Ahad, 23 Februari 2014

insaf

Melihat kepada foto ini pasti akan turut mendatangkan keinsafan kepada mereka yang mempunyai jiwa kemanusiaan. Jika anda mampu melihat foto ini bermakna anda hidup lebih baik dari orang tua ini yang sewajarnya lebih banyak berehat di rumah tetapi sebaliknya masih terus berusaha mencari rezeki demi sesuap nasi.

Apa sangat dengan nilai harga sayur-sayuran ini sekalipun habis kesemuanya. Yang penting dia dapat menukarnya dengan wang untuk membeli barangan yang perlu. Jerih perih dan kepenatan jelas terbayang dari tubuhnya dan wajah yang mencuba menahan terik mentari. Tiadakah perasaan belas di hati kita bila melihat orang tua seperti ini. Bila berkemampuan beli sajalah tanpa menawar dengan niat membantu dan bersedekah. Belilah tanpa mengira beza bangsa dan agama.

Sering orang berasa tertekan dengan masalah kehidupan yang pelbagai. Masalah hubungan kekeluargaan dan sahabat, masalah dengan jiran tetangga, masalah tempat kerja, masalah anak-anak, masalah hutang piutang yang menjerut leher, masalah yang pelbagai dan tanpa henti sehingga seringkali mengundang airmata atas kesakitan jiwa yang tidak tertanggung. Masalah kekal menjadi masalah jika hanya meratap hiba. Masalah tetap ada jalan penyelesaiannya sekalipun mungkin mengambil masa. Bila hidup lebih mewah tapi ditimpa banyak masalah, ketika itu terfikir leih baik hidup miskin asal jiwa tenang dan bahagia. Miskin atau kaya bukan penentu bahagia. Sikap sendiri yang menjadikannya begitu selain kadangkala kita diuji dengan dugaan hebat sebelum diberi kesudahan yang indah.

Moga foto ini mampu meningkatkan rasa syukur di hati kita yang sering mengeluh akan kekurangan kerana sering membanding dengan nasib orang-orang yang lebih baik dari kita. Lihatlah nenek tua ini terus cekal dengan takdir hidupya malah tetap tidak mengalah untuk meneruskan kehidupan dengan positif. Moga foto ini memberi kita banyak pengajaran mengenai erti kesyukuran dan ketabahan. Moga foto ini juga akan merangsang nilai kemanusiaan yang tinggi agar kita sentiasa menanamkan sifat belas. Mereka yang penyayang dan pengasihan akan lebih dirahmati dan hidupnya pasti akan bersulam kebahagiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan