Lebih dua dekad saya menjadi seorang pensyarah, nampak ketara perubahan perangai pelajar yang memeningkan kepala.
Jika dulu, masalah yang selalu dihadapi adalah isu kehadiran.
Pelajar selalu tidak hadir ke kelas. Antara sebab ponteng adalah bangun lewat, tayar motor pancit, ataupun ada yang jenis melepak di kafe siber bermain 'game' sampai lewat pagi.
Kalau prestasi merosot pun sebab inilah, ketagihan pemainan video.
Masalah pelajar zaman sekarang pula berbeza. Lebih kepada emosi.
Mahu tukar kumpulan yang telah ditetapkan oleh unit akademik kerana tidak suka dengan pelajar lain di dalam kumpulan itu.
Tidak dapat tukar, ibubapa telefon pensyarah, suruh tukarkan. Permintaan tak dipenuhi, ugut mahu telefon dekan pula.
Anak pula mengamuk permintaan tak dipenuhi. Ini nanti kalau bekerja, adakah akan ulang perkara yang sama?
Telefon majikan sebab anak tak suka rakan sekerja?
Masalah lain pula, mahu berhenti atau pindah universiti sebab tidak suka dengan pelajar lain di kampus.
Sampai bila mahu lari dari masalah? Pindah universiti, adakah yakin tidak berjumpa dengan pelajar lain yang menyakitkan hati?
Sikap tak mahu membaca dan mahu disuap.
Sudah diberi pautan senarai kursus yang ada, sudah diberi nombor telefon pegawai bertugas, sudah diberi segala pautan yang diminta, tapi ulang lagi minta itu dan ini.
Bila ditanya, baca atau tidak apa yang diberi, "Tak, oh ada dalam link itu ke?"
Aduh anak, bagaimana mahu jadi siswazah jika begini sikapnya?
Bagaimana majikan mahu ambil sebagai pekerja jika mahu semuanya disuap?
Ini universiti, bukan sekadar belajar untuk dapatkan ijazah. Tapi di universiti tempat belajar berdikari, mencari kenalan, bina kekuatan diri.
Entahlah... kadang penat, kadang risau dengan generasi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan