Sabtu, 16 Mei 2026

Abdul rahman bin Auf

 "Abdul Rahman bin Auf: Antara 10 Yang Dijamin Syurga. Kisah Jutawan Yang Menangis Kerana Kekayaannya." 


Ketakutan paling aneh dalam sejarah manusia mungkin milik susuk tubuh ini.


Ketika orang lain sanggup bergadai nyawa memburu harta, beliau menangis teresak-esak setiap kali melihat kekayaannya bertambah.


Padahal, beliau bukanlah calang-calang individu.


Namanya gah terpahat sebagai salah seorang daripada "Al-Asharah Al-Mubashsharun bil-Jannah" (10 Sahabat Dijamin Syurga).


Beliau memegang status V.I.P akhirat, manakala di dunia pula beliau merupakan manusia paling kaya di kota Madinah.


Namun, Abdul Rahman bin Auf tidak pernah lena tidur di atas timbunan hartanya.


Kekayaan luar biasa ini tidak datang bergolek.


Semasa peristiwa Hijrah, Abdur Rahman telah meninggalkan segala empayar perniagaannya di Makkah demi menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya.


Beliau tiba di Madinah sehelai sepinggang, tanpa wang waima satu dirham.


Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan beliau dengan seorang hartawan Madinah (daripada golongan Ansar) bernama Sa’d bin Ar-Rabi’.


Atas dasar ukhuwah Islam yang sangat tulus, Sa'd menawarkan separuh daripada seluruh hartanya secara percuma kepada Abdul Rahman.


Jika kita berada di tempatnya, tawaran itu ibarat durian runtuh yang tidak mungkin dilepaskan.


Tetapi Abdur Rahman menolaknya dengan penuh adab.


Beliau hanya tersenyum dan membalas, "Semoga Allah memberkati keluarga dan hartamu.


Tunjukkan sahaja kepadaku di mana letaknya pasar." 


Bermula dari bawah dengan hanya berniaga keju dan mentega di pasar, perniagaan Abdur Rahman berkembang pantas.


Apa sahaja perniagaan yang disentuhnya pasti bertukar menjadi keuntungan.


Pernah pada suatu ketika, seluruh bumi Madinah bergegar dengan bunyi bising.


Rupa-rupanya, satu kafilah dagang gergasi milik Abdul Rahman yang membawa ratusan ekor unta sarat dengan barang dagangan baru sahaja tiba dari Syam.


Melihat peluang keemasan itu, saudagar-saudagar Makkah dan Madinah berlumba-lumba datang kepada beliau.


Mereka menawarkan keuntungan berlipat kali ganda semata-mata untuk memborong keseluruhan barang dagangan tersebut.


Tetapi jawapan Abdul Rahman membuatkan semua saudagar besar itu terkejut.


"Aku sudah jumpa pembeli yang berani menawarkan keuntungan yang jauh lebih besar. Pembeli itu menawarkan keuntungan sepuluh kali ganda, malah sehingga 700 kali ganda daripada modal."


Para pedagang itu kebingungan. Siapa di Madinah yang mempunyai wang tunai sebanyak itu untuk membayarnya?


Abdur Rahman sebenarnya merujuk kepada janji Allah SWT menerusi Surah Al-Baqarah (ayat 261).


Tanpa teragak-agak, beliau terus mendermakan kesemua ratusan ekor unta tersebut berserta seluruh muatannya di jalan Allah untuk kegunaan umat Islam.


Meskipun tangannya ligat menderma dengan jumlah yang tidak masuk akal, kekayaan Abdul Rahman terus bertambah dan bertambah. Hal inilah yang paling menakutkan beliau.


Beliau sangat risau jika kemewahan dunia yang melimpah-ruah ini merupakan "pendahuluan" ganjaran kepada pahala akhiratnya, menyebabkan beliau muflis di hadapan Allah kelak.


Satu peristiwa yang sangat meruntun jiwa berlaku ketika beliau sedang berpuasa.


Apabila tiba waktu berbuka, hidangan makanan yang sangat enak diletakkan di hadapannya.


Secara tiba-tiba, air mata Abdul Rahman mengalir deras membasahi pipi.


Beliau tidak menyentuh makanan tersebut, sebaliknya beliau menangis teresak-esak mengenangkan rakan-rakan seperjuangannya yang telah gugur.


Sambil merenung makanan itu, beliau berkata, "Mus'ab bin Umair telah terbunuh dan beliau jauh lebih baik daripadaku. Ketika beliau dikafankan, beliau hanya dibalut dengan sehelai kain yang pendek. Jika kepalanya ditutup, kakinya terdedah. Jika kakinya ditutup, kepalanya pula terdedah."


Abdur Rahman menyambung lagi dalam esakannya, "Hamzah juga telah terbunuh dan beliau jauh lebih baik daripadaku. Kemudian dunia telah dibentangkan kepada kita dengan segala kemewahannya. Aku benar-benar takut jika pahala kebaikan kita telah disegerakan (dihabiskan) di dunia ini."


Abdur Rahman akhirnya bangun dan meninggalkan hidangan berbuka puasa itu kerana jiwanya terlalu sedih untuk menjamah kemewahan tersebut.


Kisah Abdur Rahman bin Auf memberikan satu tamparan yang sangat kuat kepada kita.


Hari ini, manusia sanggup bertelingkah, memfitnah dan memutuskan silaturahim demi merebut harta dunia yang tidak seberapa.


Namun bagi seorang sahabat Rasulullah SAW, kekayaan tidak pernah dibiarkan bersarang di dalam hatinya.


Harta itu hanya diletakkan di tapak tangannya, sedia untuk dilepaskan pada bila-bila masa demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.


Jumaat, 15 Mei 2026

Guru murobbi

 Selamat Hari Guru


Khas buat sahabat2ku yang bergelar guru, Alhamdulillah..syukur Allah bagi kita jadi guru.

selagi kita masih berkhidmat, khidmatlah menjadi murabbi yg sebaik- baiknya..


Jadilah kita murabbi yang bertauhid.. murabbi yg bertauhid ni dia tak nampak murid @ rakan sekerja @ parent yang menguji dia. Dia nampak ALLAH yg sedang menguji dia.. sebab itu dia tidak mudah melatah dan mampu bersabar dgn kerenah.. 


Murid@rakan sekerja@parent  itu "ALAT" ujian ALLAH utk murabbi. Dia sedar dan faham..  begitulah pentingnya mengaji  ilmu Tauhid.. 


Kalau mengaji ilmu tasawuf pula.. akhlak dgn rakan sekerja pasti dijaga sebaik- mungkin... Setiap hari fokusnya nak dapatkan redha Allah..  setiap hari. Ya Allah, aku niatkan kerja buatku ibadah kepadaMu.


Murabbi yg mengaji tasawuf pasti setiap hari fikir apa lagi dalam HATI ni nak dibersihkan? 


Harini buang sikap baran

Esok buang sikap malas

Lusa buang sikap bangga diri, dengki, tamak, ego, pandang rendah pada org lain… dll


Kerana

Guru bukan sekadar pengajar 

Malah pendidik

Mendidik adalah pemindahan rasa

Rasa takut dan cintakan Tuhan itu yg nak dipindahkan kpd anak didik


Seorang guru itu

Hari2 dia akan fokus untuk bersihkan hatinya.. Kenapa perlu bersihkan hati? Sebab hati yang akan mengadap Allah. Hati yang ikhlas, tawadhuk sahaja yang akan selamat. Hati mutmainnah lagi tenang Insyaallah selamat. 


Selamat hari guru semua

Ampun maaf dan Jazakumullahukhairan 

Moga Allah rahmati dan berkati tugas kita.

Sejarah Rusuhan

 “Sebelum 13 Mei, Orang Melayu dan Cina Pernah Bergaduh Besar Selepas Perang Dunia Kedua Tamat?”


Oleh: Azizul Farhan


Bila sebut pasal pergaduhan kaum dalam sejarah Malaysia, ramai orang terus teringat tragedi 13 Mei 1969.


Tapi sebenarnya, jauh sebelum peristiwa itu berlaku, Tanah Melayu dah pernah melalui satu zaman yang jauh lebih huru-hara dan berdarah selepas Perang Dunia Kedua tamat.


Waktu itu Jepun baru menyerah kalah.


British pula belum sempat kembali mengawal Tanah Melayu sepenuhnya.


Dalam tempoh “kosong” inilah, banyak kawasan bertukar jadi medan pembunuhan, balas dendam dan perang antara komuniti Melayu dan Cina. Ada kampung dibakar, masjid diserang, orang awam dibunuh dan ramai penduduk hidup dalam ketakutan hampir setiap malam.


Kalau nak faham kenapa hubungan kaum di Tanah Melayu jadi sangat sensitif selepas perang, kita kena faham apa sebenarnya yang berlaku antara tahun 1945 hingga 1948.


Sebenarnya bibit perpecahan kaum dah lama wujud sejak zaman British lagi.


British mengamalkan dasar “pecah dan perintah”. Orang Melayu kebanyakannya tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani atau nelayan. Orang Cina pula ramai tertumpu di bandar, lombong dan sektor ekonomi.


Disebabkan hidup berasingan, hubungan antara kaum tidak begitu rapat.


Dalam masa sama, orang Melayu mula rasa terpinggir dari sudut ekonomi kerana banyak sektor perniagaan dan perlombongan dikuasai oleh komuniti imigran.


Kemudian datang pula Jepun.


Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941, layanan terhadap setiap kaum jadi berbeza.


Jepun sangat membenci China kerana mereka sedang berperang dengan negara itu. Jadi ramai orang Cina di Tanah Melayu menjadi sasaran kekejaman Jepun. Ada yang diseksa, dipukul dan dibunuh kerana disyaki menyokong gerakan anti-Jepun.


Pada masa sama, Jepun cuba mengambil hati orang Melayu.


Mereka mendekati pemimpin Melayu, memberikan beberapa jawatan dan menyebarkan propaganda “Asia untuk Orang Asia”.


Dekat sinilah hubungan Melayu-Cina mula jadi semakin tegang.


Ramai orang Cina melihat sebahagian orang Melayu sebagai “pro-Jepun” walaupun realitinya ramai orang Melayu juga hidup terseksa dan dipaksa bekerjasama dengan pentadbiran Jepun.


Kemudian pada 15 Ogos 1945, Jepun menyerah kalah.


Masalahnya, selepas Jepun kalah, British belum sempat masuk semula sepenuhnya ke Tanah Melayu.


Dalam tempoh itulah gerila anti-Jepun yang dikenali sebagai MPAJA atau Bintang Tiga mula keluar dari hutan dengan senjata. Majoriti anggota mereka ialah orang Cina.


Mereka mula mengambil alih banyak kawasan dan menghukum sesiapa yang dianggap tali barut Jepun.


Dekat mata ramai orang Melayu kampung, keadaan jadi sangat menakutkan.


Ada orang kampung diikat tangan dan kaki, dimasukkan dalam guni dan dicampakkan ke laut hidup-hidup.


Ada juga penduduk yang hilang tanpa dikesan selepas dibawa masuk ke hutan.


Yang paling membakar kemarahan orang Melayu ialah apabila beberapa kejadian melibatkan masjid dan surau mula berlaku.


Di Batu Pahat, Johor misalnya, tentera Bintang Tiga dikatakan melarang orang Melayu berkumpul di surau dan masjid untuk solat terawih dan berjemaah ketika bulan Ramadan.


Bukan itu sahaja.


Ada laporan menyatakan masjid ditembak ketika orang Melayu sedang solat Jumaat. Malah ada kawasan masjid digunakan untuk menyembelih dan memasak khinzir.


Bagi masyarakat Melayu Islam waktu itu, perkara ini dianggap penghinaan besar terhadap agama.


Sebab itu ramai orang Melayu mula melihat konflik ini bukan lagi sekadar isu kaum, tetapi isu mempertahankan agama dan maruah.


Dekat Johor, keadaan mula benar-benar meletup.


Pada Mei 1945, dua orang Melayu bernama Moain Saridin dan Hassan Akasah dibunuh.


Kemudian pada 10 Jun 1945, MPAJA membunuh Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abdullah bersama beberapa individu lain ketika sesi rundingan di Benut.


Bayangkan keadaan waktu tu. Orang datang untuk berunding, tapi akhirnya dibunuh.


Peristiwa itu menyebabkan kemarahan orang Melayu memuncak.


Dalam keadaan inilah muncul seorang tokoh yang sangat terkenal dalam sejarah Johor iaitu Kiai Salleh.


Kiai Salleh bin Abdul Karim ialah tokoh agama dan pengamal tarekat dari Batu Pahat. Bila melihat keadaan makin buruk, beliau mula mengumpulkan orang Melayu Jawa dan Banjar untuk mempertahankan kampung-kampung Melayu daripada serangan Bintang Tiga.


Pasukan ini dikenali sebagai Tentera Sabil Selendang Merah.


Mereka menggunakan parang panjang, keris, tombak dan senjata tradisional sebab hampir tiada senjata api.


Nama “Selendang Merah” itu datang daripada kain merah yang dipakai oleh sebahagian pengikut mereka.


Ramai orang Melayu waktu itu percaya perjuangan mempertahankan kampung dan agama ialah jihad. Sebab itu ramai pemuda datang menyertai kumpulan mempertahankan kampung ini walaupun hanya bersenjatakan parang.


Konflik di Johor kemudian merebak hampir ke seluruh negeri.


Di Segamat, hubungan Melayu dan Cina semakin renggang. Ada pergaduhan berlaku di Bukit Gambir dan Parit Samsu sekitar Februari 1946.


Dekat beberapa kawasan lain pula, orang Melayu mula berkawal waktu malam sambil memegang parang panjang kerana takut diserang secara tiba-tiba.


Tapi kalau Johor menyaksikan kebangkitan Tentera Selendang Merah, Perak pula menyaksikan satu lagi episod yang lebih berdarah.


Dekat Sungai Manik, kawasan yang ramai orang Banjar, khabar angin mula tersebar bahawa kampung-kampung Melayu akan diserang oleh Bintang Tiga.


Dalam suasana takut dan panik itu, ramai pemuda mula mencari guru agama untuk belajar ilmu kebal dan amalan mempertahankan diri.


Antara tokoh yang disebut dalam sejarah ialah Imam Haji Bakri bin Mohd Saman. Beliau menjadi tempat rujukan penduduk kampung untuk mendapatkan semangat perjuangan dan ilmu mempertahankan diri.


Waktu itu memang muncul pelbagai cerita mistik.


Ada yang percaya mereka kebal peluru. Ada yang diberi air penebat. Ada yang memakai selendang merah dan membawa potongan ayat al-Quran sebagai pelindung.


British sendiri kemudian mula takut dengan fenomena ini sebab mereka nampak orang Melayu berani melawan gerila bersenjata api hanya menggunakan parang panjang.


Namun peristiwa paling tragik berlaku di Kampung Bekor, Perak.


Sebelum tragedi itu berlaku, Bintang Tiga dikatakan menggunakan Sekolah Melayu Bekor sebagai markas mereka. Penduduk kampung pula dipaksa menghadiri ceramah propaganda komunis.


Lama-kelamaan orang Melayu di kampung itu mula menolak pengaruh tersebut.


Wakil Melayu kemudian mengemukakan tiga tuntutan kepada pihak Cina.


Mereka mahu orang Melayu yang hilang dipulangkan semula, harta yang dirampas dikembalikan dan semua senjata diserahkan kepada kerajaan.


Tapi keadaan gagal dikawal.


Pada awal pagi 6 Mac 1946, ketika ramai penduduk masih tidur dan sebahagian sedang bersiap untuk solat Subuh, Kampung Bekor diserang secara besar-besaran.


Menurut laporan, jalan-jalan utama kampung terlebih dahulu dikepung supaya penduduk tidak dapat melarikan diri.


Ada juga laporan menyebut penyerang menggunakan bunyi beduk masjid untuk mengelirukan penduduk kampung.


Selepas itu pembunuhan berlaku.


Ramai orang Melayu dibunuh ketika masih tidur. Ada juga yang mati ketika sedang solat Subuh di masjid.


Wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa.


Dianggarkan sekitar 80 orang Melayu terbunuh dalam serangan tersebut.


Bayangkan sebuah kampung yang sunyi sebelum Subuh tiba-tiba bertukar menjadi medan pembunuhan.


Sampai hari ini, tragedi Bekor masih dianggap antara pembunuhan kaum paling dahsyat dalam sejarah awal Tanah Melayu moden.


Lepas itu pergaduhan mula merebak ke tempat lain pula.


Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, sekitar November 1945, ratusan orang Melayu menyerang kawasan Padang Lebar dan menyebabkan puluhan orang Cina terbunuh.


Di Batu Malim, Raub pula, berlaku pergaduhan besar di kawasan pasar melibatkan ratusan orang Melayu dan Cina.


Kekacauan berlaku hampir di seluruh Tanah Melayu.


British akhirnya sedar kalau keadaan ini berterusan, Tanah Melayu boleh jatuh ke dalam perang saudara kaum.


Sebab itu apabila British kembali menguasai Tanah Melayu, mereka mula mengetatkan kawalan keselamatan dan cuba melemahkan pengaruh komunis.


Tapi luka yang berlaku waktu itu sebenarnya tak pernah hilang sepenuhnya.


Ramai generasi hari ini tak sedar bahawa ketegangan kaum di Tanah Melayu bukan muncul secara tiba-tiba pada 13 Mei 1969.


Sebaliknya, ia sudah lama berakar sejak zaman penjajahan, menjadi semakin buruk ketika pendudukan Jepun dan akhirnya meletup dalam bentuk pertumpahan darah selepas perang dunia kedua tamat.


Dan sejarah ini penting untuk difahami.


Bukan untuk menyalahkan mana-mana kaum.


Tetapi untuk mengingatkan bahawa bila propaganda, dendam perang, politik dan ketakutan bercampur sekali dalam keadaan negara tak stabil, sebuah masyarakat boleh runtuh dalam masa yang sangat singkat.




Khamis, 14 Mei 2026

Oxodus

 Eksklusif: 'Eksodus' Senyap Warga Singapura ke Tanah Johor. Kenapa Mereka Sanggup Tinggalkan Gaji 6 Angka?


Pernah tak terlintas dalam fikiran korang, kenapa orang yang dah ada kerjaya stabil di Singapura—ada yang jadi penjawat awam berpangkat besar, ada yang pakar psikologi—tiba-tiba 'ghoib' dari radar bandar kosmetik mereka?


Jawapannya ada di ceruk-ceruk Ulu Tiram, Desaru, dan Gelang Patah.


Ini bukan cerita pasal orang Singapura datang JB sebab nak isi minyak atau makan 'seafood' murah hujung minggu. Ini adalah tentang gelombang "Petani Import". Mereka bukan setakat beli tanah, tapi mereka pindah terus, duduk dalam rumah kampung, dan mula mencangkul.


Realiti yang Ramai Tak Tahu:


Di sebalik kilauan dolar Singapura (SGD), ada satu "ketakutan" yang tak disebut secara terbuka: Food Security. 


Di Singapura, mereka ada duit, tapi mereka tak ada tanah. 


Bila konflik Timur Tengah memuncak dan rantaian bekalan dunia mula 'goyang', duit dalam bank tak boleh jadi makanan.


Sebab itu, figura macam Imran (40 tahun) sanggup tinggalkan flat HDB untuk uruskan ladang seluas 77 padang bola di Johor. Dia bukan saja tanam lada hitam dan nenas, tapi dia "membeli" kebebasan. Dia tak mahu lagi bergantung kepada entiti luar untuk bekalan air dan makanan.


Lagi satu fakta yang jarang orang sembang: 


"The Health Reset." Ada pemilik ladang yang sebelum ni menderita darah tinggi dan hati berlemak (fatty liver) sebab stres kerja pejabat di Singapura. 


Tapi lepas setahun bergelumang dengan tanah di Johor? Rekod kesihatan jadi perfect. Tanah Malaysia rupa-rupanya jadi 'ubat' yang mereka tak jumpa di klinik-klinik mewah Orchard Road.


Tapi jangan ingat ini semua indah belaka. Nak jadi "Mat Tani" kat sini, mereka kena langgar tembok birokrasi. Tanah pertanian bukan boleh beli sesuka hati—ada syarat harga minimum RM1 juta ke RM2 juta, dan paling penting, mereka kena bina kepercayaan dengan komuniti lokal. 


Tanpa 'trust', bisnes mereka boleh melingkup dalam sekelip mata.


Pendapat Strategik


Dari sudut pandang geopolitik dan ekonomi sara diri, fenomena ini adalah satu "Symbiotic Survival Strategy". 


Malaysia membekalkan ruang (land) dan tenaga kerja, manakala warga Singapura membawa modal dan kepakaran pemasaran antarabangsa.


Namun, apa yang paling mahal di sini bukan nilai tanah, tetapi Kedaulatan Makanan (Food Sovereignty). 


Apabila golongan profesional mula turun ke bendang, mereka sebenarnya sedang memberi isyarat bahawa sistem ekonomi bandar sedang menghampiri titik jenuh. 


Kebergantungan total kepada import adalah satu liabiliti. 


Strategi mereka mudah: Gunakan kekuatan mata wang untuk membina benteng keselamatan makanan di negara jiran. 


Bagi Malaysia, ini adalah peluang untuk meremajakan sektor pertanian kita yang sering dianggap "3D" (Dirty, Dangerous, Difficult) menjadi sektor yang "Sexy" dan berteknologi tinggi.

Selasa, 12 Mei 2026

Sujud

 A K U

R I N D U S A N G A T

N A K S U J U D


Aku duduk Cyberjaya, kerja dekat KL. Hari-hari aku keluar rumah ngam-ngam pukul 6.30 pagi masa azan Subuh tengah berkumandang.


Aku sanggup skip solat sebab takut jem punya pasal. Aku tak nak bos aku mengamuk. Secara tak sedar, aku lebih takutkan bos daripada Pencipta aku sendiri.


Sampailah satu hari, Allah bayar 'cash' satu musibah ngeri yang merampas nikmat sujud aku buat selamanya.


Pagi tu hujan renyai. Masa aku masuk MEX Highway, azan bunyi kat radio. Hati kecil aku bisik, "Berhenti R&R kejap lah solat."


Tapi bila teringat muka bos yang garang dan meeting pukul 8.30 pagi, aku terus tekan minyak. "Ah, nantilah qada' kat ofis," itu alasan bodoh yang aku selalu guna.


Sebab nak cepat, aku potong kereta kiri kanan macam pelumba. Tiba-tiba dekat satu selekoh, tayar hilang cengkaman. Kereta berpusing laju dan rempuh belakang treler balak kat lorong kecemasan.


Bumbung kereta remuk, melenyek separuh badan aku. Gelap. Aku cuma dengar bunyi hon panjang bertalu-talu.


Bila sedar, bau drah pekat dengan petrol menusuk hidung. Serpihan cermin pacak dekat muka. Paling ngeri, aku langsung tak rasa kaki aku.


Aku tengok jam dashboard yang retak: 7.30 pagi. Matahari dah terbit, waktu Subuh dah habis. Masa tu aku rasa nyawa aku dah sampai penghujung.


Doktor sahkan tulang belakang aku hancur. Aku lumpuh dari pinggang ke bawah seumur hidup.


Bos yang aku takut sangat tu? Dia datang melawat sekali je, bagi pampasan, lepas tu terus cari staf baru ganti tempat aku.


Sekarang aku cuma mampu menangis atas kerusi roda. Dulu Allah bagi tubuh sempurna, aku sombong nak sujud sebab kejar dunia.


Sekarang, aku rindu sangat nak sujud, tapi tubuh ni dah tak mampu buat apa-apa. Jangan sampai Allah ajar kita dengan cara paling keras.


Kredit: Kulihat Hijau