Selasa, 3 November 2026

Ride

 DUNIA PERMOTORAN HARI INI:

REALITI HOBI YANG DITUNGGANG DEMI PANGKAT, POKET, DAN KEPENTINGAN PERIBADI


Dunia permotoran seharusnya menjadi medan untuk menyatukan minat, membina ukhwah, dan menikmati kebebasan di atas dua roda. Istilah "LUNCUR" atau "RIDE" itu sendiri membawa maksud santai tanpa sempadan. Namun, realiti permotoran hari ini sudah jauh terpesong daripada landasan asal. Kebanyakan group motor yang wujud bagaikan sebuah syarikat korporat yang penuh dengan birokrasi, kepentingan peribadi, dan drama yang tidak berkesudahan. Lebih banyak membawa keburukan dan sakit kepala berbanding kebaikan.

Salah satu paling ketara ialah wujudnya pangkat yang tidak masuk akal President, Vice President, AJK, dan bermacam-macam ketua biro. Komuniti yang sepatutnya berasaskan persamaan minat kini dikawal oleh ego individu yang gilakan kuasa. Ironinya, ahli-ahli dipaksa dgr arahan seolah-olah sedang bekerja, sedangkan masing-masing keluar modal sendiri untuk minyak dan penyelenggaraan motor.

Lebih parah lagi, group motor kini bertukar menjadi lubang perniagaan pihak tertentu. Dalam setahun, entah berapa helai baju dan jersi yang dikeluarkan dengan meletakkan harga yang melampau tinggi, seolah-olah kain yang digunakan itu kalis api atau kalis peluru. Hakikatnya, ia hanyalah jersi biasa yang dicetak murah, bertujuan untuk mengaut keuntungan atas angin daripada poket ahli sendiri. Apa yang paling kelakar dan menyakitkan hati, dah lah baju itu dibeli dengan duit poket ahli sendiri, kemudiannya ahli dikontrol bodoh dan diperli pula supaya tidak memakai baju tersebut sesuka hati di luar atas alasan kononnya takut mencemarkan atau memburukkan nama group. Duit kita lebur, baju kita punya, tapi mereka pula yang sibuk berkuasa menentukan bila kita boleh menyarungnya. Ditambah pula dengan isu kutipan yuran tahunan atau bulanan yang tiada audit jelas, termasuklah pembukaan akaun "Derma Kilat” setiap kali ada ahli yang menerima musibah atau kemalangan. Pihak pengurusan paling laju buat poster kutipan kononnya atas dasar kebajikan, tetapi wang derma daripada ahli-ahli marhaen bertukar menjadi duit poket tepi yang lebur entah ke mana tanpa ada ketelusan jumlah yang sebenar diserahkan kepada mangsa.

Paling memuakkan apabila minat ahli mula ditunggang demi kepentingan agenda luaran. Belum masuk lagi isu konvoi atau mega event yang rupa-rupanya diselitkan dengan unsur and agenda parti politik. Ahli-ahli dipergunakan sebagai "MACAI" untuk meramaikan majlis, manakala pihak atasan mendapat nama, dana, atau kabel politik di atas pagar. Malah, ada juga yang menunggang atas dasar agama, kononnya berkonvoi sambil beramal, padahal semuanya hanyalah wayang demi jaga imej dan poket segelintir individu.

Lebih menjijikkan, atas tiket konvoi dan bersosial, batas agama dan moral terus dicampak ke tepi. Isu mengangkut dan membawa perempuan bukan mahram beratus-ratus kilometer tanpa segan silu dah jadi perkara biasa atas alasan "minat yang sama".

Di sebalik tabir persahabatan yang dilaungkan, realitinya penuh dengan toksik dan permusuhan. Drama bergaduh sesama ahli sudah menjadi perkara biasa, sering kali berpunca daripada isu remeh. Sesiapa yang berani bersuara atau tegur salah laku pihak atasan dengan mudah akan dibuang daripada group tanpa budi bicara. Budaya singkir-menyingkir ini membuktikan bahawa nilai setiakawan telah mati.

Bukan itu sahaja, penyakit "puak dalam puak" atau kronisme tegar juga tebal dalam group. Wujud kasta antara "puak kayangan" dengan "puak marhaen", dan sikap pilih kasih waktu ride menjadi makanan ruji. Malah apabila turun ke jalanan, wujud pula isu konvoi yang menyusahkan pengguna jalan raya lain. Marshall ciptaan group sendiri bertindak ala-ala polis trafik, menahan kenderaan awam sesuka hati dan menunjuk lagak samseng atas jalan semata-mata mahu group mereka lalu dulu.

Kesimpulannya, dunia permotoran sekarang dipenuhi kepura-puraan demi memuaskan nafsu segelintir individu. Matlamat asal untuk tenangkan fikiran dan mencari kenalan baru telah tenggelam dalam arus kepentingan peribadi, maksiat, dan politik. Sudah tiba masanya para pemilik motosikal sedar dan kembali kepada konsep asal.Tungganglah jentera anda dengan bebas, tanpa perlu terikat dengan pangkat, baju group yg mahal, yuran dan derma misteri, agenda parti, atau drama group yang merosakkan jiwa.


Tungganglah Dengan Bebas!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan