Isnin, 18 November 2024

Matrikulasi

 Usah diganggu ekologi pembangunan program matrikulasi


 UtusanTV -November 19, 2024


Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani


BARU-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Won mengumumkan yang kementerian sedang meneliti ke arah satu sistem peperiksaan untuk masuk ke universiti. Sekarang memang ada dua peperiksaan atau cara untuk masuk ke universiti.


Pertama, melalui peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan satu lagi melalui program matrikulasi di kolej matrikulasi KPM yang dimulakan sejak September tahun 1998.


Antara tujuan asal penubuhan program matrikulasi ialah untuk menjadi penjana terunggul pelajar Melayu dan Bumiputera berkualiti ke institusi pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional.


Program ini juga mempunyai misi membangunkan potensi pelajar Melayu dan Bumiputera dalam bidang berkaitan melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melahirkan modal insan yang cemerlang bagi membangun negara ini.


Program matrikulasi ini juga asalnya bertujuan menambah bilangan profesional Melayu dan Bumiputera di negara ini. Program ini seperti Dasar Ekonomi Baru adalah selaras dengan peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera.


Kedudukan istimewa tersebut meliputi aspek jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, dan keistimewaan atau latihan pendidikan dan seumpamanya atau kemudahan lain oleh kerajaan Persekutuan, permit, lesen, perniagaan dan sebagainya.

Justeru amat tidak wajar untuk sesiapa pun dengan sengaja cuba mengusik hal peruntukan seperti termaktub dalam fasal 153 tersebut.


Apatah lagi pada tahun 2024 program matrikulasi telahpun memberi peluang sebanyak sepuluh peratus tempat kepada pelajar bukan bumiputera untuk menyertai program ini. Inilah keihsanan yang telah dilakukan oleh program ini.


Ihsan ini tidaklah wajar untuk ditambah secara berlebihan dengan tuntutan sama rata yang jelas menunjukkan tiada sebarang rasa bersyukur atas peluang atau ihsan yang telah diberi. Selalunya konsep sama rata ditonjolkan seolah-olah itulah keadilan mutlak dalam semua hal. Hakikat kebenaran dan sejarah sering cuba dinafikan.


Barang diingat bahawa maksud sama rata jauh berbeza dengan konsep kesaksamaan atau adil. Untuk mudah faham, konsep adil tidak semestinya sama rata. Adakah tidak adil jika ibu bapa memberi peruntukan yang lebih banyak kepada anaknya yang sedang belajar di universiti berbanding bayinya di rumah atau anaknya di tadika?.


Melihat sejarah kejayaan program matrikulasi selama ini yang telah memperoleh pelbagai pengiktirafan MS ISO bertahun-tahun, pastinya ini menjadi kecemburuan banyak pihak selama ini dan memang pun dalam perhatian penulis sejak belum bersara lagi.


Lebih daripada itu, lulusan matrikulasi telah diiktiraf dan diterima oleh semua universiti awam dan swasta dalam negara yang berjumlah lebih daripada 30 buah dan istimewanya semua lulusannya juga telah diiktiraf dan diterima oleh banyak universiti di luar negara iaitu 10 di United Kingdom, lima di Australia, tiga di Indonesia, dua di New Zealand.


Malah ada juga lulusan yang menyambung pengajian di beberapa buah universiti lain seperti di Rusia dan Mesir khususnya dalam bidang perubatan.


Justeru amat tidak wajar ekologi pembangunan modal insan dalam program matrikulasi diusik kerana kita bimbang kemudian nanti jika sistem peperiksaan matrikulasi dihapuskan, untungnya cuma sejengkal sedangkan ruginya sedepa bagi pembangunan modal insan Melayu dan Bumiputera di negara ini.


Untuk berpatah balik sudah terlambat dan tentunya seperti biasa malunya amat besar. Lihat sahajalah tentang Dasar Ekonomi Bumiputera yang walaupun sering dimomokkan melebihkan kepentingan Melayu, Bumiputera tetapi tempias untung kepada bukan Bumiputera tidak kurang besarnya. DEB wajar diteruskan cuma mungkin kelemahannya sahaja diperbaiki.


Selama kira-kira dua-puluh tahun ini lebih 300,000 lulusan matrikulasi telah berjaya mengikuti pengajian berkualiti dalam program matrikulasi dan menyambung pengajian mereka dengan jayanya di universiti dalam dan luar negara.


Apakah yang hendak diusik lagi?. Kita bimbang ada pihak yang mencemburui program ini yang boleh meruntuhkan kejayaan lebih dua dekad. Tentang kononnya program ini lebih mudah daripada pengajian dalam Tingkatan Enam atau sekarang kolej, itu hanyalah suatu persepsi atau andaian sahaja.


Susah atau senang sesuatu pengajian antaranya bergantung kepada kaedah dan sistem pengajian. Sistem pengajian semester atau penggal mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.


Malah Kolej Tingkatan Enam juga telah mengguna pakai sistem semester. Pengajian di semua universiti tidak boleh dikatakan senang atau kurang berkualiti hanya kerana mengguna pakai sistem semester.


Mempunyai dua sistem peperiksaan sahaja bukanlah banyak. Malah semasa berkursus di Jepun penulis dimaklumkan bahawa pelajar menengah yang ingin ke universiti perlu mengambil peperiksaan berasingan bagi kemasukan universiti yang berbeza.


Adalah perkara biasa jika tiga universiti dipilih, pelajar perlu mengambil tiga peperiksaan di universiti pilihannya. Justeru berhati-hatilah dan telitilah segala yang tersurat dan tersirat sebelum membuat keputusan. Pesan orang lama, kalau tak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah.


Penulis adalah Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan