Khamis, 6 Februari 2014

jangan menghukum

Bismillahirrahmanirrahim


Berkata Imam al-Ghazali dalam kitab al-Maqsad al-Asna: “Seorang hamba yang ingin meniru sifat al-Rahman ialah dengan cara menyayangi semua hamba Allah yang lalai lalu mengembalikan mereka kepada jalan Allah dengan nasihat & kelembutan, bukan dengan kekerasan. Dia selalu melihat kepada orang yang bermaksiat dengan mata rahmat, bukan mata hinaan.
Setiap maksiat yang terjadi di dunia ini seolah-olah musibah bagi dirinya, maka dia akan terus berusaha untuk menghilangkan maksiat itu dengan sekuat tenaga, sebagai tanda sayangnya kepada orang yang bermaksiat tersebut agar tidak mendapat kemurkaan Allah.
“Seorang hamba yang ingin meniru sifat al-Rahim, maka setiap kali ia melihat orang yang memerlukan bantuan, dia segera membantu. Setiap kali dia melihat orang fakir di negerinya, dia segera menolongnya dengan harta atau kedudukannya. Jika tidak mampu, dia akan berdoa untuknya & menampakkan kesedihan seolah-olah dia sedang berkongsi kefakiran itu.”

“People who love you are those who made du’a for you.” – Dr. Harris Shah

***

Benci pada dosa yang dilakukan & bukan pada orangnya. Elakkan dari menyerang peribadinya. Sangat tidak adil untuk kita menolak segala kebaikan yang dia lakukan. Sedangkan kita sang pendosa, Allah masih lagi menerima amal kebaikan kita walau sehalus habuk kipas, siapa kita untuk membenci dirinya sehingga buta terhadap kebaikan yang dia lakukan walaupun kebaikannya jelas terlihat di depan mata? Kita bercakap seolah-olah tidak pernah kenal erti apakah itu dosa.
Bongkaknya manusia.
Siapakah kita? Siapakah kau?
Jangan jadi penghukum.

Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya seorang penagih dadah kini dia seorang peniaga yang berjaya”. Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya kaki perempuan, bertukar-tukar lelaki, kini dia sudah berjodoh dengan pasangan yang baik, soleh & solehah”. Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya seorang perompak, kini dia sudah berbahagia dengan kehidupan barunya”.


Apa lagi yang kita nilai?
Bernilaikah pandangan kita?

“The quieter you become, the more you can hear.” – Baba Ramdas

Allah Maha Adil. Setiap rintihan taubat hamba-Nya tidak kira siang & malam, tidak pernah offline, tidak pernah blackout akan Dia sahut. Allah tidak pernah berkelip walau sesaat sedangkan kita yang masih mampu tersengguk walaupun dalam meeting depan bos, menguap dalam kelas depan lecturer. Ada kita mampu terdengar dia sudah bertaubat?
Ada kita tahu Allah sudah ampunkan dosanya? Bagaimana pula dengan dosa kita kerana berburuk sangka?
Siapakah kita? Siapakah kau?
Selagi lagi. Jangan jadi penghukum.

Pendosa mempunyai perasaan. Dia juga mempunyai emosi. Kerana apa? Kerana aku juga seorang pendosa yang mempunyai perasaan & emosi. Juga terusik dengan kata yang keras & kesat. Dan aku masih lagi percaya, kasih sayang & cinta adalah senjata yang terbaik & bukannya perlian, kebencian hatta hinaan. Manusia mudah berubah dengan pujukan & doa. Lambat cepat itu bukan kerja kita, itu urusan Allah. Setiap pendosa mempunyai masa depan & setiap manusia mempunyai masa silamnya yang tersendiri.


Sekali lagi diulang.
Untuk hidup tenang, berbaik sangkalah. Jangan jadi penghukum.

Hidayah. Petunjuk. Kerja manusiakah dalam memberi hidayah kepada seseorang?
Buat kali yang terakhirnya. Jangan jadi penghukum tanpa kaca mata al-rahim al-rahim kerana kita juga pendosa yang mengharapkan kasih sayang & rahmat darinya.

Seseorang itu sikit amalnya.
Luarannya biasa biasa sahaja.
Seseorang ini banyak amalnya.
Luarannya tertutu rai tiada cacat cela.

Tetapi,
siapa tahu seseorang itu masuk ke syurga Allah kerana amalnya yang sedikit dihiasai dengan kecantikan berbaik sangka terhadap saudaranya & keikhlasan tanpa dirosaki oleh racun bangga.
Dan siapa tahu seseorang ini tergelincir ke neraka Allah kerana amalnya yang banyak tetapi dikaburi dengan riak & berburuk sangka terhadap orang disekelilingnya.

Siapa sangka?
Sudah terbukti bahawa Allah yang Maha Layak Menilai.

“I’ve found that if you love your life, life will love you back.” – Arthur Rubinstein

Tiada ulasan:

Catat Ulasan