Khamis, 19 Mei 2011

Dengki, khianat, benci, sindiran, hasad, cemburu vs busuk hati

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim] 


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. [Bukhari & Muslim] 


Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam. [Bukhari & Muslim] 


Kita hidup ini hanya bertauhidkan yang satu, Dia yang Maha Esa. Penguasa Mutlak yang berhak ke atas setiap apa yang berlaku kepada kita. Raja yang menciptakan pelbagai sifat kesempurnaan kepada kita sebagai hamba bergelar insan. Manusia yang dipunyakan sifat kasih, sayang, jujur, pra sangka, dengki, khianat, benci dan sebagainya. Justeru, mengapa ada benci, dengki dan busuk hati? Suatu perasaan yang tidak seharusnya kita ada adalah hasad dan benci. 


Saban masa kita pasti berhadapan dengan situasi di mana wujud perasaan benci terhadap seseorang. Ya tidak? “Busuk giler mamat ini, setahun tak basuh baju ke?” Seseorang daripada kita mungkin pernah mengungkapkan kalimah seperti di atas. Secara sengaja mahupun tidak. Tidak perasan? Anda sebagai empunya diri, anda lebih berhak ke atas diri anda sendiri. Anda lebih tahu berbanding saya. Hakikatnya, saya sendiri terkadang itu tidak boleh menafikan daripada mempunyai perasaan itu. 


Nama pun manusia, penuh silap dan dosa. Selalu orang kata benci itu tandanya busuk hati. Ada juga ungkapan mengaitkan benci itu tandanya sayang. Tidak kurang hebat juga yang menjelaskan bahawa benci itu tanda kita seorang manusia. Yalah, kalau anda tidak punya rasa benci, anda barangkali bukan seorang manusia. Bukankah manusia itu diciptakan oleh Allah dengan segala rencam sifat yang tidak pernah terungkai dek kata-kata. 


Mungkin, Nabi junjungan kita sahaja yang mampu merungkai permasalahan ini. Muhammad S.A.W yang maksum, sempurna namun tetap juga beristighfar sekurang-kurangnya tujuh puluh kali sehari. Aduhai, bagaimana pula dengan kita? Ada 3 sebab perasaan hasad dan benci: 


1) HATI DAN NIAT YANG KOTOR 
Tidak dapat dinafikan bahawa persoalan hati terlalu sukar untuk dibicarakan. Hati seringkali berkait rapat dengan tindakan yang akan dinatijahkan seterusnya. Kita selalu menyatakan bahawa hati itu permulaan sesuatu tindakan. Alangkan tidak berniat untuk melakukan kejahatan pun sudah berulang-ulang kali lakukan juga. Inikan pula saban hari punya hati yang kotor dan siap-siap berniat untuk melakukan kejahatan. Astaghfirullah. Anda sendiri tahu akibatnya bukan. 


2) PERASAAN CEMBURU DAN IRI HATI 
Pernah anda terjumpa di mana-mana babak drama di dalam filem yang melakonkan watak-watak wanita, si isteri yang tidak habis-habis menghasut suaminya untuk berlumba-lumba bersama jiran. Berlumba-lumba? Kalau jiran beli sahaja perabot atau peralatan rumah baru, mulalah si isteri akan memuncungkan mulut. Harap-harapnya si suami itu memahami. Si suami pula kalau tidak menurutkan segala kehendak si isteri akan dikata lelaki yang tidak memahami. Aduhai, masalah-masalah. 


Akhirnya, terpaksa juga diturutkan kehendak si isteri. Kerana apa? Kerana rasa iri hati dan cemburu si isteri terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Justeru, elakkan daripada punya rasa iri terhadap orang. Kelak akan membawa pula kepada benci. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya 


3) KURANGNYA HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ya, sebab yang ketiga ini seharusnya dijadikan titik permulaan bagi kita. Untuk diri saya, mereka dan anda semua yang membaca. Untuk apa kita diciptakan? Apa guna kita dihidupkan di atas muka bumi ini andai tidak pernah cuba untuk membahagiakan Tuan Punya alam ini. 


Di mana rasa syukur dan sayang kita kepada Dia? Bila anda sudah jauh dari Tuhan, sudah tentu segala yang diajar, semua yang diasuh oleh ajaranNya, dengan mudah akan ditinggalkan. Sedangkan solat 5 waktu setiap hari yang ditunaikan, juga masih tidak mampu mengelakkan kita daripada berbuat dosa, benci dan sebagainya, inikan pula terus-menerus jauh daripada mengingatinya. Justeru saudara-saudari, jagalah hubungan kita denganNya. 


Ingatlah Dia selalu, moga di waktu kita sempit nanti, Dia sentiasa mengingati kita. BENCI itu hanya sekadar meruntuhkan talian silaturrahim kita sebagai saudara. Oleh itu, marilah kita sama-sama kukuhkan lagi tautan hati-hati kita. Semoga yang jauh-jauh itu dapat kita erat-eratkan. 


Yang dekat pula, kita rapat-rapatkan.. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan