Khamis, 12 Januari 2023

Guru yang lesu

 (1) Kes seorang murid tingkatan tiga yang memukul guru disiplin dengan penyapu kerana mengunting rambut beliau yang panjang telah menunjukkan kepada kita satu kekeliruan besar tentang konsep pendidikan yang kita amalkan. 


(2) Apakah konsep pendidikan sudah berubah dari PENDIDIKAN kepada HANYA PENGAJARAN? 


(3) Jawapnya- YA, telah berubah. Tanpa sedar, bila sistem pendidikan kita mula mementingkan prestasi akademik lebih dari segala-galanya. Bila pencapaian akademik dijulang sebagai kejayaan pendidikan dan menjadi kayu ukur kualiti sekolah dan sistem pendidikan. 


(4) Kita selalu dengar tentang berbagai inovasi pengajaran (PAK21, KBAT etc), tapi pernahkan kita mendengar tentang inovasi besar dalam pembentukan adap, akhlak dan adap murid-murid di sekolah? 


(5) Kita selalu meraikan murid-murid yang cemerlang peperiksaan, tapi pernahkah kita raikan murid-murid mithali adap, sahsiah dan akhlak? Kalau pun ada, itu tidaklah sehebat sanjungan kita pada pencapaian akademik. 


(6) Jadi bila konsep pendidikan itu sendiri sudah berubah dari pendidikan kepada sekadar pengajaran mengikut mata pelajaran, adakah peranan guru-guru hari ini masih lagi perlu dikekalkan sebagaimana guru-guru di era 60an, 70an dan 80an?


(7) Dulu, peranan guru diterima oleh seluruh ahli masyarakat sebagai pendidik. Ibubapa menghantar anak-anak untuk dididik oleh guru dengan semangat 'kalau anak saya lakukan kesalahan atau malas belajar, cikgu rotan dan dendalah anak saya. Asalkan jangan buta, pekak atau patah anggota badannya.' Saya serahkan anak saya untuk cikgu didik menjadi orang yang berguna'. 


(8) Hari ini, semangat itu semakin tiada lagi. Kisah ibubapa 'menyerang' guru-guru yang mendenda anak-anak mereka sudah kerap berlaku. 


(9) Malah jangankan merotan atau mendenda, jika ada guru-guru mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan anak-anak juga sudah cukup untuk dijadikan alasan untuk sesetengah ibubapa 'menyerang' pihak sekolah dan guru.


(10) Zaman berubah. Apakah peranan guru juga patut berubah? Dari seorang pendidik kepada seorang pengajar? 


(11) Apakah hari ini guru-guru sepatutnya hanya mengajar isikandungan mata pelajaran sahaja? Tanpa perlu lagi guru mendidik murid-murid tentang adap, sopan, disiplin dan akhlak? 


(11) Malah bukan rahsia lagi ada sesetengah guru telahpun mempunyai prinsip, 'kerja aku masuk kelas, mengajar ikut buku teks, habis waktu aku keluar kelas, sampai waktu habis waktu sekolah, aku balik rumah. Cukup bulan aku ambil gaji. Perangai, akhlak atau adap murid bukan kerja aku. Itu kerja mak bapak mereka sendiri."


(12) Sistem pendidikan kita sudah tidak jelas tentang hal ini. Apakah seorang guru hanya perlu mengajar mata pelajaran mereka sahaja. Atau selain mengajar, guru juga bertanggungjawab mendidik murid-murid tentang akhlak, adap, sopan dan  disiplin? 


(13) Tiada keselarasan pendirian tentang hal ini. Terserah pada guru itu sendiri. Nak mendidik boleh, nak setakat mengajar pun boleh. Akibatnya, ibubapa sendiri ikut tidak jelas. Murid-murid juga tidak jelas. Lalu dipukulnya guru yang mahu mendidik dengan batang penyapu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan