Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya. Lebih  menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah  dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka  enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha  menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah  penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun  cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan  mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.
Ketahuilah  bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah  yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah  jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat  keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak  bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun  seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak  terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.
Kerana  itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan  menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita  juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya.  Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat  seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal  mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa  dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang  akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.
Apa  yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat.  Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah  penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada  manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang  dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas  keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan,  keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat  oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya,  baik atau buruk.
Adakah  seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak  bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang  diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang  diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa  pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan  batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan  menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.
Maksiat  peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan  kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali  dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya  adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang  akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk  arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara  terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam  masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat  peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat.  Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan  fitnah tersebut.
Begitulah  kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia  samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu,  mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika  ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah  jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk  yang lebih besar.
Mereka  bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang  kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi?  Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina  hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia  telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan  akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan  berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak  luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar  nikah.
Membasmi budaya ini  bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan  nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi  lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu.  Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang  melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak  bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak  memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina  tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman  terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu  dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa  tindakan menutupnya.
Mereka  bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya  walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap  rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin  terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus  dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita  kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?
Mereka  enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan  secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti  dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu  adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia  kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh  Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video  tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah  tuhannya anda!
Kemudian,  orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin  itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya.  Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk  membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata  adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi  itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan  maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun  berbuat dosa? 
Ah,  jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas  kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan  dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita  dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita  lakukan.
Apabila  anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat  sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain  orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi  Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah  terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun  menjejaskan awam.
Itu jika  benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah  fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti  seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah.  Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak  akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup  tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik  dengan bahan bukti tertolak?
Mereka  terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia  memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau  besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar  sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak  mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan  penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya  menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan  kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan  menaikkan seseorang hambaNya.
Apabila  Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang  mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang  jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka  itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim  itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah  buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!
Jika  Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya  kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat.  Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah  yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir,  pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu  semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.
Maka  ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan  kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai  orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama  adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar  jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada  pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar  jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang  terlarang oleh syarak.
Maka,  orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika  ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika  ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika  Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika  kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang  mengundang bala tuhan.
(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan