Sabtu, 12 November 2022

Pojitip

 Assalamu'alaikum dan salam sejahtera semua

Izinkan saya untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang guru. 

Saya pernah dilantik menjadi salah seorang AJK Lembaga Disiplin Sekolah. Ada satu seminar (dah lupa tahun bila)  yang saya hadiri bersama PK HEM,  yang ketika itu diadakan di sebuah hotel. 

Peceramah adalah bekas seorang Nazir Sekolah. Beliau menceritakan pengalaman beliau ketika membuat lawatan mengejut ke beberapa buah sekolah termasuk beberapa sekolah di pedalaman(sekolah orang asli). 

Dalam lawatan tersebut beliau telah membuat rumusan yang positif(laporan sebenar kita tidak tahu) . Beliau juga dulunya seorang guru sekolah menengah. 

Antara yang beliau sebutkan hampir kesemua sekolah meletakkan papan tanda atau arahan yang ditampal/digantung dalam frasa negatif. Sebagai contoh: 'Dilarang masuk', ' Jangan bising',  'Dilarang pijak rumput' dan banyak lagi. Hanya sebuah sekolah menengah di sebuah pekan yang meletakkan papan tanda dalam frasa positif.

Pada mulanya beliau agak terkejut dengan papan tanda sekolah tersebut kerana kesemuanya ditulis dalam frasa positif. Antaranya : Di pintu pejabat tertulis :"Sila masuk untuk berurusan", di kawasan larangan pijak rumput ditulis :" Sila ikut laluan ini". Di bilik disiplin pula tertulis: "Bilik Pemurnian Minda". (yang selebihnya saya sudah lupa) 

Jadi, apa kata sekolah kota pun berbuat demikian juga. Mungkin nampak kekok pada mulanya tetapi jika sudah terbiasa ia menjadi budaya yang positif dalam jiwa murid-murid. 

Begitu juga halnya dia melihat guru disiplin menahan pelajar yang datang lewat, guru tersebut menegur sambil berkata, :" Saya lebih suka jika awak datang awal ke sekolah".

Ketika pengetua berselisih dengan murid yang tidak memakai lencana pula (ketika itu lencana pin), pengetua berkata :" Memakai lencana sekolah wajib dalam peraturan sekolah,  saya lebih seronok melihat murid saya memakai lencana".  Tidak ada perkataan yang kasar keluar dari mulut pengetua. 

Jadi bolehkah sekolah kita juga berbuat demikian?  Sekadar berkongsi pengetahuan. Cubalah, mungkin kesannya bukanlah secara mendadak, mungkin lama kelamaan akan berhasil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan