Rabu, 13 Mei 2015

hadis palsu

Penyebaran hadith palsu dan kesannya dalam kehidupan Muslim


Apabila disebut tentang hadith palsu, tentu banyak perkara yang bermain dalam fikiran kita.

Artikel ini adalah ringkasan Forum Darul Hadith: “Penyebaran hadith palsu dan kesannya dalam kehidupan muslimin” di Sekolah al-Irsyad, Batu 3, Kuantan pada  27 April 2014. Bersama al-Fadhil al-Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Mohd Khairil Anwar dan Ustaz Nasrullah hafizahumullah. Sebahagian daripada isi artikel ini adalah daripada saya sendiri. Maka, sekiranya ada fakta atau point yang salah, mohon dimaklumkan.


1. Antara punca munculnya golongan yang mencipta hadith palsu ialah sikap masyarakat yang meninggalkan al-Quran. Nuh bin Abu Maryam telah mencipta hadith berkaitan fadhilat membaca surah-surah al-Quran.

Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain.

Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “Aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi, 1:240]

2. Contoh hadith palsu yang pernah hangat diperkatakan ialah: “Barang siapa berpuasa 2 hari di awal Rejab seakan ibadah 2 tahun. Barang siapa mengingatkan orang lain tentang ini, seakan ibadah 80 tahun” dan juga beberapa hadith yang menyebut fadhilat yang melampau dan berlebihan bagi amalan dalam bulan Rejab.

Tiada hadith yang sahih mengatakan fadhilat amalan khusus dalam bulan Rejab. Tiada masalah untuk beramal dengan ibadah sunat biasa seperti puasa isnin dan khamis, qiamullail, bacaan Quran dan wirid yang tsabit daripada Nabi SAW.

3. Sebahagian golongan yang mempertahankan tindakan mencipta dan menyebarkan hadith palsu mengatakan mereka bukan berdusta ATAS nama Nabi tapi UNTUK nabi. Agama ini telah sempurna. Nabi tidak memerlukan sesiapa untuk memperkatakan sesuatu BAGI pihak baginda.

4. Berdusta atas nama nabi SAW hukumnya dosa besar.
Daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نِيحَ عَلَيْهِ يُعَذَّبُ بِمَا نِيحَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta kepadaku tak sama dengan orang yang berdusta atas orang lain. Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia bersiap-siap (mendapat) tempat duduknya di neraka. Aku juga mendengar Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang meratapi mayat maka mayat itu akan diseksa disebabkan ratapan kepadanya” – Hadith riwayat al-Bukhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan