The  Malaysia Insider, KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik desas-desus  kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan  media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah  kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian  persiapan menghadapi hari pengundian kelak.
Laporan  Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah  diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya  pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung  pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung  sekarang. Akhbar  itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis  dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak  boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya. 
Penganalisis  dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun  atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan  bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan  menunaikan haji. 
Pengetua  sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis  pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran  sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada  sebab yang dinyatakan. 
“Tapi  notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia  tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan. Menurut  Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis  pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan  berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan  raya negeri Sarawak. 
Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini. Pemimpin-pemimpin  Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak  namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan  berkurangan. 
Kini,  BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi  di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia  masing-masing satu. Dalam  temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan  bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh  pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya. 
Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak. 
  
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan