Rabu, 23 Januari 2013

Steel Heart


Manusia tidak berupaya melarikan diri daripada dipuji dan dikeji oleh sebilangan manusia lain.

"Wow! Cantiknya ekor kucing Siam ini, panjang, berbulu lebat dan lembut," komen manusia.  

Pastinya kucing itu tidak tersenyum simpul berikutan pujian dilontarkan. Mengapa? Kucing itu, haiwan dan haiwan tidak berkebolehan membezakan di antara pujian dan kejian.

Manusia lebih istimewa. 

Hati kita berkebarangkalian untuk dilukai akibat lontaran komen sebilangan manusia lain.

Di entri ini, izinkan saya berkongsi antara kaedah berkesan untuk mengelakkan hati daripada disakiti. Saya percaya sedikit sebanyak kaedah ini mampu membantu ramai pembaca.

"Engkau bodoh!"

Kenyataan itu hanya sekadar gabungan dua patah perkataan. Dalam sejarah, 'perkataan' tidak pernah disabitkan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, bisikkan kepada hati, manusia melemparkan kecaman seperti itu pastinya tidak sempurna. Mereka bersifat bodoh, hanya Allah sahaja maha mengetahui. 

Sebagai contoh, andai kenyataan itu diungkapkan oleh seorang doktor, hakikatnya dia juga tidak sempurna. Dia mungkin bodoh dalam bidang lain, contohnya bidang kesusasteraan, kejuruteraan dan seni bina. 

Dalam erti kata lain, mereka menggelarkan kita bodoh tidak semestinya cerdik. 

Sama seperti, jika sebilangan manusia melemparkan tohmahan kononnya kita penipu. Untuk tidak menyakitkan hati, kita harus bertanya, adakah mereka sebenarnya 100% jujur dalam semua aspek kehidupan?  

Selagi mereka bernama manusia, jawaban ringkas kepada soalan itu, MUSTAHIL. Jika tidak menipu kawan,  rakan sekerja atau ahli keluarga, mereka barangkali pernah menipu diri sendiri. 

 Maka mereka tidak jujur.

Justeru mengapakah kita harus berasa sakit hati jika dikecam oleh manusia sebegitu?

Kita harus menerima hakikat, manusia gemar melontarkan cercaan dan makian terhadap orang lain, tanpa disedari menggambarkan sikap sebenar mereka. Hati mereka sebenarnya dibaluti dek hasad dan dengki. Perlukan kita melayan kerenah manusia seperti itu? Abaikan sahaja dan teruskan kehidupan secara tenang.

Biarkan lidah mereka membelit leher sendiri, jiwa mereka terus dicemari. 

Tujuan mereka melemparkan cercaan, hanya satu, untuk menyakitkan hati kita. Tidakkah mereka mengetahui, hati itu milik mutlak kita diciptakan oleh Allah? Kita berkuasa penuh untuk mengawal hati sendiri. Andai kecaman dilontarkan kita terima dan membuat keputusan untuk berasa sakit hati, maka hati bakal sakit. 

Jika ditolak, hati berasa tenang. 

Untuk memperkukuhkan benteng hati, bisikkan kepada hati, cakaplah sehingga mulut kalian berbuih sekalipun, tindakan itu sia-sia. 

... I have a heart of steel and no one would be able to hurt me.

Akhirnya, kita pasti menang dan mereka tertewas. Mengapa? Kerana tujuan mereka untuk menyakitkan hati kita tidak tercapai.

Akhirnya sekali ...

Setiap kali diri dikecam, tanyakan juga kepada hati, adakah tangan kita berkudis? Terluka? Tercabut? Tentunya tidak. Kenyataan berniat jahat dan memburuk-burukkan kita itu, tidak berupaya mencacatkan tubuh badan kita semua.

Biarlah mereka mencacatkan pemikiran dan tindakan dengan kebusukan hati semakin bernanah.

Justeru, bermula dari saat ini, usah sesekali berasa sakit hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan