Rabu, 11 September 2013

Surat naik minyak

Semakin hari saya melihat ibu dan ayah saya mengah dengan kerja mereka. Orang kampung, kerja kampung, kerja itulah dari dulu sampai sekarang dan itulah satu-satunya sumber rezeki bagi menyara kehidupan. Pagi-pagi lagi sebelum subuh sudah berjalan pergi menoreh. 

Sebelum tengah hari pulang dan tidur terkapar keletihan. Cukup empat hingga lima hari, getah sekerap dikutip dan dikumpulkan, lalu dijual dan duit itulah buat belanja harian. Itu tidak termasuk cuaca yang belum tentu cerah setiap hari. 

Apabila kerajaan umumkan harga minyak naik 20 sen, ibu dan ayah ternganga sesama mereka. Orang kampung yang lain, yang memang pro-kerajaan berkata, "Kita orang kampung, bukan kena keluar pergi pejabat naik kereta hari-hari, bukan nak keluar jalan jauh-jauh." Ayah senyap. Kata ayah kepada saya, "Orang kampung kita ni sudah tak boleh buat apa." Saya mengangguk. Ayah terus buat kira-kira, bagaimana dengan belanja minyak yang hanya RM 20 seminggu untuk sebuah kereta kancil akan berubah? 

Orang kampung kata lagi, "20 sen sahaja, biasalah. Negara orang lain semuanya mahal-mahal, itu biasalah kemajuan negara." Bila ayah bersuara mereka mula kata ayah mahu berkempen. Apabila ayah mahu beritahu bahawa kenaikan harga minyak akan menaikkan harga barang, mereka tidak dengar langsung. Mereka ini orang yang sokong kerajaan tetapi surat khabar Mingguan Malaysia dan Berita Harian pun, yang terang-terang surat khabar sebelah mereka pun tidak dibaca. 

Surat ini saya mahu tujukan kepada Perdana Menteri, tetapi saya tahu Perdana Menteri kita sibuk dan mana ada masa mahu layan surat-surat remeh begini. Jadi saya tulis sahaja kepada kerajaan. Moga-moga apabila kerajaan bertukar nanti, yang memegang tampuk pemerintahan dan bernama kerajaan itu masih melihat surat saya dan masih sudi membacanya. Paling tidak pun, setiausaha-setiausaha dan kepada mereka yang menggeledah internet lalu terjumpa surat ini dan mengutusnya kepada PM.

Kerajaan saya yang saya hormati, 

Saya sebenarnya kagum dengan negara kita. Negara kita sudah banyak berubah. Dulu negara kita hanya sekecil semut di dalam kumpulan serangga. Tapi kini negara kita sudah maju. Macam-macam perkara sudah berubah. Itu tidak dinafikan. Tapi saya khuatir perubahan itu hanyalah perubahan negara, perubahan infrastrukturnya, perubahan duitnya dan juga perubahan projek-projek meganya, bukan perubahan kehidupan rakyat marhaen seperti saya dan keluarga saya. 

Dari dulu kami cuma hidup dengan pokok getah, sawah padi, hutan-belukang dan pohon-pohon kelubi. Kami pun teringin naik bangunan KLCC dan melihat Kuala Lumpur yang besar dan bercahaya itu. 

Kenapa kerajaan saya tidak memikirkan tentang projek membangunkan kos sara hidup rakyat? Bukankah itu lebih membangunkan kehidupan rakyat? Mungkin kerajaan buat bangunan tinggi-tinggi walaupun kebanyakannya bukan milik rakyat tempatan untuk menunjuk-nunjuk kemegahan dan kemajuan negara kita. Jadi rakyat hanya mengikut dan merasa bangga yang tidak ke mana. Fikiran masih bergelut dengan kemunduran. Yang maju cuma bangunan, rakyat tetap tidak ke mana. Ayah saya tetap bergelut dengan hujan dan bermain teka-teki sama ada hujan mahu turun ke tidak. Kalau hujan turun, kena segera bubuh cuka untuk cepat bekukan susu getah. Kalau tidak, air hujan akan alirkannya pergi, jadi sia-sia mengerah keringat menoreh sepagi. 

Ibu saya selalu bercerita, dia selalu mendoakan supaya harga getah naik. Harga getah pernah naik melambung tapi sekali sahaja. Sekarang harga getah sangat rendah. Sekilo getah harganya dalam RM2 ke RM3, kadang-kadang lebih sedikit. Dahulu harganya sekilo RM6. Untuk sekali kutipan getah sekerap, ayah boleh mengaut sebanyak RM900. Tapi sekarang, hanyalah RM400 paling tinggi. Tidak apalah, itukan rezeki juga. 

Kerajaan terlalu sibuk memikirkan tentang sokongan rakyat terhadap parti politik yang mereka sandang daripada memikirkan tentang kemiskinan rakyat yang tidak berubah-ubah. Bantuan Rakyat 1 Malaysia yang banyak itu semakin membodohkan rakyat. Sebagai seorang manusia, kita tidak perlu dididik dengan memberikan sejumlah wang yang banyak kerana ia hanya kesenangan yang sementara dan kecenderungan untuk menghabiskan wang itu sekali gus sangat mendesak. 

Kerajaaan sepatutnya bantu rakyat dengan menyediakan banyak peluang pekerjaan buat orang kampung, menaikkan harga getah, kelapa sawit dan juga memajukan projek-projek pertanian yang 
lain. Sumber rezeki yang melambung-lambung ialah dari tanah. Pertanian adalah sumber yang akan 
membuatkan kerajaan tidak akan menghadapi masalah ekonomi seperti sekarang hingga terpaksa 
menaikkan harga minyak dengan mendadak.

Kerajaan yang saya kasihi, 
Pernahkan kerajaan meminta pendapat sarjana bebas walaupun mereka cenderung tidak menyokong kerajaan? Mereka adalah sarjana yang sangat bijaksana dan mereka cuma mengulang skrip sejarah yang sering mencatatkan bahawa tokoh-tokoh hebat semuanya mengkritik kerajaan. Kritikan mereka bukan kosong tetapi berisi, berangka dan penuh dengan hemah. Saya risau bagaimana kerajaan mahu selamatkan negara dengan hutang yang begitu bertambun? Setakat ini saya masih mencari usaha kerajaan melangsaikan hutang yang dibebani tanpa meletakkan bebannya 
ke atas bahu rakyat. Tapi, tiada. 

Kerajaan juga memandang enteng kepada tindakan-tindakan seperti menaikkan harga minyak dan barang. Kerajaan tidak sedarkah akan kesannya nanti? Sampai satu masa manusia akan bersatu, bukan lagi kerana faktor agama, politik dan bangsa, tetapi kerana faktor ekonomi. Masakan tidak, setiap orang, baik yang menyokong kerajaan atau pembangkang semuanya punya perut yang lapar. Semuanya akan bangkit apabila perut mereka tidak terisi dengan kenyang. Kalaulah kerajaan sedar. 

Saya tidak tahu kenapa kerajaan saya ini tidak berjaya meyakinkan saya. Saya tidak mahu sentuh soal yang tidak nampak. Saya mahu lihat dari sudut ekonomi sahaja. Saya tidak yakin dengan pengurusan ekonomi kerajaan. Sebagai seorang yang boleh memahami angka dan huruf, saya adalah rakyat marhaen yang belajar tidak tinggi mana tetapi tidak yakin dengan pengurusan ekonomi negara kita. Kenapa tidak? Kerana kesemua tindakan kerajaan tidak memberikan hasil yang boleh dibanggakan. 

Sehinggalah saya terfikir, orang-orang kerajaan sebenarnya mahu buat kerja atau tidak mahu lepaskan kerusi empuk dan pejabat berhawa dingin mereka di dalam jabatan menteri itu?  Kenapa kerajaan tidak mahu meminta pendapat rakyat yang mungkin ada cadangannya tersendiri? Kenapa kerajaan tidak mengumpulkan ahli-ahli akademik yang mungkin lebih bijak dan sudah membuat kajian penuh bersertakan solusi yang paling praktikal. Kerajaan seperti buat-buat pandai sahaja. Saya sangat risau jika kerajaan kita terus begini.

Setakat ini dahulu surat saya. Saya akan tulis surat buat kerajaan lagi sampailah kerajaan buka kotak pos dan melihat surat saya bertimbun banyaknya. Saya seorang anak kampung yang sayangkan negara saya. 

Saya ulangi, saya seorang anak kampung yang sayangkan negara saya. Titik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan