Khamis, 27 Mac 2014

Surah Sod (Ayat 71-72)

Tazkirah : Tafsir Surah Sod (Ayat 71-72)

-Kekuatan Sebenar Manusia-

Kalau ditanya kepada kanak-kanak, apakah yang dimaksudkan dengan negara maju?

Kanak-kanak Malaysia hari ini mungkin dengan riangnya menjawap,

"Ada bangunan tinggi-tinggi, ada train macam LRT, kereta semua lawa-lawa, guna handset touch scrin, tablet dan lain-lain."

Adik besar nanti nak jadi apa?

"Doktor. Engineer. Arkitek. Artis."

Sebab apa?

"Nanti banyak duit. Baru best."

Tapi berbeza dengan suatu zaman di Madinah dulu.

Bilamana seorang ulamak terkenal bergelar Imam Ahmad, berjalan di sebelah sebatang pokok. Tiba-tiba dia mendapati ada beberapa orang budak sedang bergayut, bermain di atas pokok itu. Imam Ahmad terus menegur,

"Hai anak-anak, jangan bermain di atas, nanti jatuh. Cedera."

Dengan riangnya mereka berkata,

"Kalau kami jatuh, kami saja yang cedera. Tapi kalau Tuan Sheikh jatuh, seluruh umat akan cedera."

Umur yang sama, tapi manteliti yang jauh berbeza.

-------------------
Ayat 71 dan 72 Surah Sood ini, nak ceritakan kepada kita sebuah peristiwa yang besar dan agung.

Walaupun diyakini ramai yang sudah tahu, hafal dan hadam. Tapi ramai yang 'miss' hakikat agung dalam cerita ini.

Simple saja.

Adam dibuat dari tanah. Dan apabila dah lengkap ciptaan, Allah tiupkan Roh lalu para malaikat pun terus bersujud kepada Adam.

Ayat ini nak membawa sebuah hakikat bahawa, Adam bila sempurna anggota jasadnya dibentuk daripada tanah, dia tidak membawa apa-apa makna dan harga.

Tapi..

Setelah Allah tiupkan Roh (yg tersimpan di sisi-Nya) ke dalam jasad itu, barulah para malaikat di langit terus bersungkur sujud kepada Adam, sebagai tanda hormat.

Jadi kedua ayat ini menjadi bukti bahawa, elemen ROH itulah yang menjadi punca seluruh malaikat sujud kepada Adam.

Di situlah terletaknya kemuliaan manusia.

Yaitu "ROHnya"

Jadi kalau kita pandang manusia, jangan kita pandang sepertimana iblis memandang manusia. Iblis kata apa?

"Err, tanah. Jijik. Hina."

Dia fokuskan pada tanah, hina.

Tapi, pandanglah kita bilamana dimasukkan ROH yang tersimpan di sisi Allah yang mulia, semua Malaikat di langit tunduk, hormat pada kita manusia.

Jadi hebat manusia adalah pada aspek Roh dalam badannya. Di situlah tempat pembangunan diri manusia yang asli.

Walaupun manusia terbahagi dengan 3 fakulti. Roh, akal dan jasad. Tapi ketiga-tiga fakulti itu tidak sama kekuatannya.

Ayat ini bukti yang paling jelas bahawa Allah lebihkan pada bahagian ROH. Kekuatan roh inilah yang perlu kita bangunkan dan pelihara kesuciannya.

Tapi, bila mana melihat keliling kita hari ini. Suasana seolah-seolah mendidik kita, bahawa elemen roh itu tidak ada.

Semua orang fokus pada jasad dan akal saja. Buktinya kita pun boleh lihat sendiri iklan-iklan di tv, di internet, majalah dan suasana masyarakat.

Masing-masing nak luruskan rambut, cerahkan muka, bau badan wangi, pakain 'branded', style, fesyen itu ini. Gajet saja cecah ribuan. Remaja-remaja sibuk belajar, sana sini, tusyen dua tiga tempat, untuk ditumpahkan dalam dewan periksa semata. Berputar situlah rutin harian hidup kita.

Kita hidup di zaman di mana manusia sanggup buat apa saja demi nampak hebat pada mata orang. Hidup terpenjara pada "apa orang kata".

Habis semua benda buat untuk tunjuk pada orang. Na'udzubillah.

Kita hebat dari sudut 'form', tidak dari sudut 'substance'.

Bilakah kita serius meneliti hati dan rohani kita bagaimana?

Sedangkan mulianya kita, sehingga seluruh malaikat yang infinity itu tunduk hormat pada kita sebab Roh yang Allah beri istimewa dari sisiNya.

Kita sibuk menghias badan, sibuk mengurus akal, sedangkan hati kita sedang demam, sedang koma, kita tak sedar.

Umpama kita beli buah, kita nilai pada kulit luarnya saja, tak ambil peduli dalamnya buruk ke, masam ke.

Quran jarang baca, solat tinggal, solat jemaah tak minat, masjid jauhi, majlis ilmu tak pergi.

Yang ramainya di mana?

Pasar, supermaket, shopping mall, stadium, pusat hiburan.

Justeru, ulama' tafsir menyebut,

"Siapa yang mengabaikan aspek Rohi dalam hidupnya, beerti hinalah dia seperti tanah yang iblis sebut pada awalnya. "

Tafsiran yang lainnya adalah,

"Orang yang mengabaikan aspek rohi ini beerti dia setuju dengan pengiktirafan iblis bahawa manusia itu daripada tanah dan hina. Justeru iblis berminat pada dirinya dan menemaninya sepanjang kehidupan."

"Bagi orang yang sibuk membangunkan roh dan jiwanya, malaikat seluruh alam akan hormat kepadanya dan bersama menemani menjaganya sepanjang hidupnya."

Jadi marilah kita jelous dengan rohani seseorang, yaitu imannya. Hubungannya dengan Allah. Manis dalam ibadah. Bukan jelous dengan pakaian orang, dengan wajah orang, atau harta seseorang. Itu semua tak bermakna di sisi Allah. Sikit pun Allah tak pandang. Tapi apabila kita balik bertemu dengan Allah kelak, yang nak selamatkan kita bahagia selama-lamanya adalah 'Qalbun Saleem'. Ya'ni rohani atau dalaman jiwanya yang bersih, terpelihara dan sihat.

Siapa dalam kalangan kita yang tidak kenal Bilal Bin Rabah r.a, seorang hamba abdi berkulit hitam, kepala botak dan tebal bibirnya.

Tapi Rasulallah pernah memanggilnya dan berkata,

"Wahai Bilal, aku mendengar bunyi tapak kaki kamu dalam syurga."

Subhanallah.
Bilal sebelum Islam seorang hamba dipandang hina, tapi setelah Islam dibina rohaninya sehingga dia wafat sebagai seorang Gabenor di Syria.

Marilah kita jadikan pembangunan Roh ini, satu agenda besar dalam hidup.
Dengan itu kita akan terus mulia,terpelihara dan menjadi manusia yang sebenar insyaAllah.

Allahua'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan