MEMBURU IMPIAN HIDUP DAN KERJAYA SECARA PROGRESIF
Ramai orang tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk mencipta kejayaan. Namun hanya sebilangan kecil yang benar-benar melakukan apa yang mereka ketahui. Mengetahui saja tidak memadai, Ilmu yang diketahui perlu dipraktikkan. Berdasarkan kajian Harvard Studies MBA, hanya 3% orang menulis dan merancang impian mereka dan 3% ini benar-benar berusaha menterjemahkan impian mereka dengan kejayaan 10 kali ganda lebih hebat berbanding baki 97% sekalipun dikumpul kesemuanya. Impak kepada impian yang dirangka dengan sistematik memberi kesan langsung kepada dorongan untuk mencapainya secara tuntas.
Brian Tracy, seorang penceramah motivasi terkenal dan penulis buku-buku dalam genre sama antaranya yang terkenal termasuklah yang berjudul ‘Eat that frogs’. Menurut beliau, memberi alasan adalah sikap yang disifatkan mencuri masa dari diri sendiri. Orang-orang berjaya mesti menetapkan matlamat, memikul tanggungjawab dan melakukan tindakan. Kita memang bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan tapi kita juga bertanggungjawab dengan perkara yang kita tidak lakukan walhal kita berkesempatan dalam hidup. Menetapkan matlamat adalah pemula kepada kejayaan yang bermakna. Matlamat yang ditulis secara sepesifik akan bertindak sebagai ‘reminder’ dan akan berterusan memberi peringatan jika ada sikap-sikap atau tindakan diri yang terpesong dari laluan yang sewajarnya.
Kebanyakkan orang yang tidak gembira dalam hidup mereka sebenarnya tidak ada atau tidak menetapkan matlamat kehidupan. Banyak pakar motivasi berpendapat impian atau matlamat yang ditulis dengan jelas akan mengubah perspektif seseorang dalam hidup. Seseorang yang rasional pasti akan mempunyai banyak impian dan matlamat yang ingin dicapai dalam hidupnya. Senaraikan dan susun mengikut prioriti yang utama sehingga paling kurang. Perancangan secara bertulis harus dibuat supaya lebih fokus merangka strategi kearah mencapai matlamat berkenaan. Sekiranya mahu menjadi seorang pemimpin berjaya. Maka strategi betul haruslah dilakukan untuk mencapai wawasan berkenaan. Demikian juga perkara-perkara yang ingin dicapai dalam kehidupan haruslah disenaraikan secara rapi dan ditulis secara jelas usaha untuk mencapainya.
Perancangan matlamat yang betul akan dengan sendirinya membuang ciri-ciri negatif dan sikap pesimis yang sentiasa hadir dalam diri. Ia akan mencetuskan satu aliran semangat yang mendadak, keghairahan serta keasyikkan untuk segera berusaha mencapai apa yang telah ditulis sebagai sasaran mencapai matlamat atau impian yang telah ditulis. Satu cara terbaik dalam mendekati masalah adalah dengan memastikan kebenaran terhadap maklumat yang ada. Seseorang itu lebih banyak terluka bukan kepada perkara yang dia tahu walaupun perit tetapi kepada perkara yang dia sangkakan benar tetapi tidak. Pasti ramai orang pernah mengalami situasi dalam hidup di mana anda merasakan anda benar-benar tahu dan percaya kepada sesuatu perkara dalam kehidupan anda atau situasi tertentu yang sebenarnya tidak benar sama sekali. Maka sangat perlu sesiapa jua untuk memastikan untuk memeriksa setiap fakta atau angka dengan tepat sebelum bertindak atau berbicara mengenainya.
Ramai orang yang mempunyai aspirasi dan impian tetapi tidak ramai yang benar-benar mempunyai perancangan untuk mencapainya. Kejayaan haruslah dicapai melalui impian yang benar-benar berkembang dari dalam diri. Untuk mempunyai semangat mencapai impian seseorang harus mempunyai fokus kepada pemikiran dan perhatian. Semakin banyak fokus dibuat kepada pencapaian impian tadi semakin banyak ia melibatkan emosi yang akhirnya akan merespon kepada idea-idea kreatif untuk mencapai matlamat berkenaan. Semua orang mampu menjana idea jika mempunyai konsentrasi terhadap perkara-perkara yang ingin dicapainya. Konsentrasi dapat dijana melalui latihan kepada proses konsentrasi itu sendiri iaitu terhadap impian yang hendak dicapai. Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan jelas mentakrifkan matlamat dan termasuk juga masalah melalui penulisan yang jelas. Tulis setiap perincian masalah atau impian berkenaan. Semakin banyak maklumat diterjemahkan dalam penulisan, semakin banyak dan jelas idea-idea akan terbit dari pemikiran untuk mencapai impian yang dipendam atau menyelesaikan masalah yang mencengkam pemikiran dari berkembang. Minda akan lebih ligat berfikir apabila berada dalam keadaan fokus kepada perkara yang kita telah tetapkan untuk diberi prioriti.
Dalam proses mencapai impian, perkara yang paling penting adalah kekal positif. Pemikiran positif mempengaruhi emosi. Pilihan perkataan yang dizahirkan dalam mengekspresikan diri dan membicarakan perkara-perkara berlaku di luar dan dalam lingkungan kehidupan mencetuskan emosi bahagia dan tidak yang sedang dialami. Apabila kita melihat sesuatu dengan positif dan bersikap konstruktif yakni menumpu kepada kebaikan dan melihat kebaikan dalam perkara-perkara yang berlaku dalam hidup dan dalam menilai orang lain. Kita akan cenderung untuk bersikap ceria secara semulajadi dan sentiasa optimis. Disebabkan kualiti kehidupan dipengaruhi oleh emosi dan perasaan dari masa ke semasa justeru sangat perlu menetapkan positiviti dalam pemikiran dan percakapan berkaitan dengan apa yang ingin dicapai dan menjauhi dari berfikir perkara-perkara yang kita tidak mahu atau takut daripada terjadi. Membenarkan perkara negatif berada dalam ruang pemikiran akan menyekat laluan idea-idea yang membina dari berkembang. Maka pemikiran perlu dihalang dari dicerobohi perkara-perkara yang membuat jiwa kecewa dan berduka. Kualiti pemikiran ditentukan oleh diri sendiri kerana kita yang memutuskan apa yang kita mahu dan biarkan terjadi. Pilihan yang silap pasti akan menjahanamkan diri justeru pilihlah apa sahaja yang membina minda dan membenarkan hanya perkara-perkara baik berlegar dalam fikiran. Mudah saja seperti lirik lagi ‘FIKIRKAN BOLEH’ maka minda akan lebih terdorong membina semangat mencari idea-idea kemenangan. Demikian juga dalam merancang impian dalam hidup.
Sikap membenci dan berdendam hanya merugikan diri sendiri kerana ia mencuri kebahagiaan dan kelapangan jiwa. Manakala kasih sayang mencipta kedamaian dan kebersamaan. Untuk menanam kasih sayang perlu menyayangi diri sendiri dulu. Hanya dengan menyayangi diri sendiri dengan sepenuhnya akan memberikan rasa yang lebih syumul untuk melayan orang lain seperti mana diri mahu diberi layanan. Jika tidak suka dikasari harus jangan mengasari. Jika tidak suka dibenci janganlah membenci, Jika tidak suka difitnah jangan memfitnah dan sebagainya. Memang kadang kala banyak yang rasa mereka sudah cukup baik. Namun masih juga diperlakukan kononnya tidak adil oleh orang lain. Hakikatnya dalam satu peringkat hidupnya juga mereka ini masih tidak jujur melayan orang lain dengan saksama. Layanan baik dan kebaikan yang dipamer bersifat selektif dan hanya kepada orang-orang terpilih. Kebaikan yang kononnya dilakukan sebenarnya tidak sepenuhnya lahir dari jiwa apabila sikap masih dibelenggu rasa benci, iri, hasad, dengki, dendam dan banyak elemen negatif yang tidak diakui di bibir tapi masih menumpuk di sudut hati paling dalam. Ini mengakibatkan banyak perkara-perkara keji dan malang masih terus turut menimpa diri. Ringkasnya jika tidak mahu sakit hati, jangan sesekali menyakitkan hati orang lain, Kita sentiasa mendapat apa sahaja yang kita lakukan kepada orang lain. Namun demikian tiada peringkat yang terlambat untuk berubah dan melakukan anjakan dalam menetapkan paradigma kehidupan. Selagi hayat dikandung badan, selagi masih bernafas dan selagi diberi kemampuan berfikir. Manfaatkanlah masa yang tersisa untuk membina dan kemudian mencapai impian yang realistik kepada latar belakang diri.
Berbicara dalam konteks perkembangan kerjaya . Abraham Harold Maslow, ahli psikologi America yang terkenal dengan Teori hiraki Keperluan manusia berkata, Orang lebih cenderung memilih perkara-perkara mudah dalam hidup daripada apa yang mereka sebenarnya lebih berkemampuan melakukannya. Menurut beliau ramai orang memilih untuk bersikap melihat kebelakang dan berdolak dalih dalam menetapkan halatuju dalam karier mereka padahal mereka mempunyai potensi untuk berkembang maju ke hadapan. Ramai yang berpotensi maju dalam kerjaya tapi sengaja tidak mahu melihat peluang-peluang yang baik, terbelenggu dengan zon selesa dan hanya mencari alasan untuk menjustifikasikan tindakan salah yang menyebabkan kerjaya sengaja tidak mampu dikembangkan. Memilih kerjaya yang tepat adalah penting supaya mampu membina motivasi untuk mencipta kecemerlangan. Hanya dengan prestasi cemerlang barulah seseorang mampu melonjak lebih tinggi dalam kariernya. Seseorang yang berjaya akan menetapkan standard yang tinggi dalam merancang apa yang ingin dicapainya. Dia mengiktiraf pencapaian orang lain dan menghormati pesaing. Seterusnya dia mengoptimumkan kebolehan dalam bidang kemahiran yang penting sehingga berjaya menonjolkan dirinya dengan berpegang kepada prinsip hari ini lebih baik dari kelmarin. Yakni penambahbaikan secara konsisten setiap hari.
Pada keseluruhannya, Impian akan hanya kekal sebagai impian sekiranya tiada usaha kearah merealisasikannya. Namun demikian tiada perkara yang mustahil jika ada kesungguhan untuk mencapai matlamat dengan benar-benar melakukan usaha secara agresif bermula dengan menyenaraikan secara panjang lebar matlamat serta bentuk tindakan yang boleh mendorong kearah pencapaian matlamat berkenaan. Demikian juga jika berkaitan dalam proses penyelesaian masalah. Setiap orang mempunyai potensi untuk cemerlang. Sangat penting setiap individu bijak memanfaatkan peluang-peluang terbaik yang hadir dalam hidup. Kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang sekalipun kita sudah melakukan lebih baik dari sebelum ini. Matlamat kehidupan bukanlah untuk kepuasan orang lain tetapi mencapai impian diri secara bijaksana. Sekiranya sikap dan tindakan atau personaliti diri mampu memberi insipirasi dan mendorong orang lain. Itu bermakna kita sudah mula menunjukkan perubahan baik dalam proses mencapai impian menjadi realiti. Kejayaan bukanlah laluan kepada kebahagiaan. Rasa bahagia itu yang menjadi kunci kepada kejayaan. Jika seseorang menyintai apa yang dia lakukan seikhlasnya. Dia akan menempa kejayaan pastinya. Manakala kebanyakan masalah yang berlaku dalam hidup pada asasnya berpunca dari dua sebab, iaitu bertindak tanpa berfikir atau hanya terus berfikir tanpa sebarang tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan