Kekosongan dan bosan dalam hidup, petanda kurang Iman
Kekosongan di dalam hidup, 'boring' dan bosan, tak tahu nak buat apa ialah petanda hidup kita jauh daripada Tuhan dan tidak ada matlamat serta tujuan. Sedangkan kehidupan orang yang beriman sentiasa padat dengan pelbagai kejutan, keindahan dan kebaikan yang mampu memberi hembusan kebahagiaan.
Hal ini dapat dilihat pada teladan yang ditunjukkan oleh seorang insan yang terbaik selepas Rasulullah salallahualaihiwassalam di dalam hadith yang menyebut bahawa baginda bertanya kepada sahabatnya :
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلاَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
Maksudnya : 'Siapakah di antara kamu yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar RA pun menjawab: “Saya.” Baginda bertanya pula: “Siapakah yang pada hari ini telah mengiringi jenazah?” Lalu Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Rasulullah kemudian bertanya lagi: “Siapakah yang pada hari ini telah memberi makan kepada orang yang miskin?” Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Rasulullah kemudian bertanya lagi: “Siapakah di antara kamu pada hari ini yang telah mengunjungi orang sakit?” Maka Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Maka Rasulullah salallahualaihiwassalam pun bersabda: 'Tidaklah terkumpul semua perkara tersebut pada seseorang kecuali dia akan masuk syurga.' [riwayat Muslim]
Begitu padat hidup Abu Bakar RA dan diberkati masanya dalam sehari dengan pelbagai kebaikan sedang kita pula diselubungi dengan rasa bosan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan ?
1. Jika kita punya isteri dan anak, nikmatilah masa dengan mereka dan gunakannya untuk mengajar mereka menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
2. Jika kita bujang, carilah kawan dan isi masa dengan ilmu pengetahuan atau amal ibadah dan mencari pengalaman hidup.
Terlalu luas dunia ini untuk kita lawati sepanjang hayat, terlalu banyak pengetahuan untuk kita kuasai dalam usia yang diberikan dan terlalu banyak peluang serta idea yang boleh kita usahakan untuk membuahkan hasil dan manfaat kebaikan.
Jangan sampai kita dipermainkan oleh syaitan !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan