Rabu, 29 April 2026

Politik NS vs Kelantan

 "Krisis Politik Negeri Sembilan Mengulangi Krisis Darurat Menteri Besar Kelantan 1977?"


Oleh: Azizul Farhan


Haritu pasal Undang dan Yamtuan Besar, tiba-tiba DUN pun buat krisis. Makin tak menentu hala tuju Negeri Sembilan sekarang.


Di Negeri Sembilan, UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Perikatan Nasional pula memberi isyarat sedia bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. 


Aminuddin pula menyatakan beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Isu ini bertambah rumit kerana krisis ini bukat setakat pasal cukup jumloh dalam DUN, tetapi turut bersangkut dengan krisis adat dan institusi negeri.


Tetapi tulisan ini bukan mahu mengupas panjang krisis Negeri Sembilan. Itu cerita lain yang perlukan artikel lain.


Krisis ini cuma menjadi pintu untuk kita melihat semula satu peristiwa lama yang jauh lebih panas. Satu krisis Menteri Besar yang akhirnya mengubah sejarah politik Kelantan dan hubungan PAS-UMNO untuk puluhan tahun selepas itu.


Kelantan, 1977.


Ramai orang hari ini mungkin susah nak bayangkan PAS pernah berada dalam Barisan Nasional. Sebab PAS dan UMNO sering dilihat sebagai dua parti Melayu-Islam yang bersaing sengit terutama di Kelantan. 


Tetapi pada awal 1970-an, suasananya berbeza. Selepas tragedi 13 Mei 1969, politik negara masuk ke fasa baharu. Kerajaan pusat mahu membina kestabilan. Parti Perikatan diperluaskan menjadi Barisan Nasional pada tahun 1973 dan PAS masuk ke dalam gabungan itu.


Atas kertas, idea itu nampak sangat baik. UMNO dan PAS duduk satu rumah. Politik Melayu-Islam kononnya boleh disatukan. Kelantan yang selama ini menjadi kubu PAS boleh dirapatkan dengan kerajaan pusat. Negara pula baru keluar daripada trauma 13 Mei. Jadi, kerjasama itu dijual sebagai jalan penyatuan dan kestabilan.


Tetapi politik tidak semudah itu.


Dalam satu rumah yang sama, dendam lama masih ada. Perebutan pengaruh masih ada. Rasa tidak percaya masih ada. UMNO masih UMNO. PAS masih PAS. Penyokong bawah masih membawa sejarah lama masing-masing. 


Di Kelantan, PAS masih menjadi kuasa utama. Menteri Besar ketika itu ialah Datuk Mohamed Nasir. Beliau orang PAS, tetapi hubungan beliau dengan pimpinan PAS pusat semakin lama semakin tegang. 


Pada masa itu, Presiden PAS ialah Datuk Mohd Asri Muda, tokoh besar PAS yang mempunyai pengaruh kuat. Lama-kelamaan, PAS Kelantan mula terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok menyokong Asri dan pimpinan PAS pusat. Satu lagi kelompok menyokong Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar.


Di sinilah masalah mula membesar.


Mohamed Nasir dilihat lebih disenangi UMNO. Dalam politik, persepsi seperti ini cukup bahaya. Bagi penyokong Asri, Mohamed Nasir mula dilihat seolah-olah lebih dekat dengan UMNO berbanding kepimpinan PAS sendiri. Bila persepsi seperti itu sudah melekat, setiap keputusan pentadbiran akan dibaca sebagai langkah politik. Setiap pertikaian akan dilihat sebagai pengkhianatan. Setiap gerakan akan dikaitkan dengan usaha melemahkan parti dari dalam.


Krisis ini tidak berlaku dalam satu malam. Ia beransur-ansur menjadi besar. Ada isu tentang pentadbiran negeri. Ada pertikaian tentang kuasa Menteri Besar. Ada soal disiplin parti. Ada rasa tidak puas hati terhadap cara Mohamed Nasir mengurus kerajaan negeri. 


Dalam kajian Kelantan di Bawah Pentadbiran Kuasa Darurat 1977 oleh Md. Rozimi bin Mohd Nasir, krisis ini dihuraikan sebagai pertelingkahan dalaman PAS Kelantan yang bertambah tegang selepas isu kedudukan Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar sehingga muncul pertentangan antara kumpulan pro-Mohamed Nasir dengan kumpulan pro-Mohd Asri Muda. 


Kemuncaknya berlaku apabila 20 ADUN PAS Kelantan diketuai oleh Datuk Haji Ishak Lutfi Omar menyokong usul undi tidak percaya terhadap Mohamed Nasir di Dewan Undangan Negeri.


Ini maksudnya Menteri Besar daripada PAS dijatuhkan oleh ADUN PAS sendiri. Parti yang menaikkan beliau akhirnya mahu menurunkan beliau. Tetapi yang menjadikan cerita ini lebih pelik ialah 13 ADUN UMNO dan seorang ADUN MCA pula menentang usul tersebut. 


Jadi, parti Mohamed Nasir sendiri mahu beliau tumbang, tetapi UMNO dan MCA yang menjadi rakan gabungan dalam BN pula mahu beliau kekal.


Kalau dilihat dengan mata politik hari ini, memang nampak terbalik. Sepatutnya UMNO lawan PAS. Tetapi dalam krisis ini, UMNO seolah-olah mempertahankan seorang Menteri Besar PAS daripada dijatuhkan oleh PAS sendiri. 


PAS pusat mahu menunjukkan bahawa Menteri Besar Kelantan tetap tertakluk kepada parti. Kalau parti sudah hilang percaya, Menteri Besar mesti akur. UMNO pula dilihat lebih selesa jika Mohamed Nasir kekal kerana beliau dianggap lebih mudah bekerjasama dengan kerajaan pusat dan BN. 


Maka DUN Kelantan menjadi medan pertarungan yang pelik. PAS melawan Menteri Besarnya sendiri. UMNO mempertahankan Menteri Besar PAS. Dan rakyat Kelantan menyaksikan semua ini dengan penuh kemarahan dan kekeliruan.


Selepas usul undi tidak percaya itu, Mohamed Nasir tidak meletakkan jawatan. Beliau meminta pembubaran DUN supaya pilihan raya negeri boleh diadakan. 


Tetapi permintaan pembubaran DUN itu tidak diterima.


Di sinilah krisis mula keluar daripada dewan dan masuk ke jalan raya. Bila jalan politik buntu, penyokong Mohamed Nasir mula bergerak. Mereka tidak mahu melihat Mohamed Nasir ditumbangkan begitu sahaja oleh kumpulan dalam PAS yang menentangnya. 


Pada 24 September 1977, satu demonstrasi besar diadakan di Padang Merdeka, Kota Bharu. Jumlah yang hadir dilaporkan sangat besar, malah ada laporan menyebut hampir 80,000 orang berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Mohamed Nasir. 


Lagi ramai daripada yang pergi konvoi bermotor lalu lapangan terbang haritu.


Kemudian berlaku pula demonstrasi pada 19 Oktober 1977. Kali ini ribuan orang berarak dari Padang Merdeka menuju Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Ada laporan menyebut sekitar 20,000 orang terlibat dalam perarakan itu. 


Keselamatan mula menjadi isu. Berlaku kekacauan, kerosakan harta benda, kecederaan dan tangkapan. Perintah berkurung dikenakan di kawasan tertentu seperti Kota Bharu dan Kubang Kerian. Beberapa kawasan dikenakan kawalan keselamatan selepas demonstrasi dan pergolakan politik berterusan.


Sehingga 8 Nov 1977, perintah berkurung, perhimpunan awam dan demonstrasi menyebabkan 19 orang cedera parah, 35 harta benda rosak dan 280 orang ditangkap.  


Di sinilah naratif mula berpecah.


Bagi kerajaan pusat, keadaan di Kelantan sudah tidak stabil. Demonstrasi berlaku. Keselamatan awam terganggu. Kerajaan negeri tidak dapat berjalan seperti biasa. Maka tindakan luar biasa diperlukan.


Tetapi bagi pihak PAS, perkara ini dilihat berbeza. Mereka melihat krisis itu sengaja dibesarkan untuk memberi alasan kepada kerajaan pusat masuk campur. 


Bagi PAS, Mohamed Nasir sudah hilang sokongan di DUN, maka beliau sepatutnya berundur atau proses politik biasa perlu berjalan. Tetapi sebaliknya, keadaan di luar digunakan untuk membenarkan campur tangan pusat. 


Pada 8 November 1977, darurat diisytiharkan di Kelantan. Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang juga Sultan Kelantan, Al-Marhum Tuanku Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat atas permintaan kerajaan pusat. 


Akta Kuasa Darurat Kelantan 1977 kemudian dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Hussein Onn diluluskan di Parlimen. Melalui akta ini, kerajaan pusat melalui Kerajaan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mendapat kuasa besar untuk mentadbir Kelantan melalui seorang Pengarah Kerajaan Persekutuan.


Orang yang dilantik sebagai Pengarah Kerajaan Persekutuan itu ialah Tan Sri Hashim Aman.


Akibat dari perintah darurat ini, Mohamed Nasir masih kekal sebagai Menteri Besar atas nama, tetapi kuasa sebenar pentadbiran negeri sudah terbatas. Kuasa eksekutif negeri secara praktikal berpindah ke tangan Pengarah Kerajaan Persekutuan. 


Demokrasi negeri Kelantan digantung secara de facto. DUN tidak lagi menjadi pusat kuasa sebenar. Pentadbiran negeri tidak lagi berjalan seperti biasa. Kerajaan pusat masuk dan mengurus negeri melalui struktur darurat.


Tetapi dari sudut politik PAS, semua itu tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan negeri telah dirampas kuasanya melalui darurat. Bagi PAS, walau apa pun alasan pembangunan yang diberikan, hakikatnya Menteri Besar yang sudah hilang sokongan masih dikekalkan, manakala kuasa pentadbiran negeri masuk ke bawah kawalan pusat. 


Dalam masa sama, hubungan PAS dengan BN mula retak sepenuhnya. Pemimpin PAS dalam Kabinet Kerajaan Malaysia terpaksa letak jawatan, kecuali Haji Hasan Adli. PAS menentang Akta Kuasa Darurat Kelantan. Walaupun PAS masih menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional, ramai Ahli Parlimen PAS tidak menyokong langkah tersebut. Ini mencetuskan krisis disiplin dalam BN. 


Dalam sebuah gabungan kerajaan, parti komponen dijangka menyokong keputusan kerajaan. Tetapi PAS memilih untuk menentang kerana isu itu melibatkan maruah politik mereka di Kelantan.


BN kemudian mendesak PAS mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimennya yang menentang rang undang-undang darurat. Masalahnya, mereka yang menentang bukan ahli biasa. Mereka tokoh besar PAS. Antaranya pemimpin tertinggi parti, tokoh ulama dan orang yang menjadi tulang belakang masa depan PAS. 


Kalau PAS memecat mereka, PAS seolah-olah menghukum pemimpinnya sendiri demi memuaskan kehendak BN. Kalau PAS tidak memecat mereka, PAS akan dianggap melanggar disiplin gabungan.


PAS memilih untuk tidak tunduk.


Pada 13 Disember 1977, PAS akhirnya disingkirkan daripada Barisan Nasional.


Ini titik pecah terbesar dalam sejarah politik Melayu. PAS masuk BN atas nama perpaduan selepas 13 Mei, tetapi keluar dengan rasa dikhianati. UMNO pula melihat PAS sebagai parti yang tidak patuh kepada disiplin gabungan. Selepas itu, hubungan PAS-UMNO kembali menjadi permusuhan panjang. Di Kelantan, luka ini lebih dalam kerana ia berkait terus dengan kejatuhan kerajaan negeri PAS.


Darurat diteruskan buat sementara waktu. Pentadbiran negeri berada di bawah bayang-bayang kuasa pusat. Rakyat Kelantan pula menunggu apa yang akan berlaku selepas itu. 


Pada 12 Januari 1978, pemerintahan MAGERAN ditarik balik.


Akhirnya, pilihan raya negeri diadakan pada 11 Mac 1978.


Keputusan pilihan raya itu sangat mengejutkan.


PAS kalah teruk.PAS yang pernah menjadi kuasa besar Kelantan hanya tinggal dua kerusi. UMNO menang 23 kerusi. BERJASA, parti baharu yang ditubuhkan oleh Mohamed Nasir menang 11 kerusi. 


Dengan keputusan ini, UMNO berjaya membentuk kerajaan negeri Kelantan buat pertama kali. Mohamed Yaacob daripada UMNO kemudian menjadi Menteri Besar Kelantan.


Mohamed Nasir pula tidak kembali kepada PAS. Beliau menubuhkan BERJASA, nama penuhnya Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia. 


Selepas pilihan raya, BERJASA bergabung dengan BN. Mohamed Nasir kemudian menjadi Senator dan Menteri tanpa portfolio dalam kerajaan persekutuan. Dari sudut politik, ini menguatkan lagi naratif PAS bahawa Mohamed Nasir akhirnya benar-benar berada di pihak BN.


Bagi PAS, 1978 ialah kekalahan yang sangat memalukan. Dari parti yang menguasai Kelantan, mereka hampir tersapu keluar. Tetapi kekalahan itu tidak mematikan PAS. Sebaliknya, ia menjadi luka yang membentuk semula identiti politik PAS selepas itu. 


PAS kembali bergerak sebagai parti pembangkang Melayu-Islam yang menentang UMNO dengan lebih keras. Kelantan pula berada di bawah BN selama lebih sedekad sehingga PAS kembali menang pada tahun 1990 melalui gelombang Angkatan Perpaduan Ummah.


Sebab itu Darurat Kelantan 1977 penting sangat dalam sejarah politik Malaysia. Ia adalah kisah bagaimana krisis Menteri Besar boleh berubah menjadi krisis negeri, kemudian menjadi darurat, kemudian mengubah peta politik satu negeri untuk bertahun-tahun.


Itulah yang berlaku di Kelantan.


Bezanya, krisis Negeri Sembilan turut bersangkut dengan adat dan institusi Yang di-Pertuan Besar. Kelantan 1977 berpunca daripada krisis PAS, Mohamed Nasir dan BN. Negeri Sembilan pula lebih rumit kerana ia menyentuh Undang, luak, adat perpatih dan perlembagaan negeri. Jadi, krisis hari ini tidak boleh dilayan semata-mata sebagai permainan angka DUN. Ia mesti diselesaikan dengan tertib, sah dan tidak merosakkan institusi negeri.


___


Politik ni mana ada hitam putih. Asalkan kau ada peluang untuk berkuasa, tolak tepi dah prinsip parti, pasti akan ada yang menangguk di air keruh.


Nak faham macam mana isu sosial diputar jadi modal politik?


Korang wajib baca POLITIK UNTUK PEMULA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan