Sabtu, 5 Januari 2013

budak nakal


Oleh Zahiruddin Zabidi

PADA tahun 2011 yang lalu, saya dijemput untuk memberi ceramah motivasi dalam satu program yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Selangor. Fokusnya adalah kepada siswa universiti dan pelajar sekolah menengah. Ia dijalankan serentak di dalam dua dewan yang berbeza.

Siswa dan pelajar sekolah ini diambil dan diangkut dengan bas dari seluruh Selangor untuk berkumpul dan bagai dua kategori tersebut tidak kurang daripada seribu orang peserta.

Namun, sebagaimana biasa pengisiannya adalah ceramah semata-mata untuk seharian program dan saya sudah jangka apakah reaksi mereka tatkala saya mengambil slot saya pada jam 12.00 tengah hari!

Sebelum sampai ke sana, saya berharap ceramah saya disampaikan kepada siswa dan bukan pelajar sekolah. Secara peribadi, selepas beberapa kali memberi ceramah kepada pelajar sekolah saya perlu akui yang saya gagal memahami apakah ‘tipping point’ yang menjadi keperluan kepada mereka.
Apabila sampai dan berada di ruangan menunggu sesi slot sebelumnya selesai, saya berjumpa dengan Ustaz Wan Soho Bani Leman yang juga terlibat dalam sesi yang sama dengan saya. Apabila saya bertanya, “Ustaz di dewan mana?”

Jawab beliau, “Saya di dewan siswa.”
Saya berasa sedikit tertekan, terbayang bagaimana saya akan bercakap seorang diri dan disindir oleh ‘diri saya’ sendiri seperti lebih 10 tahun yang lalu apabila seorang penceramah motivasi sedang berceramah!

Setelah hampir jam 12 tengah hari, saya diiring masuk ke dewan dan penceramah daripada Mantop Konsultansi sedang beraksi. Beliau masih bertenaga dan ganas di atas pentas, dan apa yang saya takuti benar-benar berlaku. ‘Diri saya 10 tahun lalu’ sedang bergelupur kepanasan dan membuat bising dan mengejek-ejek penceramah sesama mereka.

Tumpuan langsung tidak diberikan kepada penceramah (apatah lagi menjadi satu trend yang mana pihak sekolah biasanya akan memilih pelajar bermasalah untuk dihantar ke program sebegini biasanya), dan mereka ada kumpulan dan puak yang sedia bernakalan di masa sahaja mereka berada.

Selesai sahaja persembahan penceramah tersebut, keriuhan berlaku dan kebanyakan daripada pelajar menunjukkan ketidakselesaan mereka dengan kata-kata seperti, “Kami sudah lapar,” “Sudah mahu masuk Jumaat (hari ini hari Jumaat),” dan macam-macam lagi.

Saya jadi kaget.
Pihak pelajar perempuan masih terkawal.
Selepas diperkenal oleh pengerusi yang cuba mengawal mereka yang sudah mula bangun dan keluar dewan dengan ancaman-ancaman halus.
Saya semakin rasa tidak selesa dan risau, kerana memang saya tahu kelemahan saya adalah tidak tahu untuk menambat hati adik-adik ini. Sudah beberapa kali saya mencuba dan keputusannya adalah gagal. Akhirnya saya berceramah seorang diri dan mereka masing-masing larut dan hanyut dalam dunia masing-masing.

Antara persediaan yang saya cuba buat adalah persediaan persembahan slaid dengan memasukkan unsur-unsur kartun terkini yang tersohor dengan menimbulkan persoalan-persoalan untuk mereka jawab. Saya kira dengan cara itu akan ada interaksi antara kami dan perjalanan ceramah akan menjadi lebih menarik.

Namun saya silap, saya bukan dalam bengkel penulisan dengan adik-adik siswa universiti yang berjumlah bawah 30 orang. Namun yang berada di dalam dewan sekarang adalah adik-adik sekolah menengah dengan jumlah hampir seribu orang semuanya.

Setiap kali persoalan ditanya akan dijawab dengan sinis, ejekan dan bunyi-bunyian yang huru-hara. Saya lebih memberikan tumpuan kepada pelajar wanita kerana mereka kelihatan lebih tekun dan berminat selain bagi mengekalkan moral semangat saya di pentas.

Namun gangguan semakin jelas dan kuat, keadaan semakin meruncing dan mengganggu persembahan saya. Ya, saya boleh pilih untuk untuk marah dan mengamuk seterusnya menyindir mereka dari atas pentas dan mereka mungkin akan  berhenti buat bising, namun saya juga tahu implikasinya adalah pemberontakan dan kebencian yang akan membenih bukan kesedaran dan penghargaan, sedangkan tujuan saya dijemput adalah untuk berkongsi sesuatu kepada mereka semua.

Saya juga sedar kerana pernah berada dalam kalangan adik-adik ini. Sebenarnya yang mereka perlukan adalah perhatian dan penghargaan. Oleh kerana kurangnya aspek itu dalam kehidupan mereka sebagai seorang pelajar apatah lagi dengan label-label yang tidak baik yang guru mereka sendiri berikan, pastinya mereka rasa begitu tersisih.

Tiba-tiba, Allah memberikan ilham kepada saya dan melalui pengalaman membaca hasil kajian daripada Tim Psikologi Hadis kelolaan Puan Ainon Mohd dan testimoni guru-guru yang sudah mempraktiskannya.

Saya mengambil keputusan untuk memberikan mereka perhatian yang lebih sedikit dengan memuji sifat negatif mereka dengan contoh yang positif.
Saya kemudian berkata dengan memandang tepat ke arah kelompok pelajar lelaki yang suka membuat bising dan berkata kepada mereka dengan nada yang serius dan kuat bagi menarik perhatian mereka, “Tuan-tuan sekalian, saya berterima kasih kepada tuan-tuan kerana mengingatkan saya kepada para insan hebat dalam sejarah Islam.”

Mereka tercengang, pelajar wanita lagi tercengang.
“Ya, sebenarnya dalam sejarah Islam dan sejarah dunia sebenarnya, manusia yang berjaya kebanyakannya mempunyai karakter dan sifat yang sama dengan tuan-tuan sekarang,” sambil saya memandang tepat kepada mereka.

“Bermula daripada para sahabat, tabien, tabi tabien. Para pejuang dan ulama antaranya Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fatih kebanyakannya adalah sangat nakal pada zaman kanak-kanak mereka. Namun kerana kenakalan mereka itu, ia menggambarkan sifat energetik, kreatif, inovatif, berani, hebat dan  sebagainya apabila mereka dewasa nanti.”

“Saya juga berpengalaman, sahabat-sahabat yang sedikit nakal seperti saudara sekalian, kini hampir semuanya sudah berjaya dalam pelajaran dan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi adik-adik pelajar perempuan, jika mahu pilih calon suami… saya sangat syorkan dari hari ini perhatikan mereka. 

Mereka ada kualiti yang diperlukan sebagai seorang pemimpin, ya hari ini kita tengok mereka begini, tapi saya yakin suatu hari apabila kesedaran sudah muncul, dengan segala sifat yang luar biasa tadi yang kemudian diterjemahkan dalam aktiviti positif, maka mereka adalah pemimpin masa depan termasuk pemimpin keluarga yang hebat.”

Subhana-Allah, ternyata… sekelompok adik-adik nakal tadi menyepi dan memberikan perhatian setelah mendapat pujian tersebut dan ajaibnya saya dapat menghabiskan ceramah dan slaid saya dengan lancar tanpa gangguan kemudiannya. Malah pada penutup, kami berdiri dan sama-sama menyanyikan dan menghayati lagu (lirik) Yasin Brothers iaitu Rindu Pada-Mu dengan begitu bersemangat….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan