Isnin, 11 Julai 2011

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Ramadhan AlMubarak...!!!

pada 01hb Ogos pukul 4.30 pagi di 
Di rumah sendiri,masjid,surau,dan di mana jua tempat yang sesuai untuk beribadah

Marhaban Ya Ramadhan Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan yang penuh mulia, Bulan Ramadhan yang penuh dengan Rahmat serta mengandungi hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu marilah kita sama-sama mengucapkan " Marhaban Ya Ramadhan " Selamat datang Ramadhan mengandungi erti bahawa kita menyambut Ramadhan dengan berlapang dada, penuh kegembiraan dan tidak dengan keluhan. Rasulullah SAW sendiri sentiasa menyambut dengan gembira setiap kali ketibaan Ramadhan. Berita gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya sambil bersabda; " Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. 

Allah memfardukan atas kamu puasanya. Didalam bulan Ramdhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan. " HR Ahmad 

Marhaban Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci itu kerana kita mengharapkan agar jiwa dan raga kita diasah dan diasuh untuk melanjutkan perjalanan menuju ke pangkuan Allah SWT. Perjalanan kepada Allah itu dilukiskan oleh ulama salaf sebagai pengalaman yang penuh ujian dan rintangan. Ada gunung yang harus dihakis. Itulah nafsu. Di gunung itu ada lereng yang curam dan ganas pula perjalanannya tetapi apabila tetap membaja sebentar lagi akan nampak cahaya terang-benderang dan saat itu akan nampak dengan jelas rambu-rambu jalan, nampak tempat-tempat yang indah untuk berteduh serta telaga- telaga jernih untuk melepaskan dahaga. 

Apabila perjalanan dilanjutkan akan ditemukan kenderaan Ar-Rahman untuk membawa musafir bertemu dengan kekasihnya. Untuk sampai pada tujuannya, tentu diperlukan bekalan yang mencukupi. Bekalan itu adalah benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa kita. Tekad yang keras dan membaja untuk memerangi nafsu agar kita mampu menghidupkan malam Ramadhan dengan sholat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama. Melangkah masuk gerbang puasa, bererti memasuki gerbang untuk merenungkan dan latihan. 

Oleh itu, sudah semestinya sebelum melangkahkan kaki kita perlu menyiapkan diri serta menyediakan bekalan yang perlu. Bekalan serta latihan yang perlu disediakan ialah : 

* Mengulangkaji pelajaran berkenaan puasa, agar apabila kita memasuki dan menjalani ibadah puasa itu dengan pengetahuan yang diperbaharui dengan mempunyai pedoman yang baik dan petunjuk yang sempurna. 

* Memperlihatkan kegembiraaan dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa, sebagaimana dilalui Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. 

* Memperbanyakkan doa semuga Allah memberikan tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah mentaufikkan kita supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur dan tulus ikhlas, jauh daripada perasaan ria, ujub, sumah dan segala penyakit yang menghilangkan pahala puasa. Kata Al Mualia ibn Fadlil; " Para sahabat membagi tahunnya kepada dua bahagian. Bahagian pertama, mereka menggunakannya untuk memohon kepada Allah agar menerima puasa yang dilaksanakan. Bahagian kedua, mereka menggunakannya untuk berdoa, memohon dan mengharap kepada Allah agar memberikan tenaga dan kekuatan untuk melaksanakan puasa yang akan datang itu." 

* Menguatkan semangat untuk menjalankan latihan dengan sempurna, agar kita memperolehi kesan-kesan yang diharapkan daripada berpuasa itu. Bulan puasa itu adalah bulan latihan jihad, memerangi hawa nafsu serta tamak . Bulan puasa itu juga adalah bulan bercucuk tanam untuk AKHIRAT, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan mensucikan diri dari dosa serta menghias diri dengan budi pekerti yang tinggi. Oleh itu, kita perlu menyiapkan diri bagi menunaikan segala hak puasa. 

* Menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amalan yang kita tanam pada bulan Ramadhan. Ini adalah kerana jika seseorang menanam benih, tidak menyiraminya dan tidak menjaganya dengan baik, akan mengeluh dan menggigit jari ketika menuai kelak iaitu ketika dihadapan ALLAH SWT 

* Membuang adat tradisi yang memberatkan. Kita dapati sebahagian besar umat Islam menanti kehadiran bulan puasa dengan memberatkan diri dalam urusan pembelanjaan dan macam-macam barangan dibeli untuk menyambut puasa. Seorang ulama Salaf menjual jariahnya kepada seorang saudagar hartawan, maka ketika jariah itu melihat betapa besar himmah tuannya yang kaya raya itu dalam menyediakan makanan puasa, dia bertanya kepada tuannya itu; " Untuk apakah tuan menyediakan makanan ini, selama yang sudah-sudah, tuan tidak sesungguh ini mencari dan mengumpulkannya? " Saudagar hartawan itu menjawab, " Untuk bulan puasa yang sedikit hari lagi akan tiba ". Mendengar jawapan tuannya, jariah itu berkata, " Kiranya tuan tidak pernah berpuasa selain daripada puasa bulan Ramadhan dan kiranya tuan mengadakan puasa Ramadhan itu untuk bersedap-sedapan dan membanyakkan makanan, saya tidak dapat bersama tuan, sudilah kiranya tuan menjual saya kembali kepada tuan saya yang dahulu. 

" Memberatkan diri dan boros berbelanja kerana puasa adalah keadaan yang tidak sekali- kali disukai syara. Syara menyuruh kita membanyakkan memberi makanan kepada fakir miskin dan memenuhi dengan sempurna hak keluarga, bukan menyuruh kita membanyakkan makanan pada bulan puasa ini. Itulah bekalan serta latihan yang perlu kita laksanakan bagi menyambut kehadiran Ramadhan. Bekalan serta latihan itu sewajarnya membantu kita melaksanakan ibadah puasa dengan penuh nikmat serta memenuhi kehendak agama Islam. 

Rasulullah mempunyai tatacaranya tersendiri ketika menyambut Ramadhan. 

Pertama : Baginda memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Ini dapat dilihat menerusi hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Aisyah yang bermaksud; " Adalah Rasulullah SAW kadangkala terus menerus berpuasa, hingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak pernah berbuka dan kadangkala terus berbuka hingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat. Namun demikian saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda banyak berpuasa sebagaimana puasa di bulan Syaaban.

" Kedua : Mengadakan ceramah pada akhir bulan Syaaban untuk menyambut Ramadhan. Pada hari terakhir bulan Syaaban, Rasulullah berceramah di hadapan golongan sahabat untuk menerangkan keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman yang bermaksud; " Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Syaaban berkhutbah dihadapan kami. Maka baginda bersabda; ' Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepadamu puasaNya . 

Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada satu malam yang terlebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan. " Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, maka " Selamat datanglah " kepadanya. Wahai manusia! Sesungguhnya kamu akan sentiasa dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, bulan yang Allah menjadikan puasanya satu kewajiban dan qiam pada malam harinya suatu tatawwu. 

Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan didalamnya samalah dia dengan orang yang menunaikan sesuatu fardhu pada bulan lainnya. Ramadhan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan yang memberikan pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, yang demikian itu adalah pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. 

Orang yang memberikan makanan itu akan memperolehi pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa. Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan walaupun sebutir kurma, atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya Rahmah, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan daripada neraka. Barangsiapa yang meringankan beban seseorang ( membantunya ) nescaya Allah mengampuni dosanya. 

Oleh itu banyakkanlah yang empat perkara pada bulan Ramadhan. Dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Allah dan dua perkara lagi kamu sangat menghayatinya. Dua perkara yg pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepadanya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan perlindungan daripada neraka. Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada kolamKu dengan sekali minum, dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya sehingga dia masuk ke dalam syurga. 

Berdasarkan hadith ini maka sudah sewajarnya ketika mengakhiri bulan Syaaban untuk memasuki bulan Ramadhan, kita mengadakan pertemuan atau ceramah bagi memberi panduan kepada masyarakat iaitu apa yang perlu dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan kelak. 

Ketiga: Mengucapkan "Niat" kerana ketibaan bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ahmad dan An Nasa-i dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW sentiasa menggembirakan kalangan sahabat atas ketibaan bulan Ramadhan. Rasulullah SAW menggembirakan kalangan sahabat dengan hadithnya yang bermaksud; " Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahmu berpuasa didalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. " 

Berdasarkan penerangan hadith ini, perlulah kita mengucapkan tahniah sebagai tanda kegembiraan menyambut bulan yang berbahagia ini. Kita perlu memberi ucap selamat keatas ketibaan bulan yang dibuka didalamnya segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka, serta dibelenggu segala syaitan. Justeru bagi menyambut kehadiran Ramadhan ini kita berusahalah mengikuti segala garis panduan yang dinyatakan. Semuga kehadiran bulan Ramadhan ini akan memberi cahaya keimanan yang lebih terang buat kita semua. 

"Amin Amin Ya Rabbal A'lamin"

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah.... banyak perkongsian yang bermanfaat. Sesungguhnya kita sedang melalui perjalanan yang diperjalankan... :) Senang-senang, jemput ke kindhearty.blogspot.com.

    BalasPadam