Isnin, 13 Oktober 2025

Moral

 "Kalaulah budak perempuan tu kelar diri dia atau apa-apa jadi dekat dia. Semua tu salah kau! Tahu?", marah pengawai akhlak pada seorang remaja sewaktu sesi mahkamah.


Semua peguam lain di mahkamah menyaksikan prosiding itu mendengar nasihat dan teguran pada tertuduh remaja ini. Masing-masing menyaksikan sambil menanti sesi kes mereka dipanggil.


Saya baru tiba, perbicaraan kes saya akan bermula jam 11 pagi di Mahkamah. Saya sampai awal. Sempatlah saya menyaksikan prosiding kes ini juga.


Sebelum saya masuk bilik mahkamah, saya lihat semua orang ada awam di luar. Jadi saya tahu prosiding ini untuk mahkamah kanak-kanak. Tertutup. Hanya peguam-peguam dibenarkan masuk.


"Kau dengan kawan-kawan kau, sama-sama buat. Bila dah jadi kes macam ni, yang ada bukan kawan-kawan kau. Tengok bapa kau yang kena datang dan sama-sama. Kesianlah dekat dia".


Pegawai ini jenis tegas. Bila bercakap mukanya serius. Suaranya lantang. Tak beri muka. Bagus. Tegas. Setiap perbuatan salah perlu ada tindakan.


Saya jadi tertanya-tanya apa kesalahan remaja ini kerana masuk separuh jalan prosiding.


Ada 2 pegawai yang bersidang bersama di Mahkamah Kanak-Kanak hari itu. Lelaki dan perempuan. Dua-dua tegas. 


Mereka berikan giliran si bapa berikan alasan-alasan kepada mahkamah kenapa teruduh tidak patut dihantar ke pusat pemulihan akhlak.


"Saya akan pantau penggunaan telefon dia. Sebab dia banyak masa dengan telefon. Saya dan isteri akan pastikan sentiasa pantau dia", terang si bapa.


"Anak encik ada anak yang lain juga ni. Encik berniaga dan isteri pun kerja. Nanti takut tak sempat nak pantau dia. Selain dari Encik cakap ni, ada apa-apa lagi kaedah untuk pemulihan dia?", tanya salah seorang pegawai.


Bapanya si tertuduh jawab tentang pembahagian masa antara dia dan isteri. Tak mahu beri telefon. Kemudian lepas balik sekolah, ada jadual disediakan.


"Lagi?", tanya pegawai. Si bapa diam. Barangkali dia sedang memikirkan apa lagi kaedahnya. 


Kemudian pegawai itu sambung, "Dari segi agamanya encik? Moralnya? Apa encik nak buat? Apa usaha untuk perbetulkan untuk masuk dalam jiwa dia. Terangkan. Kami nak dengar. Kita nak dia betul-betul berubah".


Sesuatu yang sering dilupakan. Agama. Benarlah sepanjang memberi segala alasan. Bab agama ini, tidak langsung disentuh.


Realitinya, makin pudar amalan ibu bapa dulu-dulu yang selalu berpesan. "Kau jangan begitu, kau jangan begini". "Berdosa. Allah marah" "Jangan usung anak orang merata". "Bersentuhan haram". "Berzina haram".


Makin pudar sehingga remaja berpeleseran di sana sini. Mengadakan seks awal usia sudah tidak salah. Melahirkan anak nikah semakin diterima. Ada ibu bapa yang sekarang mengizinkan anak remaja bercinta, keluar masuk rumah seperti tiada apa.


Kalau dulu, masih ingat lagi babak dalam filem 'Ali Setan', si Tipah tertipu mengandungkan anak luar nikah. Mengamuk Jins Samsudin memegang senapang.


Bapa tertuduh ini terangkan pada mahkamah. Kemudian mahkamah perintahkan bon kelakuan baik dan beberapa perintah lain. Dia tidak dimasukkan dalam pusat pemulihan. 


Selesai sesinya, kemudian masuk tertuduh kedua dan seterusnya tertuduh ketiga.


Rupanya mereka ini kawan-kawan. Semua mereka berusia 14 tahun. Di sekolah tertuduh pertama ada girlfriend berusia 14 tahun. Mereka bercinta. Dipujuknya tertuduh pertama hantar gambar bogel. Maka girlfriend ini pun hantar gambar. 


Budak perempuan ini pun satu hal juga. Tolonglah tekankan pada anak-anak perempuan. Jaga maruah, jangan jadi bodoh. Bercinta habis semua dibaginya. Baru 14 tahun.


Dapat sahaja gambar tertuduh pertama hantar pada tertuduh kedua dan tertuduh ketiga. Sama-sama seronok bergelak ketawa. Tak cukup dengan itu mereka tularkan satu sekolah. Semua orang di sekolah dapat gambar bogel gadis ini.


Bila tular satu sekolah, cikgu dapat tahu. Cikgu kemudiannya hubungi keluarga pelajar perempuan dan keluarga buat laporan polis. Maka remaja lelaki ini semua dituduh bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Waktu tertuduh kedua diberikan nasihat, ceramah oleh pegawai akhlak di hadapan lebih kurang 10 peguam lain yang sedang menanti kes mereka sepatutnya malu dan kesal.


Saya sempat berpusing ingin melihat muka wajah tertuduh kedua ini. Kita jadi tertanya-tanya. Ingin melihat wajah-wajah generasi pelapis yang..entahlah. 


Saya pusing seketika melihat wajahnya. Dia perasan saya pusing. Dia berpaling dan merenung saya kembali. 


Entahlah, saya tak nampak rasa penyesalan lebih kepada seperti marahkan saya sebab menyibuk halnya. Matanya merenung marah umpama "Apa tengok-tengok?". Entahlah. Tiada penyesalan. 


Sama ada pengalaman di mahkamah itu, siasatan, penahanannya dan segala proses itu memberi pengajaran padanya atau menjadikan dia selepas ini lebih licik untuk 'tutup' jejak jenayah selepas hukumannya selesai.


Benarlah kata pegawai akhlak "Agamanya? Moralnya?". Kita hendak ubah itu ini. Hukum itu ini tetapi dalam jiwanya yang telah jauh dan rosak. Bagaimana? Bab agama dan moral ini sebenarnya dipupuk dari kecil. Baru akan sebati dengan jiwanya.


Kes ini bukan berlaku di luar negara. Dalam negara kita sendiri.


Berpesan-pesanlah pada anak-anak lelaki kita, jangan jadi kejam begini. Ikut suruhan agama dan moral. Tanam sifat kemanusiaan.


Berpesan-pesanlah kepada anak perempuan kita. Jaga diri. Jaga maruah. Ikut suruhan agama. Jangan jadi bodoh dan jangan jadi mangsa.


Oleh Nor Zabetha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan