Bismillah. Banyak kali saya mendengar rungutan staf-staf terutama diperingkat esekutif, di mana bos besar mahukan mereka bekerja lebih masa, supaya ianya menunjukkan kita benar-benar komited dengan kerja. Bagi sebahagian bos mereka suka staf yang balik kerja lewat malam, dan menjadikan dirinya sebagai contoh, dengan balik kerja seawal 10 ataupun 11 malam setiap hari.
Tidak semua kepimpimpinan melalui teladan dapat ditiru ataupun diikuti oleh staf yang menerima arahan. Ini kerana banyak aspek perlu diambil kira. Bos besar seperti CEO biasanya tidak merasa tertekan sewaktu berada di pejabat, berbanding staf biasa, kerana staf biasa kebanyakan masa menerima arahan, manakala bos secara 90% adalah memberi arahan. Saya pernah berada di kedua-dua jawatan itu, apabila menjadi staf, tahap tekanan kita banyak dari segi kita tidak boleh buat apa yang kita suka terutama pada waktu pejabat, manakala bos besar bebas.
Kebanyakan bos besar mempunyai anak-anak yang sudah dewasa sama ada sudah berdikari ataupun sudah tidak tinggal bersamanya lagi. Balik pukul berapa tidak memberi banyak erti kepada kehidupan keluarganya hanya ada isteri ataupun suami di rumah.
Bagi staf biasa, anak-anak yang masih kecil memerlukan banyak tumpuan dan juga kasih sayang, sewaktu pagi sehingga petang, mereka tidak dapat menunaikan sebahagian tanggungjawab sebagai ibu bapa kerana bekerja, oleh itu, mereka mahu balik seawal yang mungkin bagi menguruskan hal rumah tangga dan juga anak-anak mereka, termasuk mendampingi dan berbicara dengan anak-anak.
Saya cukup suka dengan beberapa CEO, tempat lama saya bekerja dahulu kerana mereka sangat mementingkan waktu staf bersama keluarga mereka. Di pejabat saya dahulu sewaktu bertugas dengan Tuan Yim Choong Chow, saya tidak dibenarkan berada di pejabat walaupun 5 minit selewat waktu bekerja tamat. Bagi beliau itu tanda staf yang tidak berkualiti dan tidak cekap. Beliau juga sangat mementingkan waktu stafnya bersama keluarga masing-masing.
Lain kepimpinan, lain pula caranya, saya secara peribadi tidak gemar apabila melihat staf terpaksa bekerja lebih masa. Kerana ianya secara peribadi membuatkan saya bersedih, kerana mereka tidak dapat kebebasan di dalam kehidupan mengikut ajaran Islam yang saya pelajari. Beri ruang supaya staf kita dapat masak makanan malam ataupun pergi ke surau pada sebelah malam, bagi meningkatkan lagi prestasi ketakwaan kepada Allah. Rumah-rumah Allah itu menanti hambaNya datang bersolat berjemaah dan mengimarahkannya.
Lain sekolah, lain pula ajarannya. Hormati perbezaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan