سباب المسلم فسوق وقتاله كفر - متفق عليه
Maksudnya:   “Menghina, mencerca, mencaci maki seseorang Islam adalah fasiq, dan   membunuh orang Islam adalah kufur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Berdasarkan   hadis ini ada dua golongan manusia yang amat buruk di sisi Allah.   Golongan itu ialah fasiq dan kufur yang kedua-duanya terdiri daripada   orang Islam sendiri.
Fasiq   ialah orang yang mengekalkan dosa kecil. Namun dosa kecil yang besar  di  sisi Allah ialah menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang   Islam. Kalau umat Islam sering terlibat dalam perbuatan itu, mereka   dicap sebagai fasiq. Dan orang fasiq dalam bahasa Melayu bermaksud orang   jahat.
Orang  yang fasiq, cakapnya tidak  boleh dipercayai maka sebab itu Allah  mengingatkan umat Islam, “jika  datang orang fasiq membawa berita,  hendaklah kamu selidik terlebih  dahulu.” Jadi, kalau pemimpin yang naik  dengan cara itu, sudah tentu  dia termasuk dalam kategori fasiq.
Kufur   pula ialah orang yang melakukan dosa besar. Kufur dalam bahasa yang   mudah difahami ialah golongan yang suka menyalahi dan mempertikaikan   larangan Allah. Maka berdasarkan hadis di atas, orang yang terlibat   dalam membunuh orang Islam adalah dosa besar. Oleh sebab itu mereka   dicap sebagai kufur.
Walau   bagaimanapun dalam senarai dosa besar, terdapat dosa besar yang kecil   di sisi Allah namun besar di sini manusia. Dosa tersebut ialah membuat   fitnah dan menyebar fitnah. Hal ini kerana fitnah di sini Allah adalah   lebih dahsyat daripada pembunuhan. Demikian seperti yang difirmankan   Allah dalam al-Quran.
Kecilkah fasiq?
Fasiq   walaupun melibatkan mereka yang melakukan dosa kecil, tetapi tidak   boleh dipandang remeh oleh umat Islam. Hal ini kerana orang yang fasiq   dalam Islam tidak sah menjadi wali pernikahan anak perempuannya. Dan   seseorang yang fasiq juga tidak sah menjadi saksi dalam apa-apa majlis   yang memerlukan saksi.
Begitulah   buruknya nilaian orang fasiq. Tetapi mungkin kerana umat Islam tidak   sedar akan nilaian itu, maka mereka terus melakukan fasiq. Mungkin   mereka beranggapan bahawa fasiq boleh terhapus dengan isytighfar. Dan   dosa kecil boleh terhapus dengan wuduk, maka bolehlah dosa itu   dilanggar. Inilah salah faham yang menyebabkan umat Islam terus memilih   fasiq tanpa ada rasa berdosa.
Sebenarnya   jika merujuk kepada kepada hadis di atas, Rasulullah mengingatkan umat   Islam tentang dosa menghina, mencerca, caci maki dan mengumpat orang   Islam. Sebaliknya dalam dalam, keburukan seseorang Islam wajib ditutup   oleh orang lain. Ingatlah walaupun mendedahkan keburukan yang kita lihat   pada seseorang dikira dosa kecil tetapi dosa itu berada pada tingkat   tertinggi. Maknanya orang yang terlibat dalam dosa ini berada pada   kedudukan fasiq yang tertinggi. 
Jelas,   fasiq bukan perkara kecil yang boleh dikecil-kecilkan oleh umat Islam.   Jadi, dalam keadaan apa pun, umat Islam mesti mengawal diri daripada   terlibat dalam fasiq lagi. Apalah faedahnya kita dinilai hebat di sisi   manusia tetapi dinilai fasiq di sisi Allah? 
Cuma   bersoalan sekarang, berapa ramai umat Islam yang menyedari peringatan   Rasulullah itu? Mengapa mereka masih mahu dicap sebagai fasiq? Mahukah   mereka dihalang daripada menjadi wali atau saksi untuk sesuatu   pernikahan? Atau adakah mereka sanggup dipanggil orang jahat.
Sebenarnya,   orang yang melakukan dosa di atas pada sisi Allah seperti seseorang   yang memakan bangkai saudaranya sendiri. Firman Allah:      
Maksudnya:   “Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah daripada banyak   bersangka-sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)   kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan   janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;   dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah   seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?   (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik   kepada-Nya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan   bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi   Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat: 12)
Bayangkan   ketika anda hendak mencerca seseorang, dan setiap kali anda hendak   menuturkan kata-kata itu, rasakan seolah-olah anda sedang menyuapkan   daging saudara yang yang baru mati ke mulut anda. Sanggupkah anda   meneruskan cercaan itu?
Oleh   sebab itu hentikan cercaan itu. Sedarlah, mereka yang terlibat, masih   diberi peluang untuk bertaubat. Semoga dengan ini diri mereka boleh   dibersihkan daripada dosa fasiq.
Selain   itu, mereka yang mencintai dunia lalu tunduk kepada kehendak dunia   lebih daripada kehendak Allah dan Rasul juga tergolongan sebagai orang   fasiq juga. Firman Allah:
Katakanlah   (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan   saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan   kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan   yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu   sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai   lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk   ugama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya   (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada   orang-orang yang fasik.” (Surah al-Taubat: 24)
Oleh Ust Ahmad Baie Jaafar
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan