Selasa, 1 April 2014

pilaneserg

Teringat saya dengan sebuah kisah yang pernah dipaparkan di dalam sebuah rencana Animal Planet di televisyen. Ia dipaparkan lama dahulu. Tetapi saya mengingatinya dengan membuat sedikit catatan mengenainya kerana menjangka perkara seumpama yang berlaku kepada pasangan Islam yang tinggal di Sweden ini akan berlaku.




Kisahnya begini. Animal Planet pada ketika itu memaparkan berita bagaimana sekumpulan gajah muda bertindak liar membunuh sejumlah besar badak sumbu di kawasan simpanan Pilaneserg, Afrika. Ini suatu kejadian yang menghairankan. Pembunuhan antara spesis haiwan, kecuali haiwan pemangsa dengan mangsa amat jarang berlaku.



Secara tiba-tiba, mereka mendapati berlaku terlalu banyak kematian badak sumbu yang dilindungi di kawasan simpanan tersebut. Siasatan kemudian mendapati, badak-badak sumbu itu dibunuh oleh sekumpulan gajah muda yang ditempatkan di kawasan itu.

Bukan hanya badak sumbu dibunuh, tetapi beberapa orang pelancong juga di dapati menjadi mangsa aggresi gajah-gajah tersebut.

Pada kali pertama percubaan mereka untuk mengekang keganasan gajah-gajah terbabit, mereka memperkenalkan beberapa ekor gajah betina ke dalam taman simpanan itu. Percubaan ini menjadikan situasi itu semakin buruk.

Lalu mereka mengkaji asal usul gajah-gajah yang memberontak di taman tersebut. Apabila sejarah asal usul gajah-gajah itu diselidiki, mereka mendapati bahawa gajah-gajah muda itu merupakan sekumpulan gajah yang diambil dari sebuah kawasan hutan simpan yang lain setelah ibu dan bapa mereka dibunuh. Ibu dan bapa gajah-gajah tersebut dibunuh bagi mengekang populasi gajah yang semakin meningkat.

Setelah semua gajah dewasa dibunuh, gajah-gajah muda ini ditempatkan semula di taman simpanan Pilaneserg tanpa ada gajah-gajah yang lebih dewasa untuk memerhatikan serta membentuk perlakuan gajah-gajah ini.

Pengkaji sifat dan kelakuan gajah mengatakan bahawa gajah merupakan mamalia yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Mereka dibentuk sebagai sebuah unit keluarga yang besar di mana gajah-gajah tua memerhati serta membentuk identity dan perlakuan gajah-gajah muda. Tanpa gajah tua wujud di taman Pilaneserg, gajah-gajah muda ini membentuk perlakuan ganas yang tidak dapat dikawal oleh sesiapa.

Melihat situasi dan punca ini, pengawal taman simpanan itu kemudiannya membawa masuk 6 ekor gajah dewasa. Sebaik dibawa masuk, kesemua gajah dewasa ini berkumpul bersama gajah-gajah muda ini. Apa yang menakjubkan ialah, semua tindakan ganas yang berlaku sebelum ini, berhenti secara serta merta.

Tiada lagi badak sumbu dibunuh. Seolah-olah gajah-gajah muda ini didsiplinkan oleh gajah-gajah tua yang dibawa masuk kemudiannya. Memerhatikan keadaan ini, ahli kaji sifat dan perlakuan gajah menyatakan bahawa gajah merupakan mamalia dengan struktur social dan kekeluargaan yang unik. Mereka berkabung ketika kematian ahli keluarga mereka. Mereka mendidik generasi muda mereka untuk berdisplin dan menjadi sepsis yang terkawal sifat dan perlakuan mereka. Memisahkan gajah-gajah ini dari ibu bapa mereka mengakibatkan berlakunya situasi memberontak. Mereka menjadi liar dan membawa kesusahan kepada taman simpana tersebut.

Kes ini bukanlah satu kes yang unik. Kes yang sama pernah berlaku di India melibatkan situasi yang hampir sama.

Jika gajah-gajah muda yang dipisahkan dari bimbingan gajah-gajah dewasa pun mengalami masalah adaptasi sosial dan membentuk sifat memberontak jika dipisahkan dari role model mereka, apatah lagi remaja-remaja dari spesis manusia yang lebih berakal.


Jadi, apa yang dilakukan atas nama hak asasi manusia di Sweden itu, adalah suatu perbuatan yang merosakkan tumbesaran fizikal, sosial, mental dan rohani anak-anak tersebut. Sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan mereka. Tahniah kepada wisma putera yang berusaha menempatkan mereka bersama keluarga Islam. Tetapi keluarga Islam yang terbaik tetap ibu bapa kepada anak-anak tersebut. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan bagi menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya. Ameen.


Read more: http://satuhala.blogspot.com/2014/01/antara-pilaneserg-sweden.html#ixzz2xedGr5z6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan