Soalan Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka. Dalam masa yang sama makhluk ini memusuhi manusia dan sering menyakiti manusia. Senang mereka memperlakukan manusia kerana mereka dapat melihat manusia. Mengapa begitu, harap Dato' jelaskan.
Jawapan Bukan semua makhluk halus sentiasa mencelakakan manusia. Ada di kalangan mereka yang beragama Islam dan ada yang kafir. Yang Islam kebiasaannya seperti manusia. Makhluk halus yang benar-benar Islamnya tidak akan menyakiti mana-mana makhluk. Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Seorang muslim yang sebenar adalah seorang muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada makhluk lain sama ada melalui lidahnya mahupun perbuatannya." Manusia muslim dengan makhluk halus yang muslim adalah bersaudara berdasarkan Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya):
"Sesungguhnya semua orang mukmin itu adalah bersaudara." Makhluk halus yang benar-benar muslim menjadi saudara kepada kita dan tidak akan menyakiti kita. Bagaimanapun, permusuhan merupakan salah satu sifat yang ada pada manusia dan makhluk halus. Seperti manusia, sesama mereka pun bermusuhan, berperang dan berbunuhan, sifat yang sama juga ada pada makhluk halus. Allah menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia dengan mereka tidak dapat melihat makhluk halus. Allah menciptakan suatu 'filter' atau penutup di mata, iaitu pada kebiasaannya kebanyakan manusia tidak dapat melihat makhluk halus.
Jika kita boleh nampak mereka sebagaimana mereka nampak kita, manusia tidak akan senang duduk, sentiasa terancam dan diancam. Nescaya manusia tidak boleh berehat dan jauh sekali hendak tidur nyenyak kerana asyik terlihat rupa-rupa mereka yang menakutkan. Disebabkan kita tidak dapat melihat mereka, maka kita boleh duduk bersenang lenang, berehat dan tidur tanpa sebarang gangguan, meski pun mereka berada di sekeliling kita.
Cuba kita bayangkan, jika sekiranya kita berada di dalam bilik tidur, tiba-tiba ternampak makhluk seperti ular atau pun seperti anjing hitam lari masuk ke bawah katil kita, tentulah kita akan mencarinya hingga dapat. Jika tidak dapat, sudah tentu kita tidak akan nyaman tidur dan mungkin berpindah ke bilik lain. Oleh kerana itu, kita harus faham bahawa dengan tidak dapat melihat makhluk halus dikatakan dikatakan suatu nikmat yang besar. Makhluk halus boleh menyakiti manusia, jangan lupa, manusia juga boleh menyakiti makhluk halus. Manusia takut kepada mereka, jangan lupa mereka juga takut kepada kita.
Malah sebenarnya makhluk haluslah yang lebih takut kepada manusia, khasnya orang-orang yang sangat tinggi darjat ketaqwaannya kepada Allah SWT. Disebut dalam satu hadis, Nabi s.a.w mengatakan (mafhumnya): "Sekiranya Umar al-Khattab mengikuti suatu jalan ke suatu arah, tiba-tiba ada syaitan (makhluk halus) mereka akan bertempiaran lari mengikut jalan lain kerana tidak mahu berjumpa dengan Umar." Dengan berlakunya makhluk halus menyakiti manusia, maka manusia boleh mempertahankan dirinya dengan cara mendekati Allah, memohon perlindungan kepada Allah SWT.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."(Surah al-A'raaf, ayat 200) Firman Allah (mafhumnya): ""Dan jika kamu ditimpa suatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka berlindunglah dengan Allah SWT, sesungguhnya Dia lah sahaja yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah Fussilat, ayat 36)
Kedua-dua ayat ini membawa maksud yang sama, cuma dalam Surah Fussilat, ada penambahan ayat "hua" atau Dia lah sahaja. Ayat ini Allah memberi penekanan bahawa Allah sahaja yang akan memberikan perlindungan kepada manusia, mempertahankan manusia daripada kecelakaan yang akan dikenakan makhluk halus.
Insan mukmin sewajibnya hanya takut kepada Allah SWT sahaja, bukan takut kepada makhluk halus. Jika kita takut dengan mereka, ertinya penggantungan kita masih rapuh dan perlu ditingkatkan. Ingatlah bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi, kita adalah "bos" atau "ketua" atau "pemerintah" yang memerintah alam, semua makhluk di muka bumi termasuk makhluk halus kena patuh kepada manusia.
Inilah yang menyebabkan iblis dengki serta iri hati kepada Nabi Adam a.s kerana Adam dan anak cucunya diangkat menjadi khalifah. Maka dengan itu manusia tidak seharusnya takut kepada makhluk halus. Manusia perlu sedar, manusia diberi kelebihan yang tidak diberikan kepada makhluk halus. Firman Allah (mafhumnya):
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai kenderaan di daratan dan di lautan; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan." (Surah al-Isra', ayat 70) Salah satu daripada kelebihan yang Allah berikan ialah, manusia dapat mempertahankan dirinya dari sebarang gangguan musuhnya termasuknya makhluk halus dengan berpegang dan bergantung kepada Allah SWT.
Wallahu a'lam.
Tuan Guru Dato' Dr Haron Din _______ Dipetik dari kitab : "Menjawab Persoalan Makhluk Halus : Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan - Bersama Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan