Saya setuju peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan. Ya, saya tau ini pandangan yang tidak popular dan kontroversi. Tapi mohon bertenang semua. Dengan minda yang jernih, mari kita cuba selami dulu, asas dan justifikasi dasar baru ini.
1
Kita mesti faham dan hadam. Bahawa keputusan memansuhkan peperiksaan normatif kebangsaan (UPSR dan PT3) bukan dibuat oleh menteri atau KPM. Ia datang dari satu siri engagement panjang, yang melibatkan semua stakeholders utama. Termasuk pakar pendidikan, pelajar, guru, ibubapa, agensi kerajaan, gerakan sivil dan industri.
Saya sendiri pernah hadir dan ambil bahagian dalam sesi libaturus tersebut. Keputusan ini memang sukar, dan bukan diambil dengan sambalewa. Ada pelbagai pandangan yang saling kontradiksi. Ya, padat dengan pro dan kontra yang begitu kompleks.
2
Tapi ada kefahaman yang sering disalah tafsir. Yang dimansuhkan cuma amalan lama, iaitu penilaian normatif yang standard di seluruh negara. Tapi penilaian formatif yang berterusan di peringkat sekolah, masih wujud. Maksudnya, sekarang ini bukanlah tiada peperiksaan langsung!
UPSR dan PT3 ialah peperiksaan normatif. Ia meletakkan pelajar seluruh Malaysia dalam ranking tertentu, mengikut “siapa lebih hebat”. Bila sistem nasional ini dimansuhkan, guru masih memantau kemajuan murid secara berterusan. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tetap berjalan. Maksudnya, murid bukan ‘dibiarkan tanpa penilaian’. Hanya kaedah saja yang diperbaharui.
3
Kenapa keputusan ini diambil? Sebab berdasarkan input dalam libaturus, sistem peperiksaan kebangsaan membawa gejala pembelajaran yang kurang positif. Contohnya, melahirkan budaya “ranking sekolah”, bukan pembangunan murid. Memaksa sekolah mengejar markah, bukan kemahiran. Menyuburkan industri tuisyen yang tidak inklusif, yang cuma mampu diakses oleh golongan sosioekonomi tinggi.
Sistem peperiksaan normatif begini boleh menjadikan sekolah bukan lagi tempat belajar, tetapi seperti kilang markah tempat mengejar bilangan A.
4
Saya tidak mau cakap sama ada sistem ini melahirkan generasi kakak tua atau tidak. Sebab saya pun lahir daripada sistem yang sama. Tapi pengalaman saya mengajar di universiti selama lebih 20 tahun, ada satu fenomena yang pelik.
Kohort pelajar yang saya ajar, tahun demi tahun, jumlah A (masa sekolah) semakin banyak. Persoalannya: adakah kualiti pemikiran dan daya resilient pembelajaran mereka di universiti makin efektif? Tidak juga.
Makin lama, makin manja dan kurang berdikari. Belum lagi bercakap soal adab dan mentaliti. Maksudnya, jumlah A dan nilai gred dari peperiksaan normatif tidak lagi berkorelasi dengan kualiti personal.
5
Kenapa agaknya? Mungkin sebab budaya peperiksaan zaman saya dulu sangat berbeza dengan sekarang. Dulu, semua chill saja. Sekarang ini, ketaksuban sekolah mengejar ranking kadang-kadang bikin takut. Berlumba-lumba mau jadi yang teratas. Kewujudan media sosial juga merancakkan lagi obsesi ini.
Saya ingat, masa sekolah rendah dulu, kami semua happy go lucky memanjang. Tiada pun tekanan apa-apa. Tapi sekarang, sudah ada insiden pelajar murung dan bunuh diri hanya kerana result UPSR.
6
Realitinya, peperiksaan normatif dalam tempoh 10-15 tahun kebelakangan ini telah bertukar jadi medan persaingan tidak sihat. Bila keputusan diumum, yang dirai bukan lagi kemenjadian murid, tetapi ranking sekolah.
Yang diangkat bukan lagi kreativiti pelajar, tetapi angka-angka KPI. Guru mengajar bukan lagi kerana cinta dan minat. Tapi kerana tekanan stigma satu dunia perlumbaan yang brutal. Dalam ekosistem begini, pembelajaran tidak lagi organik, tapi sudah jadi ritual “pertandingan” tahunan.
7
Secara jujur, sistem normatif ini juga kurang adil kepada sekolah-sekolah marginal di pedalaman, terutama di Sabah dan Sarawak. Ada sekolah yang dilengkapi makmal canggih, internet laju, dan guru opsyen yang lengkap. Ada sekolah yang masih bergantung pada meja kayu reput, elektrik tidak stabil, dan guru terpaksa ajar lima subjek serentak.
Tapi akhirnya, murid-murid harus dinilai dengan sistem normatif yang standard. Kemudian selepas itu dibuat pula ranking untuk disaksikan satu Malaysia. Pentasnya tidak sama rata, tapi kita expect tariannya mesti setara sempurna. Ini bukan meritokrasi; ini namanya fantasi dusta.
Anak-anak yang masih naif, mudah terkesan dengan perbandingan-perbandingan yang berat sebelah. Sebab mereka belum cukup matang untuk berfikir secara holistik.
8
Finland paling berjaya dalam pendidikan, sentiasa teratas mengikut benchmark PISA (Programme for International Student Assessment), World Economic Forum (Human Capital Report), dan UNESCO Education Index. Negara misali ini tidak lagi menggunakan peperiksaan kebangsaan standard pada peringkat rendah dan menengah bawah. Ujian nasional hanya muncul selepas level menengah atas.
Kenapa Finland menolak peperiksaan normatif untuk pendidikan awal? Sebab mereka faham bahawa menanda aras pelajar yang masih agak mentah bukan sahaja tidak mendidik, tetapi merosakkan minat dan kesejahteraan mental.
9
Dalam dunia pendidikan moden, peperiksaan normatif yang terlalu awal sudah dianggap amalan regresif. Tidak lagi selari dengan perkembangan pedagogi global.
Sebab itu Malaysia memilih mansuhkan UPSR dan PT3, tapi mengekalkan SPM dan STPM.
#RemRefleksi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan