Sirah nabi banyak mengajar kita berkenaan kepimpinan. Bagaimana tauladan  memimpin boleh dilihat melalui tindak-tanduk Nabi s.a.w dan para  Sahabatnya.
Seruan Nabi s.a.w tidak sekadar kepada mereka yang  miskin sahaja. Bahkan keseluruhannya sama ada yang kaya, tua, muda hatta  kepada hamba abdi.
Yang menerima Islam di kalangan yang miskin  seperti Suhaib Ar-Rumi yang berbangsa Rom. Mereka yang kaya sendiri  adalah Uthman bin Al-Affan dan Mus’ab bin Umair. Bilal bin Rabah, Ammar  bin Yassir hamba kepada Bani Makhzum adalah mereka yang memeluk Islam  dari kalangan hamba.
Namun, kebanyakan yang awal menerima Islam dari kalangan orang miskin.
Yang  kaya, apabila berjuang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, selepas  itu mereka menjadi miskin. Bukan itu kehendak mereka, bahkan tuntutan  amanah perjuangan Islam.
Diriwayatkan bahawa Suhaib Ar-Rumi  adalah pendatang daripada negara Rom. Beliau miskin tetapi bijak  berniaga. Tinggal di Makkah akhirnya dia menjadi jutawan. Namun apabila  diminta berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah s.a.w., seluruh  kekayaannya ditinggalkan.
Kaum Quraisy berkata kepadanya:  “Dahulu kamu datang kepada kami sebagai seorang yang miskin hina.  Kemudian kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang  kamu nikmati (di Makkah). Sekarang kamu hendak keluar (ke Madinah)  membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja?”
Suhaib berkata: “Aku  akan menyerahkan seluruh harta, maka adakah kamu lepaskan aku pergi  berhijrah?”. Jawab mereka: “Baiklah.” Lalu jawab Suhaib: “Kalau begitu  aku serahkan semua hartaku.”
Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda: “Sungguh beruntung Suhaib!”.
Mus’ab  bin Umair juga seorang yang kaya. Apabila keluarganya mengetahui  keIslamannya, lalu beliau diusir keluar dari rumah. Daripada seorang  yang kaya, dia menjadi miskin sehingga tubuhnya diriwayatkan mengelupas  seperti ular.
Begitu juga Saidina Uthman bin Affan. Diriwayatkan  daripada Imam Tirmizi bahawa ketika Rasulullah memerintahkan sesiapa  yang boleh membeli Telaga ‘Al-Ruumah’ yang sangat mahal dan diwakafkan  kepada umat Islam untuk digunakan airnya, beliau membelinya. Walaupun  pada ketika itu umat Islam tidak mampu.
Selepas beliau menjadi  khalifah Islam ketiga, yakni di akhir pemerintahannya, beliau hanya  memiliki dua ekor unta sahaja yang akan digunakan untuk beliau berangkat  ke Makkah untuk menunaikan Haji dan pulang ke kampung halamannya.  Daripada seorang yang kaya, beliau menjadi miskin kerana menunaikan  amanah rakyat.
Hari ini sangat sedih, banyak pemimpin menjadikan  amanah jawatan sebagai pengumpul harta. Sebelum menjadi pemimpin, dia  miskin, selepas menjawat jawatan menjadi kaya. Sangat berbeza dengan  sahabat Nabi s.a.w
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan