Jangan sangka pada hari ini ada ramai orang kaya hanya kerana bila ramai orang kita yang suka makan di luar atau ke sana ke mari membelek smartphone. Di sebalik zahir yang kononnya makmur, kemiskinan sudah menjalar kerana ramai yang malu menunjukkan kemiskinan seperti orang dahulu.
Apakah kita tidak berjimat? Sebilangan daripada kita mengatakan kita sudah berjimat. Hendak berjimat apa lagi jika pendapatan kita hanya cukup-cukup untuk membayar tambang, bil, makan dan pakaian. Dan, simpanan di bank semakin susut kerana kesemuanya terpaksa dikeluarkan untuk belanja wajib. Malah ada yang terpaksa menambah hutang pula untuk mencukupkan belanja.
Tidakkah semua ini bermakna semakin ramai yang sudah jatuh miskin? Maaf cakap, ya. Kita yang menghadapinya tidak boleh nafikan realiti ini. Kian ramai yang sudah buntu. Tidak tahu apa hendak dibuat.
Rutin seharian dari saat bangun pagi, pergi kerja, pulang kerja dan berehat sebelum tidur menyukarkan seseorang untuk mengubah pola pemikiran dan pergerakan masing-masing akibat kepenatan. Tidak sempat hendak berfikir bagaimanakah cara untuk mengatasinya.
Benar. Ada juga yang buat kerja sambilan. Siang kerja di pejabat, malam memandu teksi. Atau pergi ke pejabat dengan membawa pek-pek jajan untuk dijual. Ada yang jual tudung, jual apa sahaja untuk menambah pendapatan.
Ada juga yang masih punyai cara untuk berjimat. Jika selama ini makan tengahari dengan nasi, ada yang hanya makan buah atau tunggu petang sedikit sekitar jam 3.00 petang untuk membeli cekodok di kantin. Harganya murah sedikit. Pakaian pun tidak perlu diganti kecuali bila benar-benar perlu.
Jika ada mentol lampu bilik tidur yang terbakar, biar sahajalah dahulu. Cukuplah biasan cahaya lampu dari ruang tamu menerangkan bilik. Bersolat di dalam gelap pun tidak mengapa. Pakaian, kasut dan beg sekolah anak-anak pun tidak perlu diganti dahulu. Jika kain sekolah terkoyak, nasib baiklah jika masih boleh dijahit selagi ia tidak perlu ditampal hingga compang-camping. Saya sebak menulis mengenai hal ini kerana saya juga memerhati apa yang berlaku di sekeliling kita. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Bezanya kita pada hari ini dan orang dahulu ialah, kita pandai menyembunyikan kedukaan. Orang dahulu menerima kemiskinan sebagai suatu kebiasaan kerana di waktu dahulu hampir semua daripada kita terdiri daripada orang miskin!
Kita ada golongan yang kaya dan golongan yang miskin dalam negara kita. Golongan yang kaya boleh menjaga diri dan golongan yang miskin dibela dengan pelbagai program membasmi kemiskinan. Tetapi, kenaikan kos sara hidup mewujudkan golongan sederhana yang jatuh miskin.
Inilah golongan yang marah bila disuruh berjimat. Mereka naik angin kerana belum sempat mereka melihat sinar kemakmuran, istana impian mereka sedikit demi sedikit terhakis menjadi debu. Golongan inilah yang perlu dibela. Pihak pemerintah wajib melihat golongan yang menggelongsor miskin ini secara mikro. Jika selama ini golongan miskin dibela, dengan agenda membasmi kemiskinan, segmen rakyat yang bekerja tetapi sudah tidak berdaya menanggung kos kehidupan yang semakin meningkat ini perlu ditangani dengan agenda mengurus kemiskinan.
Inilah golongan yang cepat dan mudah memberi respons jika diberikan latihan kemahiran dan modal. Selamatkan golongan ini. Mereka adalah jambatan di antara yang kaya dan yang miskin. Lakukan sekarang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan