Sabtu, 11 Februari 2017

Jodoh

Pada bulan Oktober yang lepas, saya berkesempatan mengunjungi rumah sewa kawan-kawan yang diamnya di Cheras.

Cuti yang lama, saya gunakan untuk berjumpa kawan-kawan yang sudah lama tak bertemu. Ejan, Waqi, Que, dan Faiz, mereka berkongsi rumah sewa tersebut.

Namun hanya Faiz saja yang bakal menamatkan zaman bujang dalam masa yang terdekat. Bukanlah saya hendak menidakkan pakej yang ada pada Faiz, tapi antara mereka berempat Faizlah yang paling tidak kacak.

Lalu saya usulkan pertanyaan kepada Faiz, "Faiz, macam mana ya kau boleh bertunang?"

"Ahmad, walaupun aku sedar aku tidak punya rupa, berbadan gempal, rambut kembang seperti cendawan, tapi aku ada satu prinsip. Apabila aku inginkan sesuatu, aku akan berusaha untuk dapatkannya. Aku ingin berkahwin maka aku usahakan niat itu." ujarnya serius.

"Usaha yang bagaimana kau maksudkan?"

"Pertamanya, aku berusaha memperbaiki diri sendiri. Kedua, aku gunakan landasan yang betul."

Faiz terdiam sebentar.

Sambungnya lagi, "Aku dengan tunangku dulu cumalah kawan biasa. Dalam ramai-ramai kawan perempuan yang ada, hanya dia yang aku rasa paling sesuai untuk jadikan permaisuri hati. Lalu aku beranikan diri menyuarakan hasrat hati ini pada dia dan terus berjumpa dengan keluarganya."

Kagum apabila Faiz yang biasanya berperwatakan anak-anak menjadi matang apabila bercakap fasal jodoh. "Kau pernah tanya dia, kenapa dia terima kau?" tanya saya lagi.

"Pernah...."
.
.
.

"Faiz, di luar sana ramai lelaki yang handsome tapi mereka hanya pandai bermain kata-kata. Tapi awak lelaki yang berusaha dan mempunyai kesungguhan. Awak buktikan dengan berjumpa keluarga saya. Ini telah menarik hati saya. Oleh itu, saya ingin merealisasikan isi hati awak." jelas Intan.

"Awak tahu apa isi hati saya?" tanya Faiz sedikit berdebar.

"Saya tahu. Awak mahu saya bahagia dunia akhirat. Dengan menikahi saya itu jalannya." Intan kelihatan tersipu malu dan pipinya kemerahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan