Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk  menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku,  apatah lagi di usia yang telah agak banyak ini.Kalaulah aku tahu  beginilah hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap  berwajah tenang. Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di  pipinya malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu.Aku leka.  Leka dengan setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah  dipersoalkan. Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku  lihat ada titisan air mata gugur di pipinya.
Itulah kali terakhir  aku lihat dia menangis. Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya  selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramai  lima orang.
Dia meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah  sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang.  Dalam senyuman yang kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan,  mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus hidupnya sendiri.Aku  tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niat ku  mengahwini Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku memintanya  menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku.
Cuma di kala  itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang  dan syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya,  bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik.Aku  mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri  kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi.
Cuma yang aku  sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang sedari awal memanggil aku  ayah. Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya yang manja  membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan akulah yang paling kalah dengan  kemanjaannya.
Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi  memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan  ayahku malah saudara mara menentang hebat kemahuanku.Apa kurangnya  Nurjannah, soal mereka. Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah.  Dia memiliki semuanya. cantik dan seorang perempuan yang lengkap  memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik.  Dia juga pernah menjadi rebutan pemuda sekampung.
Di antara  mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi pilihan Nurjannah. Tuah  itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku  seramai lima orang. Dia tidak pernah mengeluh keletihan melayan kerenah  anak-anak walau aku kurang membantu.
Keperluanku juga  dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini terhadapnya.  Segalanya cukup sempurna. Pendidikan agama untuk anak-anakku juga  diberikan oleh Nurjannah. Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia  sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan  tanggungjawab mengerjakan sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga  Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan.Bukan sekadar anak-anak malah aku  sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian  kerjaku dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma  capai sahaja. Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah siap membentang  sejadah sembahyang.
Setiap kali aku pulang kerja,  sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di ruang rehat.  Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnyake pasar.  Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup bersamanya,  Nurjannah faham benar seleraku.
Selama sebelas tahun itu  juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku.  Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku mengeluh  kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di  rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi bonus  tahunan oleh majikan, rakan-rakanku resah kerana isteri masing-masing  turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas.
Tetapi  isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati  aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya.  Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku  dengan Normi, madu Nurjannah.
Setelah berkahwin dengan  Normi, barulah aku merasai segala masalah seperti yang dihadapi  teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak perahu boleh diundur,  terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua.  Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang cahaya  mata.Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang sekali  pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang  sebulan sekali. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan anak-anak.  Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya.Walau aku memperlakukannya  sedemikian, dia tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali  kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan. Bersalam dan  mencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan kegemaranku.
Cuma  yang amat aku terasa, aku kehilangan senyuman mesranya. Dia pernah  meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai runcit  berhampiran dengan rumah kami. Aku sedar, mungkin perbelanjaan harian  dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu.Lagipun  Nurjannah tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit.  Aku bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun  dia hanya menggeleng kepala. Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku  setelah aku berkahwin lain.Kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak  pernah menunjukkan tanda-tanda membantah atau marah.
Cuma  antara kami kurang mesra,mungkin kerana sudah jarang berjumpa.  Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik Nurjannah. Kelima-lima anakku  sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menara gading. Terasakan begitu  cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah menjangkau dewasa. Fahmi anakku  yang sulung menjawat jawatan doktor,Fariza menjadi pensyarah, Fakhrul pu  la pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah  tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua hari lagi.
Aku  pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di  majlis bersejarah baginya. Seingat aku telah dua bulan aku tidak  menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik oleh  Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia tidak  pernah menunjukkan riak kurang senang padaku.
Walhal sudah banyak  perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan  rasa memberontak. Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan  seorang suami. Aku akui bukan seorang suami yang adil. Adil dalam  mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namunaku  tidak menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan  yang nyata antara keduanya.
Namun kesalahan masih  berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.! Hari ini  Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang masak lemak cili padi. Selera  sungguh aku makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza yang juga  makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap nasi kemulut. Nurjannah  membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan cerita.Sebenarnya  jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan gelak  tawa Nurjannah.  Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari kemesraannya. Sesudah  makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu disamping Fariza.
Nurjannah  menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat berwarna jingga. Aku  masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku dengan  Normi. Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah lengkap  diisi hampir terlepas dari tanganku.
Aku terpempan.
Terkedu.
Hilang sudah segala kekuatan yang ada.
Aku  cuba menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan dengan realiti atau  sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan bersahaja. Ada  sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku menunggu dengan sabar, mahu  penjelasan yang wajar darinya.
"Bang,lapan belas tahun  yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang permohonan  poligami, Jannah harap abang juga boleh melakukannya sekarang," pintanya  dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati.
Rasanya  ingin gugur air mata lelakiku. Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk  pengorbanan yang telah kau lakukan. Kukira langkah mu tidak akan  terlanjur sejauh itu. Nurjannah, barangkali beginilah deritanya hatimu  dulu, ketika mahu melepas pergi orang yang dikasihi..
"Jannah tak  mahu abang terus dihumban dosa kerana sememangnya abang tidak pernah  berlaku adil. Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan anak-anak  kita terganggu lantaran sikap kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah  sampai ke penghujungnya. Lagi pun kesabaran Jannah sudah tinggal  sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri derhakaapabila kesabaran sudah  tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa,mereka sudah boleh hidup  sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian  kepadaku.
"Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk  hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung  mata Fariza dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. "Kami bukan  tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak  jaga mak cik Normi, kan ayah tak pernah tinggal mak cik Normi  sorang-sorang."
"Jannah, abang tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi," pintasku cuba melerai! kekusutan yang membelit diri.
"Sejauh  mana sekali pun abang tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka.  Tanda tangan borang tu bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.
Aku  rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi  pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku.  Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh Nurjannah  isteriku.
Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk,  Nurjannah hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku  mencari-cari sejadah yang terbentang. Tiada.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan