Sabtu, 24 Januari 2026

Pencen

 *PENCEN YANG MEMBUNUH POTENSI*


Sejak kebelakangan ini, aku perasan satu fenomena yang menyentuh hati tetapi dalam masa yang sama, membuat aku rasa sedih


Ramai yang sudah pencen.

Dan ramai di antara mereka berkata :


“Saya dah pencen, fokus akhirat jer sekarang. Dunia saya dah tinggal, sekarang hanya kelas agama, kelas Al-Quran”


Niat mereka baik,

Hati mereka lembut,

Mereka mahu dekat dengan Allah. Dan itu sangat mulia


Tapi ada satu hakikat yang tiba-tiba menikam fikiran aku


Pencen adalah istilah kapitalis. Dalam Islam, pencen ertinya mati


Islam tak pernah ajar manusia berhenti memberi manfaat selagi dia masih hidup. Allah dan Rasulnya tidak pernah cakap :


“Bila umur dah 55 - 60, berhenti menyumbang.”


Tidak


Selagi nafas ada, selagi tangan boleh bergerak, selagi lidah boleh bercakap, selagi akal masih waras, Allah masih menuntut kita memberi manfaat


Bukan kerana dunia,

tetapi kerana itu juga ibadah


Allah beri ilmu bukan untuk disimpan,


Allah beri skill bukan untuk dibawa ke kubur


Aku teringat kata-kata Ustaz Nouman Ali Khan di World Quran Convention :


“Jika Allah beri kamu ilmu, pengalaman dan skill,

itu tanda Allah mahu kamu bantu ummah. Kamu ada tanggungjawab untuk melatih generasi muda, bukan berhenti hanya kerana kamu sudah ‘pencen’.”


Kata-kata itu membuatkan aku terdiam lama


Ramai yang dulu jurutera hebat, tapi selepas pencen, skill itu dibiarkan berhabuk


Ramai yang dulu guru terbaik,

tapi selepas pencen, tak lagi mengajar walau satu pelajaran kecil


Ramai yang dulu pakar pentadbiran, pakar kewangan, pakar pertanian, pakar teknologi, tapi hari ini mereka rasa dunia tak perlukan mereka


Padahal, merekalah harta terbesar umat Islam


Siapa lagi nak melatih generasi muda? Kalau bukan mereka yang sudah melalui hidup di masa lampau?


Ada anak muda terkapai-kapai nak belajar kerja. Ada anak muda mahu belajar bisnes tapi tak ada mentor. Ada anak muda mahu jadi baik, tapi tak ada orang tua yang membimbing


Sementara ramai yang sudah pencen, diam di rumah, hadir kelas agama, hadir kelas Al-Quran yang itu sangat bagus


Tapi mereka lupa satu lagi ibadah besar :


Mengalirkan manafaat kepada manusia. Mengajar apa yang mereka tahu. Membimbing generasi baru. Membangun dunia sambil membangun akhirat


Pencen bukan bermaksud berhenti. Pencen bermaksud fasa baru untuk memberi lebih banyak


Bayangkan…


Kalau seorang guru pencen ajarkan 5 anak muda mengaji, mengurus hidup, membina karakter, itu adalah pahala berterusan 


Kalau seorang jurutera ajarkan 3 anak muda kemahiran teknikal, itu sedekah jariah


Kalau seorang bekas pengurus ajar adab kerja, disiplin, leadership, itu pahala yang terus menaik walaupun dia tidur


Membantu dunia juga ibadah

Mengajar manusia juga ibadah

Menyebar manfaat juga ibadah


Dan semua ini boleh dibuat tanpa meninggalkan kelas agama atau kelas Al-Quran.


Selagi kita masih dipinjamkan usia, kita belum pencen dari berbuat baik


Aku pandang sekeliling dan aku terfikir :


Bila Allah masih biarkan kita hidup, itu tanda Allah masih mahu kita memberi manfaat


Kerana dalam Islam, pencen hanya ada satu


Pencen sebenar adalah ketika kita mati. Sebelum itu, kita masih pekerja Allah yang wajib memberi.

Khamis, 22 Januari 2026

Diskriminasi 6 tahun

 Saringan diagnostik atau kelayakan ke Tahun 1 langgar prinsip asas pendidikan awam


[1]

Ujian diagnostik atau saringan untuk menentukan kelayakan seorang kanak-kanak berumur 6 tahun masuk sekolah adalah satu pelanggaran prinsip asas pendidikan awam. 


[2]

Ujian diagnostik atau ujian pengesan hanya digunakan untuk tujuan mengenalpasti keperluan murid, bukan bertujuan mendiskriminasikan murid. Malah istilah ujian dianogstik adalah tidak tepat untuk situasi ini. Sebenarnya, yang dimaksudkan dalam situasi ini ialah ujian kelayakan yang bersifat pemilihan melalui amalan isihan (discriminate). 


[3]

Mana mungkin anak-anak yang baru berumur lima tahun diberikan ujian kelayakan untuk menentukan mereka boleh masuk tahun satu atau tidak? 


[4]

Layak masuk atas asas apa? 


3M? Anak-anak ini belum masuk pendidikan formal lagi. Mengapa diukur kemahiran 3M mereka? 


[5]

Atas asas kestabilan emosi? Anak-anak yang akan ambil ujian nanti baru berumur lima tahun. Tidak ada teori perkembangan kanak-kanak yang boleh mengesahkan anak-anak lima tahun mempunyai kestabilan emosi. 


[6]

Atas asas keupayaan kognitif/cara fikir? Pada usia 5 tahun, pembangunan kognitif kanak-kanak masih belum lengkap sepenuhnya. Kognitif anak-anak ini masih lagi pada peringkat pra perkembangan kognitif yang konkrit. Keupayaan kognitif pada tahap ini sangat dipengaruhi oleh status sosio ekonomi keluarga, latar belakang pendidikan ibubapa dan sokongan kemudahan di rumah seperti gajet, internet, buku. Tentulah ujian kelayakan seperti ini akan memberi banyak kelebihan pada kanak-kanak dari latar SES tinggi. Apa jadi kepada anak-anak dari keluarga yang sangat miskin? 


[7]

Jelas tindakan melaksanakan ujian diagnostik atau pengesanan (sebenarnya ujian kelayakan) adalah tidak adil pada kanak -kanak seusia lima tahun. Pendidikan awam WAJIB bersifat Inklusif dan tidak boleh sama sekali bersifat eksklusif.


[8]

Menafikan hak kanak-kanak umur enam tahun masuk sekolah di saat sebahagian kanak-kanak yang lain dibenarkan masuk adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan, sifat kemanusiaan, meningkatkan kesenjangan atau jurang pendidikan serta membelakangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 


[9]

Ini adalah satu pelanggaran yang serius kepada prinsip keadilan akses pendidikan dan usaha untuk merapatkan jurang pendidikan. Malah jelas satu penafian kepada hak asasi pendidikan asas untuk semua kanak-kanak yang telah memenuhi umur layak masuk sekolah.


Dr Anuar Ahmad 

Pakar Pendidikan

Selasa, 20 Januari 2026

Humble

 Janganlah dibunuh semangat dan motivasi orang hanya kerana kesalahan kecil. Tiada manusia yang sempurna, termasuklah kau yang bergelar ketua, pentadbir atau pengurus.


Pangkat tidak menjadikan seseorang itu kebal daripada kesilapan dan jawatan bukan lesen untuk melukakan hati dan perasaan orang.


Belajarlah menghargai sebelum sibuk mencari cela. Raikan dahulu usaha orang. Walaupun kecil di mata kau tapi besar maknanya buat orang itu.


Jangan disusahkan, jangan dipersulitkan dan jangan setiap perkara diteliti hanya untuk memburu kesalahan.


Ingatlah, suatu masa dahulu kau juga pernah berada di bawah. Kau juga pernah penat, pernah mengharapkan pujian dan pernah mendambakan sedikit empati.


Bila sudah berada di atas, janganlah sombong dan berlagak sehingga lupa adab dan ihsan. Suatu hari nanti, tempoh di atas itu akan tamat dan kau akan kembali bersama² berada di bawah aturan-Nya.


In shaa allah doa orang yang disakiti dan dizalimi, doanya sangat dekat dengan Allah. Kadang² bukan kerana orang tu tidak kuat, tetapi kerana terlalu penat menahan. Penat untuk terus bersangka baik dan penat untuk terus positif.


Manusia mungkin mudah lupa layanan manis, tetapi sangat lama mengingati pahit yang pernah ditelan.


Jika tidak mampu membahagiakan orang, sekurang²nya jangan menyakitkan. Kuasa itu sementara, tetapi luka di hati manusia, kesannya kekal lama.


@norhaizatmokhtarrudin

Panglima islam

 Inilah 5 Panglima Perang Paling Top dalam Sejarah Islam ⚔️.


Dalam sejarah Islam, ada para panglima yang bukan hanya kuat di medan perang,

tetapi juga mulia akhlaknya dan lurus imannya.


Pertama, Khalid bin Walid.

Dijuluki Saifullah al-Maslul, pedang Allah yang terhunus.

Ahli strategi perang yang tidak pernah kalah,

menjadi kunci kemenangan Islam di Mu’tah dan Yarmuk.


Kedua, Ali bin Abi Thalib.

Singa Allah dan Gerbang Ilmu.

Keberaniannya tak tertandingi, kecerdasannya luar biasa.

Ia menjadi panglima utama di Badar, Khandaq, dan Khaibar.


Ketiga, Hamzah bin Abdul Muthalib.

Asadullah, Singa Allah.

Pahlawan Perang Badar yang ditakuti Quraisy,

dan gugur sebagai syuhada di Perang Uhud.


Keempat, Sa’ad bin Abi Waqqash.

Penakluk Persia.

Panglima Qadisiyah yang meruntuhkan Kekaisaran Sassaniyah,

dikenal sebagai sahabat dengan doa yang mustajab.


Kelima, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.

Aminul Ummah.

Panglima rendah hati, jujur, dan disiplin,

penakluk Damaskus dan pemimpin pasukan Syam.


Mereka berperang bukan demi dunia,

tetapi demi menegakkan agama Allah.


#FaktaUnikIslami 

#FaktaIslam 

#SejarahIslam 

#KisahPanglimaIslam 

#PejuangIslam 

#KisahPanglimaPerang

Rabu, 14 Januari 2026

Revenge

 "Dimalukan Depan 100,000 Orang, Jurutera Ini Balas Dendam Dengan Cipta Empayar Bernilai Berbilion Dolar."


Oleh: Mazlan Syafie


Tuan-tuan pernah tak rasa dikhianati? Rasa macam kena tikam belakang oleh orang yang kita percaya?


Rasa sakit tu, pedih kan?


Tapi hari ini saya nak cerita pasal seorang jurutera Jepun yang mengubah rasa sakit tu jadi "senjata nuklear" yang memusnahkan musuhnya.


Nama dia Ken Kutaragi. Umur 35 tahun.


Dia kerja di Sony.


Zaman tu (80-an), Sony ni syarikat "kayangan".


Dorang buat TV Trinitron, dorang buat Walkman. Barang dorang semua high class.


Video game? Bagi bos-bos Sony, itu mainan budak-budak. Takde kelas. Buat malu kompeni je.


Tapi Kutaragi ni lain macam sikit. Dia obses.


Dia tengok anak perempuan dia main Nintendo Famicom kat rumah. Mata dia nampak sesuatu yang orang lain tak nampak.


Dia nampak masa depan.


Dia tahu, satu hari nanti, "mainan budak-budak" ni akan jadi industri hiburan paling besar di dunia, potong wayang gambar dan muzik.


Jadi apa dia buat?


Dia buat kerja gila. Dia cipta cip bunyi (sound chip) untuk Nintendo secara senyap-senyap.


Dia buat kat rumah, malam-malam lepas balik kerja. Dia sorok daripada bos Sony.


Bila kantoi, bos besar Sony mengamuk sakan.


"Kau guna harta syarikat untuk buat benda bodoh ni?"


"Kau nak kena pecat ke?"


"Video game bukan bisnes kita!"


Nyaris-nyaris dia kena tendang keluar. Tapi nasib dia baik. CEO Sony masa tu, Norio Ohga, nampak bakat dia.


Ohga selamatkan Kutaragi. "Bagi budak ni teruskan," katanya.


Maka bermulalah kerjasama bersejarah antara Sony dan Nintendo pada tahun 1988.


Dorang setuju nak buat projek "Super Disc". Sony buat alat, Nintendo buat game.


Bos-bos Sony suka lah. Dorang dapat tumpang nama Nintendo, Raja Gaming masa tu.


Semua nampak cantik. Sampailah tarikh keramat Jun 1991.


Lokasi: Consumer Electronics Show (CES), Chicago.


Ini event teknologi paling besar dalam dunia. Semua mata tertumpu kat pentas.


Bos-bos Sony duduk barisan depan. Senyum lebar. Pakai sut mahal. Bersedia nak naik pentas raikan kerjasama dengan Nintendo.


Sekali... Naib Presiden Nintendo, Howard Lincoln, pegang mikrofon.


Dengar baik-baik apa dia cakap.


Dia tak sebut pun nama Sony.


Sebaliknya, depan 100,000 orang, depan wartawan satu dunia, dia umumkan Nintendo akan bekerjasama dengan Philips (pesaing Sony).


Dia batalkan deal dengan Sony secara live atas pentas!


Tuan-tuan bayangkan muka bos-bos Sony masa tu.


Terkedu. Jatuh rahang. Muka merah padam menahan malu.


Dorang dikhianati hidup-hidup. Dimalukan di pentas dunia.


Balik ke Tokyo, bilik mesyuarat Sony meletup.


"Kan aku dah cakap! Jangan main dengan industri game ni!"


"Buat malu kaum je!"


"Tutup projek ni! Kita fokus jual TV balik!"


Semua orang nak give up. Semua orang nak lari menyorok dalam gua. Malu weh. 


Tapi Kutaragi bangun.


Dia tak minta maaf. Dia tak tunduk.

Dia tanya satu soalan cepumas kat bos-bos besar tu.


"Adakah kita nak biar je syarikat mainan tu malukan kita macam ni?"


Bilik tu senyap sunyi.


Kutaragi sambung lagi, "Kita buat konsol sendiri.


Kita buat lagi power dari dorang. Kita tak payah partner. Kita lawan dorang."


Semua orang geleng kepala. Gila ke apa mamat ni?


"Kita takde game. Kita takde developer. Kita takde Mario. Kita takde Sonic."


"Nintendo dengan Sega pegang 95% pasaran. Kau nak lawan macam mana?"


"Kau akan mati dalam masa setahun."


Tapi Kutaragi tak peduli. Dia ada dendam yang perlu dilunas. Dan dendam tu adalah bahan bakar paling power.


Akhirnya, dengan berat hati, Sony bagi lampu hijau. Projek "PlayStation" bermula.


Tapi laluan dia bukan karpet merah. Laluan dia penuh duri.


Kutaragi sedar dia tak boleh lawan Nintendo guna cara Nintendo. Dia kena main taktik kotor sikit.


Taktik dia: Curi Hati Developer.


Selama ni, Nintendo layan pembangun game (developer) macam kuli batak.


Kontrak Nintendo kejam. Royalti sikit. Takde kebebasan kreatif. Nintendo berlagak sebab dorang monopoli.


Kutaragi masuk jarum. Dia pergi jumpa developer-developer ni. Namco, Capcom, Konami.


Dia tawarkan "syurga".


"Korang buat game untuk Sony, aku bagi royalti tinggi. Aku bagi kebebasan. Kita partner, bukan kuli."


Satu demi satu developer mula beralih arah.


Paling pedih bagi Nintendo, syarikat Square (pembuat Final Fantasy) pun lari masuk Sony.


Final Fantasy tu permata Nintendo kot! Tu pun kena rembat.


Kemudian, Kutaragi buat satu lagi pertaruhan besar.


Grafik 3D.


Masa tu, semua game 2D (macam Mario). Pakar industri kata 3D ni mustahil untuk konsol rumah.


Mahal sangat. Panas sangat.


Kutaragi gelak je. Dia jurutera genius.


Dia bina cip yang boleh proses polygon masa nyata.


Bila dia tunjuk demo T-Rex bergerak dalam 3D kat developer... semua ternganga.


Masa tu lah dorang sedar. Zaman Mario lompat-lompat 2D dah tamat. Zaman PlayStation dah bermula.


Disember 3, 1994. PlayStation dilancarkan di Jepun.


Hari pertama je dah jual 100,000 unit.


Bila masuk Amerika tahun 1995, ia bukan setakat bersaing. Ia membunuh.


Dalam masa dua tahun, PlayStation jual lagi banyak daripada gabungan Nintendo 64 dan Sega Saturn!


Menjelang tahun 2000, PlayStation jadi konsol pertama dalam sejarah jual 100 JUTA unit.


Nintendo? Terduduk.


Sega? Terus bungkus kain baju, keluar terus dari bisnes konsol. Mati katak.


Tapi Kutaragi tak puas lagi. Dendam dia belum habis.


Tahun 2000, dia keluarkan PlayStation 2 (PS2).

Ini bukan konsol. Ini raksasa.


Boleh main DVD. Boleh main game lama. Paling power dalam dunia.


PS2 jual 155 Juta unit! Rekod dunia yang sampai hari ini takde siapa boleh pecahkan.


Apa jadi kat Nintendo?


Syarikat yang malukan Sony atas pentas CES tu, terpaksa makan asap selama lebih 10 tahun.

Dorang jadi nombor dua.


Kutaragi?


Jurutera yang hampir kena pecat sebab buat cip bunyi senyap-senyap tu, naik pangkat jadi CEO Sony Computer Entertainment.


Dia bina divisyen yang untung berbilion dolar. Menyelamatkan Sony masa bisnes TV dorang merundum.


Hari ini, jenama PlayStation dah jual lebih 500 juta konsol merentas 5 generasi.


Hasil jualan tahunan? Lebih USD 30 Bilion.


Semuanya bermula sebab seorang lelaki berumur 35 tahun enggan menyerah kalah bila dimalukan.


Tuan-tuan nampak tak permainan dia?


Kutaragi ajar kita satu benda mahal tentang bisnes dan kehidupan.


Pengkhianatan bukan penamat. Ia adalah minyak petrol.


Bila orang kata "NO", itu bukan bermakna idea kita bodoh. Itu bermakna kita bebas untuk buat sendiri tanpa dorang.


Bila orang malukan kita depan orang ramai, jangan lari balik rumah nangis bucu katil.


Balik ofis, kunci pintu dan bina satu benda yang akan buat dorang menyesal seumur hidup.


Jangan dendam dengan pukul orang. Dendam dengan kejayaan.


Biarkan orang yang tikam belakang kita tu tengok kita dari jauh, sambil gigit jari, menyesal sebab lepaskan peluang untuk berada di sisi kita masa kita kat puncak.


Inilah kisah bagaimana Nintendo secara tak sengaja mencipta musuh paling besar dorang sendiri.


Dan inilah kisah bagaimana Ken Kutaragi membuktikan bahawa kadang-kadang, cara terbaik untuk menang adalah dengan membiarkan musuh gelak dulu.


Sebab siapa yang gelak paling akhir, dialah pemenang sebenar.


MasyaAllah, hebat sungguh percaturan rezeki Tuhan.


Kadangkala Allah hadirkan ujian berbentuk penghinaan dan penolakan manusia bukan untuk melemahkan kita, tetapi untuk mengeluarkan potensi "raksasa" yang terpendam dalam diri kita.


Jika Ken Kutaragi tidak dimalukan hari itu, mungkin PlayStation tidak akan wujud hari ini.


Moga kita semua dikurniakan semangat juang yang tinggi, tidak mudah patah semangat dengan caci maki manusia dan terus berusaha membina legasi yang memberi manfaat kepada ummah.