTM Kampus Johor Bahru.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan