Rabu, 12 September 2018

Haji ku

HALAL BUAT KAMI, HARAM BUAT TUAN.

Ulamak Abu Abdul Rahman bin Abdullah Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi, salah seorang ulamak yang termahsyur di Makkah telah menceritakan kisah ini. Pada suatu ketika, selepas selesai salah satu ritual haji, beliau berehat dan tidur. Dalam mimpinya beliau melihat dua orang malaikat turun dari langit, dan dia terdengar perbualan mereka,

"Berapa ramai jemaah haji yang datang ke Makkah pada tahun ini?" Tanya malaikat itu kepada malaikat lain.

"Tujuh ratus ribu orang, saudaraku" Jawab malaikat yang satu lagi.

"Berapa ramai pula orang-orang yang diterima ibadah haji mereka itu?"

"Malangnya, tiada satu pun"

Perbualan itu membuat Abdullah gementar ketakutan, "Apa?" Lalu beliau pun menangis dalam mimpinya itu.

"Semua orang ini datang dari belahan bumi yang jauh, serta dengan bersusah payah dan keletihan sepanjang jalan, mengembara melalui padang pasir yang luas, menahan lapar dan haus, lalu semua usaha mereka sia-sia?"

Walaupun dengan rasa takut, dia tetap terus mendengar cerita kedua malaikat tersebut.

"Namun ada seorang lelaki yang walaupun dia tidak datang untuk menunaikan haji di Makkah, tetapi ibadah hajinya diterima Tuhan, dan semua dosanya telah diampunkan. Di atas keberkatan daripada lelaki itu juga, maka seluruh haji para jemaah diterima oleh Allah."

"Bagaimana ia boleh terjadi begitu?"

"Itu adalah kehendak Allah."

"Siapakah orang tersebut?"

"Sa'id bin Muhafah, beliau adalah seorang tukang kasut yang tinggal di kota Damsyik."

Mendengar ucapan tersebut, ulamak itu pun terus terjaga. Pulang sahaja daripada menunaikan ibadah haji, dia tidak terus balik ke rumah, tetapi beliau terus pergi ke kota Damsyik, Syria. Sebaik sahaja sampai di sana, beliau pun terus mencari tukang kasut yang disebutkan oleh malaikat dalam mimpinya. Hampir kesemua tukang-tukang kasut dia bertanya, apakah benar ada seorang tukang kasut yang bernama Sa'id bin Muhafah.

"Di sana, di pinggir bandar," kata salah seorang tukang kasut sambil menunjukkan arahnya. Apabila tiba di sana, ulamak tersebut menemui seorang tukang kasut yang berpakaian lusuh. Lalu beliau pun bertanya "Adakah benar anda bernama Sa'id bin Muhafah?"

"Benar, tapi siapakah tuan?"

"Saya Abdullah bin Mubarak."

Said terharu, "Tuan adalah seorang ulamak yang sangat terkenal, lalu kenapa tuan datang dari jauh untuk mencari saya?"

Sejenak ulamak itu agak terkeliru, di mana beliau ingin memulakan soalan, akhirnya beliau memberitahu akan perihal mimpinya itu. "Saya ingin tahu, adakah apa-apa yang anda telah buat, sehinggakan anda layak mendapat pahala haji mabrur?"

"Aduh, Tuan! saya sendiri tidak tahu!"

"Lalu, beritahu saya bagaimana kehidupan yang anda jalani selama ini."

Sa'id bin Muhafah kemudian teringat, "Setiap tahun, setiap musim haji, saya selalu mendengar: Labbaika Allah Huma Labbaika.... Labbaika La Syarika Laka Labbaika... Innal Hamda... Wanni'mata... Laka Wal Mulka... La Syarika Laka..."

"Ya Allah, aku datang kerana panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Segala pujian dan nikmat adalah kepunyaan-Mu dan kekuasaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu."

"Setiap kali aku mendengarnya, aku sentiasa menangis, Ya Allah aku rindu Makkah... Ya Allah aku rindu melihat Kaabah... Izinkan aku datang... Izinkan aku datang, ya Allah..."

Oleh kerana itu, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, setiap hari saya mengasingkan sedikit wang daripada hasil kerja saya sebagai tukang kasut. Sedikit demi sedikit, telah saya kumpulkan. Akhirnya pada tahun ini, saya mendapat 350 dirham, cukup untuk haji saya.

"Saya pun sudah bersiap-sedia untuk berangkat  ke kota Makkah bagi menunaikan haji."

"Tetapi anda batalkan?"

"Benar."

"Apa yang berlaku?"

"Isteri saya mengandung, dan sering sahaja mengidam. Ketika saya hendak berangkat pergi, saat itu isteri saya terlalu mengidam untuk makan sesuatu."

"Abang, adakah awak terhidu bau masakan yang sangat sedap ini?"

"Ya, wahai isteriku."

"Cubalah abang cari, siapakah yang memasak sehingga baunya sangat lazat begini. Mintalah sedikit untuk saya."

"Tuan, saya pun segera mencari sumber bau masakan itu, rupa-rupanya ia datang dari sebuah pondok buruk yang berhampiran. Di situ, terdapat seorang balu dan juga enam orang anaknya."

Saya memberitahu wanita tersebut, bahawa isteri saya mahu merasa masakan yang dia masak, walaupun sedikit.  Ibu tunggal itu diam melihat saya, sehingga saya mengulangi kata-kata saya. Akhirnya dengan perlahan dia berkata, "Maaf, tidak boleh Tuan"

"Saya sanggup membelinya walaupun dengan harga yang tinggi," kata saya tegas. "Makanan ini bukan untuk dijual, tuan," katanya sambil berlinang air mata. Saya bertanya kenapa?

Sambil menangis, wanita itu berkata, "Ini adalah daging yang halal untuk kami tetapi haram untuk tuan," katanya. Dalam hati saya, "Bagaimana ia boleh halal baginya, tetapi ia adalah haram untuk saya, padahal kita sama-sama Muslim? Kerana itu, saya menggesa beliau lagi, "Kenapa begitu, saudaraku?"

"Sudah beberapa hari, kami tidak makan. Di rumah tidak ada makanan. Hari ini, kami ternampak seekor keldai mati, dan kemudian kami mengambil sebahagian dagingnya untuk dimasak. Bagi kami, ini adalah daging yang halal, kerana jika kami tidak memakannya, maka kami akan mati kebuluran. Tetapi bagi Tuan, daging ini adalah haram."

Mendengar kata-kata wanita itu, saya terus menangis tanpa dapat dibendung, lalu saya pulang ke rumah sambil diiringi deraian air mata. Saya memberitahu isteri saya mengenai kejadian itu, lalu dia pun menangis. Maka kami pun akhirnya memasak makanan, dan pergi ke rumah wanita tadi. "Ini masakan untuk kamu."

Peruntukan wang haji sebanyak 350 dirham itu, telah pun saya berikan semuanya kepada mereka. "Gunakanlah wang ini untuk puan dan keluarga puan. Gunakanlah ia untuk modal berniaga, supaya puan sekeluarga tidak akan merasa kelaparan lagi."

Ya Allah... di sinilah Haji ku..
Ya Allah... di sinilah Makkah ku..

Mendengar kisah tersebut, Abdullah bin Mubarak tidak dapat menahan air mata.. "Sungguh, saudaraku.. engkau telah mendapat haji mabrur.. engkau telah diredhai Allah"

Fikirkanlah bagi orang yang telah naik haji dan umrah berkali-kali, tapi hati tetap kedekut dan bakhil... Lalu di manakah tempat mereka... Sedangkan dalam masa yang sama, berapa ramai lagi umat Islam yang kelaparan dan kebuluran, mungkin mereka itu jiran anda...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan