Selasa, 16 Julai 2013

masa

“Kalau kita mahu ajak orang Jepun kepada Islam, apa yang Islam hendak tawarkan kepada orang Jepun?” soalan yang sering saya ajukan di dalam ceramah.

Pada memahami erti menjadi seorang Muslim.

“Terimalah Islam agar kamu lebih menepati masa? Sebab di dalam Islam ada Wa al’Asr! Begitukah?” soalan saya berbentuk provokasi.

Mengajak satu kaum yang bermasalah kepada Islam, untuk menyelesaikan masalahnya dengan Islam sebagai penyelesaian, mungkin jelas hujung pangkalnya.

Namun, bagaimana hendak mengajak satu kaum yang begitu kemas tatacara hidupnya? Sebuah negara yang begitu maju, bersih, dan menepati masa seperti Jepun, apa lagi sebab untuk mereka merasa perlu kepada Islam?

Lebih membingungkan, kalau persoalan ini dibaca begini, “jika tanpa Islam pun Jepun boleh maju, mengapa perlu kepada Islam?!”

Sudah tentu, ketepatan masa yang sering dikaitkan dengan pencapaian ketamadunan Jepun akan mengambil sistem keretapinya sebagai contoh. Ketepatan masanya bukan lagi jam dan minit, malah dalam senggang hanya beberapa saat! Purata kelewatan bagi keretapi laju Tokaido Shinkansen hanyalah 0.3 minit. Jika keretapi terlewat sehingga lima minit, pengumuman memohon maaf akan dibuat dan syarikat keretapi akan mengeluarkan ”delay certificate” kerana pengguna tidak boleh membayangkan keretapi boleh selewat itu! Itulah ketepatan masa sistem pengangkutan sebuah negara bernama Jepun.

Perlu lagikah mereka kepada Wa al-’Asr?

Tragedi keretapi Amagasaki 2005

Seorang anak muda bernama Ryūjirō Takami ada ceritanya.

Pemandu keretapi berusia 23 tahun itu dihantui oleh ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang!”

Program ini diangkat menjadi satu bentuk latihan profesional untuk mendisiplinkan pemandu keretapi dan pekerja-pekerja lain agar serius dalam menepati masa. Namun Tamrin Siang itu mengundang risiko yang amat besar. Ia dilihat sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada tragedi berdarah keretapi Amagasaki pada pagi 25 April 2005. Sebuah keretapi yang dipandu melebihi had laju telah terbabas, merempuh sebuah apartment dan mengakibatkan kematian 107 orang termasuk pemandu manakala 562 lagi cedera.

Ryūjirō Takami pagi ini bertugas memandu keretapi syarikat JR Fukuchiyama dari Takarazuka ke Dōshisha-mae. Sejurus selepas waktu kemuncak, keretapi yang dipandu oleh Ryūjirō Takami sudah mengalami kelewatan beberapa minit.

Beliau tidak sanggup menghadapi tekanan dan rasa malu yang bakal dihadapinya di dalam Tamrin Siang, apabila pemandu yang mencetuskan kelewatan akan dipaksa memotong rumput di siang hari, mencuci mangkuk tandas dan terus menerus dimarah dengan maki hamun sebagai satu program yang dianggap sebagai latihan profesional untuk mendisiplinkan pekerja pada masa itu. Tertekan dengan keadaan itu, penyiasat percaya ia mewujudkan tekanan yang begitu tinggi hingga Ryūjirō Takami teragak-agak untuk menggunakan brek kecemasan walaupun masih mempunyai masa beberapa saat untuk berbuat demikian.

Akibatnya, keretapi yang dipandu dengan kelajuan  116 km sejam (had laju yang ditetapkan hanya 70km sejam) tergelincir di landasan semasa melalui sebuah selekoh lalu merempuh apartment kediaman berhampiran.

Tragedi menyayat hati pagi ini mendesak pelbagai rombakan dibuat membabitkan jadual keretapi JR West yang terlalu padat, serta ”Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang dirombak semula dalam modus operandi latihan syarikat. Biar pun menepati masa itu mulia dan diangkat sebagai petanda kemajuan sebuah tamadun, bezanya ketepatan masa di dalam budaya Jepun, dengan menepati masa yang dianjurkan oleh Islam adalah pada memposisikannya sebagai proses atau output.

Di dalam budaya Jepun, menepati masa itu menjadi objektif yang hendak dicapai. Apabila ia dicapai, objektif terhasil dan jika gagal dicapai, ia merupakan sebuah kemunduran. Motif menepati masa berlegar pada soal memenuhi keperluan manusia, hingga manusia tenggelam punca pada menentukan mereka mereka perlu menepati masa pada harga yang begitu mahal, membunuh manusia sendiri?

Mesej demi masa


“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian yang sebenar-benarnya. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah al-'Asr : ayat 1-3]

Allah bersumpah dengan masa.

Tandanya masa itu amat penting.

Apa sahaja yang Allah sumpah di dalam ayat-ayat al-Quran, ia memberitahu kita akan kepentingannya.

Masa yang tidak dijaga menjadikan manusia hidup dalam kerugian. Masakan tidak, masa itu adalah umur. Sesaat yang berlalu, adalah lebih jauh daripada 100 hari yang belum tiba. Betapa pentingnya manusia yang menghargai kehidupan, sensitif dengan masa.

Namun memuliakan masa itu ada rangkanya.

Kita memuliakan masa kerana memuliakan masa itu adalah ibadah kita kepada Allah. Tanda keimanan kita kepada-Nya. Ibadah-ibadah kita sangat banyak yang disandarkan kepada masa. Lima waktu solat, permulaan puasa dan berbuka, Ramadan dan Shawal, hawl untuk zakat, musim haji, dan amalan-amalan sunat yang disandarkan kepada masa-masa yang tertentu, adalah modus operandi Islam agar sensitiviti terhadap masa adalah dengan dorongan iman.

Akauntabiliti kita kepada Allah.

“Jangan kamu mencela masa, kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa!” [HR Muslim]

Ertinya, masa itu Allah secara eksklusif mengendalikannya. Tanpa campur tangan makhluk. Panjangnya siang dan malam, cepat atau lewatnya perjalanan masa, semuanya dalam kekuasaan Allah dan kita sebagai manusia dipertanggungjawabkan dalam keadaan beriman dan beramal soleh, untuk mengatur hidup dalam ruang lingkup masa yang ada.

Manusia yang berjaya, dibekalkan 24 jam dalam sehari.

Manusia yang gagal, juga dibekalkan 24 jam sehari.

Mereka yang berjaya, memanfaatkan masa. Mereka yang gagal, mensia-siakan masa.

Islam memberikan ketepatan masa suatu motif yang lebih tinggi daripada sekadar memenuhi keperluan manusia. Menepati masa adalah untuk merealisasikan sifat kita sebagai hamba kepada Tuhan, bukan hamba sesama manusia.

Dan untuk mencapainya, siang dalam malam kita ditamrinkan dengan berpesan-pesan dengan apa yang benar, dan berpesan-pesan dengan penuh kesabaran.

Jepun yang sudah begitu menepati masa, memerlukan Islam untuk menyuntik sebuah MOTIF.

Kerana kebaikan tanpa MOTIF yang benar, adalah sebuah kekosongan makna yang menghilangkan erti sebuah perbuatan.

Menepati masa untuk menunaikan KEPERLUAN, kepada menepati masa untuk menunaikan TUJUAN.

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka memperhambakan diri beribadah kepada-Ku.” [Surah al-Dzariyat : ayat 56]

Ryūjirō Takami tidak sempat menerima mesej ini. Masanya tamat dalam sebuah hambatan masa.

Moga menjadi iktibar buat kita semua yang sudah Muslim, namun masih panjang perjalanannnya untuk menepati masa.

http://saifulislam.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan