Khamis, 4 Disember 2025

Anaera

 1. Sebagai seorang bekas pendidik, pernah juga menjadi guru pentadbir di sebuah sekolah menengah, tersayat sungguh hati apabila membaca kisah pelajar STPM Anaera ni. Seorang pelajar tingkatan enam. Sebulan lalu Anaera menjalani pembedahan usus melekat akibat komplikasi pembedahan apendiks dua tahun lepas. Doktor memberi arahan, pelajar tersebut direhatkan sebulan untuk proses penyembuhan demi kesihatannya. 


2. Malang sungguh sebagai seorang guru dan pentadbir sekolah. Yang mengklasifikasi ia sebagai kes ponteng berpanjangan. Lalu tiga orang guru bersama GPK HEM hadir ke rumah Anaera  dan menasihatinya  agar berhenti sekolah sahaja, bimbang pelajar berkenaan tidak mampu menghabiskan atau mengejar silibus dan tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan STPM pada 1 Januari 2026. Anaera akur dengan kehendak sekolah, dia diberhentikan sekolah dengan menggunakan borang yang dihulurkan oleh GPK HEM sekolah tersebut. 


Kenapalah pendek akal sangat jadi pentadbir sekolah macam ni? Tak ada budi bicara, tak ada timbang rasa, tidak ada pertimbangan yang rasional kepada keperluan anak didik sendiri. Sesak dada saya membacanya. Geramnyanrasa hati .


3. Itulah detik yang memadamkan motivasi diri pelajar yang dilakukan oleh pihak sekolah, pihak guru. Menjaga reputasi sekolah dijadikan agenda yang lebih utama berbanding menjaga masa depan seorang anak bangsa. Menjaga nama baik Pengetua dan pentadbir lebih penting daripada masa depan seorang manusia? Ketika pelajar berdepan ujian kesihatan, jalan pintas sekolah adalah memberhentikannya? Tiada sokongan, tiada perbincangan, tiada bantuan. Tetapi yang dibawa ialah borang persetujuan berhenti sekolah. 


4. Siapalah anak murid yang dalam keadaan lemah dan sakit untuk membantah kehendak sekolah? Siapalah ibu ayah jika berhadapan dengan begitu tegasnya pihak pentadbir di hadapannya? Sangat melampau pendirian guru tersebut pada saya. Memadamkan sebuah harapan anak murid dan keluarga. Mematikan semangat jiwa bangsa merdeka yang sedang mahu melakar harapan untuk hidupnya. Walau sedang diuji dengan kesakitan, tetapi tetap berazam untuk belajar demi masa depannya. Malang sekali, azam yang menggunung itu gagal disusuli dengan berhemahnya pihak sekolah tempat Anaera belajar. 


Kata ibunya, ketika Anaera baru sedar selepas pembedahan daripada ubat bius yang masih ditubuhnya, dia telah meminta ibu membawanya buku-buku ke wad untuk mengulangkaji. Ya tubuhnya sedang sakit, tetapi jiwa kentalnya tidak pernah berhenti berharap. Sehingga harapan itu dimusnahkan oleh guru, GPK HEM dan sekolahnya sendiri. 


5. Kes ini terpencil tetapi rupanya ia menjadi darah dan nanah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Apabila tular di media sosial, barulah guru kaunseling menelefon menyatakan tempat untuknya masih ada, senarai nama calon STPM untuk Anaera masih ada di sekolah tersebut. Pihak PPD  juga datang ke rumah menawarkan peluang menyambung sekolah di mana-mana sekolah yang dipilihnya. 


6. Ironinya semua pihak sekolah dan PPD mahu menutup kesalahan mereka, bimbang apabila ia tular di media sosial. Beranilah untuk mengakui kesilapan dan kelemahan aspek kemanusiaan guru, pihak sekolah dan PPD dalam hal ini. Kebocoran info menjadikan mereka marah dan bimbang, bukannya berempati kepada si mangsa. Ayat PPD yang berkunjung ke rumah Anaera jelas bagai menghukum ibu apabila berita ini tersebar. 


Kata pihak PPD…

“Saya harap siapa yang mula isu ini, dialah juga yang tamatkannya.” 


7. Apa pula permulaan isu apabila sekolah dan GPK HEM yang menghulurkan borang berhenti sekolah kepada Anaera? Patut didiamkan? Siapakah yang memulakannya? Betulkan tindakan itu? Ke mana perginya Menteri Pendidikan Malaysia? Semudah itu kah mahu menutup kes Anaera seperti kes Zara Qairina? Hentikan mentaliti pihak kementerian mahu mengejar kecemerlangan keputusan peperiksaan sehingga menggadaikan nilai kemanusiaan. Fitrah sistem pendidikan yang sebenar adalah membangunkan sifat manusiawi dan bukannya mencipta manusia robot. 


8. Kepada semua guru, hormatilah kedudukan kita sendiri sebagai pendidik. Lakukan yang terbaik untuk anak didik kita. Nanti anak kita sendiri akan mendapat yang terbaik untuk kehidupan mereka. Biar apapun situasinya, sekali bergelar guru, kitalah ibu dan ayah kedua untuk anak didik kita. Biarpun ruang lingkup tugas mendidik itu semakin terhad, tetapi insani dalam kemanusiaan itu begitu luas sekali. Tiada sempadannya. Selagi boleh, usahakanlah. Kerana setiap orang tidak wajar dikhianati oleh sistem yang salah. Kezaliman tidak wajar dibiarkan. Bersuaralah. 📚📚📚

Sabtu, 29 November 2025

Sesi petang

 Cikgu Pagi vs Cikgu Petang 

Realiti Yang Ramai Tak Tahu 🌞🌚


Pentadbir mainkan peranan.. 

jgn beza2kan sesi pg dan sesi ptg..

Jgn wujudkan smk A dan smk B dalam satu sekolah..

But the truth.. 

sesi ptg ni mmg slalu cg2 lebih rapat.. 

seronok dan rileks sbb xde exam besar kt ptg and paling penting.. 

sebab kt petang takde pentadbir yg ramai..

Tu yg enjoy..


Kebanyakan sekolah sekarang masih dua sesi, terutamanya kawasan bandar.

Sekolah aku je yang ‘untung’ satu sesi.

Tapi sebab aku dah pindah sekolah sana-sini,

aku pernah rasa dua-dua musim ;

mengajar pagi, dan mengajar petang.


Dan… jujurnya beza dia besar gila.


🌞 CIKGU SESI PAGI


✔️Tanggungjawab besar, terutamanya bila handle murid SPM.

✔️Subjek berat, peperiksaan besar, dan murid pun dah matang sikit.

✔️Bising tu ada… tapi terkawal.

✔️Mood murid pun baru “fresh keluar peti ais”, masih manageable.

✔️Tekanan lebih pada akademik dan data.


🌚 CIKGU SESI PETANG


✔️Subjek tak seberat pagi… tapi

✔️perangai budak-budak petang ni lain macam. Ada masa rasa macam handle pusat jagaan burung merpati.

✔️Bising dia level “tidak boleh diterangkan dengan kata-kata”.

✔️Mental kena kuat. Suara kena power.

✔️Murid masih kecil, masih mentah, masih nak cuba semua benda.


🔍 TAPI INI YANG ORANG TAK NAMPAK…


Sepanjang aku lalu banyak sekolah,

aku tak pernah jumpa sekolah dua sesi yang betul-betul “satu team”.


Realitinya...


Sesi pagi ada kelompoknya.

Sesi petang ada dunianya.


Dan biasanya…

cikgu petang selalu lebih bersatu.

Sebab biasa cikgu petang tak seramai cikgu pagi.

Bila sikit, senang nak melekat.

Senang nak “jadi geng”.


Tapi tu lah…

Ramai cikgu petang selalu rasa diri

 “anak tiri sekolah”.


– Pagi diutamakan.

– Program pagi lebih banyak perhatian.

– Bila guru pagi tak cukup, petang kena tarik cover.

– Dan bila pagi dah cukup,

cikgu yang dah seronok di pagi akan dihantar balik ke petang semula.

Lumrah… tapi pedih juga kalau asyik jadi mangsa turun naik masa.


💛 Akhirnya…


Cikgu pagi ada cabaran.

Cikgu petang ada cabaran.

Kedua-duanya letih, dua-duanya penting.


Cuma realiti di sekolah dua sesi…

jurang tetap ada.

Dan hanya orang yang pernah lalui dua-dua,

akan faham betapa berbezanya dunia itu. 


****************


Sejujurnya… aku sangat merindui kenangan aku di sesi petang tak lama dulu.

Walaupun bising, walaupun penat layan perangai budak-budak yang tak reti duduk diam…

tapi suasana dia lain.

Geng dia lain.

Kemesraan tu lain.


Kadang tempat yang paling penat tu lah

yang paling tinggal dalam hati. 🌚


#suhailabukhari_journey

Guru disiplin

 2 hari lepas aku jumpa seorang Ustaz, yang dia mengajar sekolah menengah agama.


Bukan sekolah agama biasa-biasa, tapi sekolah agama Kristian, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.


Sebelum ini dia mengajar SMK biasa, sekarang dipindahkan ke sana, dan mengajar subjek agama untuk pelajar Islam yang tak sampai 50 orang.


Sebenarnya aku bincang dengan dia untuk Projek Beg Sekolah di Borneo awal Januari tahun depan, tapi dah bawa cerita lain pula.


Aku tanya dia, macam mana sekolah baru ok?


Dia senyum lepas sambil nampak semua baris gigi, dengan jawapan...


"Lebih jadi macam 'cikgu'lah senang kata..."


Aku kagum dengar jawapan dia. Jadi, aku nak tahu juga kenapa dia boleh kata 'lebih jadi cikgu' di sekolah agama lain berbanding sekolah lama...

...


Katanya...


-semua guru-guru sama, tiada senior atau junior, akan bagi kerjasama. 


-Bab terima jawatan guru kelas, jadi cikgu panitia, jadi ketua program dan sebagainya, semua akan rasa tanpa had umur. Tiada alasan "kami dah tua, bagi lah cikgu yang muda-muda..."


-Kerjasama dengan ibu ayah sangat bagus. Mesyuarat PIBG memang cemerlang.


-Rotan? Semua guru boleh rotan murid. Ada masalah? Pengetua akan jawab.


...


"Saya bang, kerja tak susah sangat sebab Pengetua dengan Pentadbir mudahkan kerja saya, walaupun saya cikgu disiplin..."


Haaaa..kau cikgu disiplin? Terkejut aku. Sudah la jadi Ustaz, jadi cikgu disiplin pula. Bukan ke agak mencabar sebab lebih 90% pelajar bukan Melayu-Islam.


Dia sambung, kerja jadi senang sebab..


-Dia akan urus disiplin mana yang boleh. Jika tak boleh selesai, GPK HEM akan uruskan. Kalau ada masalah lagi, Pengetua yang akan bantu pula.


-Kalau va pe atau ro kok, memang GPK HEM akan uruskan. Kalau masuk kes polis dan sebagainya, Pengetua akan uruskan pula.


-Jadi, kerja saya sebagai Guru Disiplin dan mudah sangat. Kalau ada isu rotan atau dengan ibu ayah, Pentadbir saya akan 'back-up' saya, sebab mereka tahu tugas kita dan cara kita kerja..


...

Alhamdulillah, senang betul kerja kalau bos-bos kita bantu mudahkan kerja kita.


Baru nie aku teringat ada seorang YB, pergi jumpa Pengetua/ Guru Besar sebab kes buli di sekolah.


Bila dah sampai dan bersua di pejabat sambil bercerita penuh sebab nak selesaikan kes ini, nak tahu apa Pengetua itu respon?


...

"Saya sebenarnya dah nak pencen tak lama lagi nie. Kalau boleh saya tak nak peningkan kepala saya dah..."


YB dan wakil yang datang semua terkedu. Macam ini ke jawapan dari orang yang paling tinggi dalam sekolah? Lepas tangan habis sebab nak makan pencen? 


hmmm...

...


Sambung dia lagi, bab fasiliti sekolah semuanya lengkap. Setiap kelas dah ada papan pintar sesentuh (Smartboard-touch screen).


Satu sekolah, bukan satu kelas. 


Punya hebat sekolah nie. Aku yang bantu isteri aku nak dapatkan dana untuk buat 1 'smartboard' untuk sekolah dia dari bulan 6, punya berposak cari baru ada 4K.😅🤭


Ini semua kelas dah ada. 


Nak cetak bahan untuk murid? BIlik komputer, pencetak, kertas semua ada. Silakan guna. Tak perlu beli 'printer', kertas hatta laptop sendiri pun tak perlu sebab sekolah dah sediakan di Makmal Komputer.

...


Lagi satu yang paling aku tertarik, bila dia kongsikan kena buat program guru-guru di bawah kelab, sebab dia Pengerusi Kelab Guru Sekolah. 


Pentadbir cakap..."Ustaz buat aja program. Duit tak cukup, beritahu kami yea..."


Fuhhh..


Akhirnya guru-guru sekolah itu ke Thailand untuk program tersebut. Nak tahu mana dana mereka dapat selain sumbangan dari ibu bapa, korporat atau lain-lain?


Mereka ada persatuan alumni sekolah yang berfungsi dengan baik. Senang-senang aja 10K mereka hulur untuk program sekolah. :-)


...

Lepas aku sembang mengenai sekolah menengah agama ini dan Projek Beg Sekolah Borneo kami, aku simpulkan beberapa perkara...


-Bos atau pentadbir yang bagus, mudahkan kerja kau dan 'back-up' kau lagi-lagi jika kau staf/ cikgu yang bagus. Supaya staf buat kerja tanpa ada ancaman luar


-Guru-guru yang satu pasukan, ada otak atau fikrah yang sama untuk didik anak murid jadi orang pandai dan berguna. Bukan hanya bergantung pada hierarki atau senioriti aja semata-mata.


Kalau tidak, kerja asyik tolak tepi, tapi Anugerah Kecemerlangan sibuk nak masuk nama "Bagilah kami. Kami dah nak pencen. Cikgu-cikgu muda ada peluang lagi nanti.."


-Ibubapa yang bagus dan prihatin pada peranan sekolah. Bukan sekadar hantar anak atau hadir mesyuarat PIBG, tapi sumbang du it, barang, simen, batu-batu untuk sekolah.


Walaupun ada yang miskin, tapi mereka pastikan tempat yang didik anak mereka mesti dibantu, walaupun satu batu-bata.


-Alumni sekolah. Ini yang tak ramai atau banyak sekolah, lagi-lagi di bawah KPM buat. Sedangkan ramai profesional, insan-insan berjaya yang lahir dari sekolah itu boleh membantu.


Tapi sebab tiada ruang, tiada jaringan dan tiada persatuan rasmi, tak dapatlah mereka menyumbang kembali.


...

Sebenarnya bila kita dengar seorang kawan, ustaz dan cikgu disiplin bercerita pengalaman dia di atas, kita jadi seronok. 


Sebab, kadang kala bila dengar kisah kawan-kawan yang jadi cikgu asyik cerita nak pencen aja memanjang. hahaha


Mungkin sekolah-sekolah mereka juga perlukan perubahan, dari pengetuanya, gugu-gurunya, ibu bapa dan alumni. 


Bukannya ubah individu, tapi mengubah cara kerja dan cara fikir. 


Mana tahu, kalau dulu nak cetak kertas pun kena beli 'printer' sendiri, tapi bila semua ubah sikap, 'smart-board' pun terpampang besar di tapak perhimpunan. :-)

Isnin, 24 November 2025

Maaf

 🔥Air Mata dan Tamparan Seorang Ibu


Di bandar Nowshahr, Iran, pada tahun 2014, orang ramai berkumpul untuk menyaksikan hukuman gantung seorang pemuda bernama Balal. Tali sudah melingkar di lehernya, matanya tertutup, dan kerusi eksekusi telah disiapkan. Dia dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Abdollah Hosseinzadeh, remaja berusia 17 tahun yang terbunuh dalam pergaduhan jalanan tujuh tahun sebelumnya.


Di antara orang ramai, berdiri Samereh Alinejad, ibu kepada mangsa. Dia telah menanggung amarah dan kesedihan bertahun-tahun. Semua orang menyangka apabila dia maju mendekati pembunuh anaknya, yang akan keluar adalah luapan kemarahan terakhir, tetapi kenyataannya berbeza.


Samereh menatap wajah Balal yang gemetar, lalu menampar pipinya. Tamparan itu bukan tanda kebencian, tetapi puncak pengampunan. Dalam hukum qisas Iran, keluarga mangsa berhak menentukan sama ada pelaku digantung, dibayar diyah, atau dimaafkan. Di hadapan semua orang, ibu itu memilih yang paling berat, iaitu memaafkan.


Ayah mangsa naik ke pentas dan melepaskan tali dari leher Balal, lalu pelaku jatuh bersujud di tanah sambil menangis histeris. Tangisan itu bukan hanya milik Balal, tetapi juga mereka yang menyaksikan bagaimana kematian digantikan oleh pengampunan.


Dalam wawancara selepas itu, Samereh berkata dengan mata berkaca-kaca, “Tiga hari sebelum eksekusi, aku bermimpi melihat anakku. Dia tersenyum padaku. Itu adalah tanda bahawa aku harus memaafkan.”


Dia juga berkata, “Aku rasa Tuhan memberiku kekuatan untuk memaafkan. Saat aku naik ke pentas, kakiku gemetar, tetapi tiba-tiba aku menampar wajahnya dan berkata, ‘Sekarang kamu bebas.’”


Dia menutup pernyataannya dengan kata-kata yang membuat dunia terdiam, “Aku sudah kehilangan anakku. Aku tidak mahu ibu lain merasai perkara yang sama.”


Momen itu diabadikan oleh jurugambar Arash Khamooshi dari agensi berita ISNA, dan fotonya tersebar ke seluruh dunia. Gambar ibu yang menampar pembunuh anaknya tepat sebelum tali dilepaskan menjadi simbol kekuatan batin manusia, bahawa kadang-kadang kekuatan terbesar bukan datang dari pembalasan tetapi dari hati yang memilih untuk mengampuni.


Kisah ini menjadi pengingat bahawa walaupun di tempat yang paling keras, kemanusiaan masih boleh bersuara.


Jumaat, 14 November 2025

Upsr

 Saya setuju peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan. Ya, saya tau ini pandangan yang tidak popular dan kontroversi. Tapi mohon bertenang semua. Dengan minda yang jernih, mari kita cuba selami dulu, asas dan justifikasi dasar baru ini.


1

Kita mesti faham dan hadam. Bahawa keputusan memansuhkan peperiksaan normatif kebangsaan (UPSR dan PT3) bukan dibuat oleh menteri atau KPM. Ia datang dari satu siri engagement panjang, yang melibatkan semua stakeholders utama. Termasuk pakar pendidikan, pelajar, guru, ibubapa, agensi kerajaan, gerakan sivil dan industri.


Saya sendiri pernah hadir dan ambil bahagian dalam sesi libaturus tersebut. Keputusan ini memang sukar, dan bukan diambil dengan sambalewa. Ada pelbagai pandangan yang saling kontradiksi. Ya, padat dengan pro dan kontra yang begitu kompleks.


2

Tapi ada kefahaman yang sering disalah tafsir. Yang dimansuhkan cuma amalan lama, iaitu penilaian normatif yang standard di seluruh negara. Tapi penilaian formatif yang berterusan di peringkat sekolah, masih wujud. Maksudnya, sekarang ini bukanlah tiada peperiksaan langsung!


UPSR dan PT3 ialah peperiksaan normatif. Ia meletakkan pelajar seluruh Malaysia dalam ranking tertentu, mengikut “siapa lebih hebat”. Bila sistem nasional ini dimansuhkan, guru masih memantau kemajuan murid secara berterusan. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tetap berjalan. Maksudnya, murid bukan ‘dibiarkan tanpa penilaian’. Hanya kaedah saja yang diperbaharui.


3

Kenapa keputusan ini diambil? Sebab berdasarkan input dalam libaturus, sistem peperiksaan kebangsaan membawa gejala pembelajaran yang kurang positif. Contohnya, melahirkan budaya “ranking sekolah”, bukan pembangunan murid. Memaksa sekolah mengejar markah, bukan kemahiran. Menyuburkan industri tuisyen yang tidak inklusif, yang cuma mampu diakses oleh golongan sosioekonomi tinggi.


Sistem peperiksaan normatif begini boleh menjadikan sekolah bukan lagi tempat belajar, tetapi seperti kilang markah tempat mengejar bilangan A.


4

Saya tidak mau cakap sama ada sistem ini melahirkan generasi kakak tua atau tidak. Sebab saya pun lahir daripada sistem yang sama. Tapi pengalaman saya mengajar di universiti selama lebih 20 tahun, ada satu fenomena yang pelik. 


Kohort pelajar yang saya ajar, tahun demi tahun, jumlah A (masa sekolah) semakin banyak. Persoalannya: adakah kualiti pemikiran dan daya resilient pembelajaran mereka di universiti makin efektif? Tidak juga. 


Makin lama, makin manja dan kurang berdikari. Belum lagi bercakap soal adab dan mentaliti. Maksudnya, jumlah A dan nilai gred dari peperiksaan normatif tidak lagi berkorelasi dengan kualiti personal.


5

Kenapa agaknya? Mungkin sebab budaya peperiksaan zaman saya dulu sangat berbeza dengan sekarang. Dulu, semua chill saja. Sekarang ini, ketaksuban sekolah mengejar ranking kadang-kadang bikin takut. Berlumba-lumba mau jadi yang teratas. Kewujudan media sosial juga merancakkan lagi obsesi ini.


Saya ingat, masa sekolah rendah dulu, kami semua happy go lucky memanjang. Tiada pun tekanan apa-apa. Tapi sekarang, sudah ada insiden pelajar murung dan bunuh diri hanya kerana result UPSR. 


6

Realitinya, peperiksaan normatif dalam tempoh 10-15 tahun kebelakangan ini telah bertukar jadi medan persaingan tidak sihat. Bila keputusan diumum, yang dirai bukan lagi kemenjadian murid, tetapi ranking sekolah. 


Yang diangkat bukan lagi kreativiti pelajar, tetapi angka-angka KPI. Guru mengajar bukan lagi kerana cinta dan minat. Tapi kerana tekanan stigma satu dunia perlumbaan yang brutal. Dalam ekosistem begini, pembelajaran tidak lagi organik, tapi sudah jadi ritual “pertandingan” tahunan.


7

Secara jujur, sistem normatif ini juga kurang adil kepada sekolah-sekolah marginal di pedalaman, terutama di Sabah dan Sarawak. Ada sekolah yang dilengkapi makmal canggih, internet laju, dan guru opsyen yang lengkap. Ada sekolah yang masih bergantung pada meja kayu reput, elektrik tidak stabil, dan guru terpaksa ajar lima subjek serentak.


Tapi akhirnya, murid-murid harus dinilai dengan sistem normatif yang standard. Kemudian selepas itu dibuat pula ranking untuk disaksikan satu Malaysia. Pentasnya tidak sama rata, tapi kita expect tariannya mesti setara sempurna. Ini bukan meritokrasi; ini namanya fantasi dusta.


Anak-anak yang masih naif, mudah terkesan dengan perbandingan-perbandingan yang berat sebelah. Sebab mereka belum cukup matang untuk berfikir secara holistik.


8

Finland paling berjaya dalam pendidikan, sentiasa teratas mengikut benchmark PISA (Programme for International Student Assessment), World Economic Forum (Human Capital Report), dan UNESCO Education Index. Negara misali ini tidak lagi menggunakan peperiksaan kebangsaan standard pada peringkat rendah dan menengah bawah. Ujian nasional hanya muncul selepas level menengah atas. 


Kenapa Finland menolak peperiksaan normatif untuk pendidikan awal? Sebab mereka faham bahawa menanda aras pelajar yang masih agak mentah bukan sahaja tidak mendidik, tetapi merosakkan minat dan kesejahteraan mental. 


9

Dalam dunia pendidikan moden, peperiksaan normatif yang terlalu awal sudah dianggap amalan regresif. Tidak lagi selari dengan perkembangan pedagogi global. 


Sebab itu Malaysia memilih mansuhkan UPSR dan PT3, tapi mengekalkan SPM dan STPM.


#RemRefleksi