Jumaat, 17 Oktober 2025

SAQAJ

 Suatu hari, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pernah dicabar oleh seorang Yahudi untuk membuktikan kewaliannya. Malah, orang Yahudi itu mempersenda kewalian Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pada saat itu.


Dia memberikan cabaran bahawa Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani harus mencari kubur datuknya yang telah meninggal 500 tahun yang lalu.


"Wahai Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, benarkah engkau ini seorang wali?" tanya orang Yahudi itu.


Mendengar pertanyaan orang Yahudi itu, Syeikh Abdul Qadir lantas bertanya apa yang dia inginkan.


"Jika benar, apa yang engkau inginkan wahai orang Yahudi?" jawab sekaligus tanya Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


"Tolong tunjukkan kepadaku, di sebelah sana ada kuburan besar dan terdapat sekurang-kurangnya 500 mayat yang dikuburkan di sana. Jika engkau memang wali Allah, tentu engkau tahu di mana kubur datukku," ucap orang Yahudi itu.


"Kalau engkau memang raja para wali wahai Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, panggillah datukku agar beliau datang kepadaku atau tunjukkan di mana kuburnya," cabar orang Yahudi itu.


Selepas itu, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani menghampiri kuburan yang berbaris itu, disertai tiga orang muridnya. Di depan kuburan itu, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani berdiam sejenak. Kemudian beliau berteriak dan berkata,


"Wahai ahli kubur, bangunlah kamu semua," ucap Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Atas kehendak dan redha Allah SWT, bangunlah satu demi satu mayat yang berada di dalam kubur itu. Kemudian setelah para mayat itu bangkit, salah satu mayat bertanya.


"Wahai Syeikh, adakah ini sudah hari Kiamat kerana engkau membangkitkan kami semua?" tanya salah satu mayat.


"Tidak saudaraku, aku hanya ingin bertanya kepada kamu semua siapa yang memiliki cucu ini," jawab Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Akhirnya dari belakang barisan para mayat itu datang dan muncul seorang yang mengakui orang Yahudi itu.


"Saya Syeikh, dia adalah cucuku," jawab mayat itu.


Kemudian Syeikh bertanya kepada orang Yahudi itu, adakah mayat yang mengaku sebagai datuknya itu benar-benar datuknya.


"Benarkah dia adalah datukmu?" tanya Syeikh.


"Benar sekali Syeikh. Beliau telah meninggal beberapa ratus tahun yang lalu," jawab orang Yahudi itu.


Kemudian datuk tersebut memeluk cucunya dan berpesan agar dia mengikut Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


"Wahai cucuku, ikutlah engkau akan ajaran Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, beliau adalah kekasih Tuhan yang penuh karamah," pesan sang datuk.


Pada akhirnya setelah menyaksikan kejadian luar biasa itu, orang Yahudi tersebut memeluk Islam dan menjadi pengikut Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani.


Dan setelah kejadian itu, tiga orang murid yang ikut bersamanya berkata,

"Wahai Syeikh, sungguh besar karamahmu. Aku belum pernah menyaksikan kejadian yang lebih menakjubkan daripada kejadian yang baru saja engkau lakukan."


Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pun berkata,

"Wahai muridku, karamah saat aku menghidupkan 500 mayat tadi adalah karamah kecil. Karamah yang besar itu adalah ketika engkau mampu mengajak seseorang yang sebelumnya berada di jalan yang salah, lalu kerana sebabmu orang itu boleh kembali ke jalan yang benar. Jika engkau mampu melakukan itu, itu bererti engkau memiliki karamah besar dari Allah SWT."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan