Jumaat, 20 Mei 2011

Remaja dan cinta.... bacalah...! :)

Remaja dan cinta, suatu yang tidak mampu dipisahkan. Cinta ialah ujian, dan cinta juga ialah cabaran buat setiap yang bergelar manusia, terutamanya remaja.

Selepas membaca sebuah artikel panjang di laman sosial Facebook, dan membaca hujah-hujah serta perbahasan berkenaan artikel ini, saya dapat memahami sesuatu dan ia akan saya kongsikan dengan kalian di sini.

Tapi sebelum itu, saya sangat berharap agar kalian dapat menghadam terlebih dahulu akan apa yang terkandung dalam dua pautan ini.

  1. Couple dan zina hati
  2. Perbahasan dan perbincangan tentangnya.
Pertama sekali, saya nak kata saya sangat serabut dengan manusia yang sikit ilmu tapi banyak bercakap. Bercakap itu bukan hanya terbatas dengan mulut, tetapi dengan tulisan dan juga dengan membuat video atau snippet murahan. Baru sebentar tadi saya bukak you-tube dan menonton beberapa buah video yang sangat kontroversi, yang disiapkan oleh orang yang dangkal dalam agama dan banyak mulutnya.

Keduanya, islam ialah agama wasatiyyah iaitu bersifat sederhana. Tidak extreme, dan tidak juga terlalu longgar. Malangnya, dalam soal cinta, wujud golongan extreme yang menolak untuk berada di jalan pertengahan, seterusnya membelakangkan prinsip islam yang asli tadi, iaitu besederhana dalam perkara-perkara yang bukan pokok. Islam mengajar ummat untuk tegas tentang soal pokok (akidah) tetapi berlapang dada dalam soal cabang (furu').

Sebelum menulis, saya ada merujuk kepada artikel-artikel Ustaz Hasrizal di laman sengsawang beliau. InsyaAllah, jika artikel yang saa tulis ini ada benarnya, maka terimalah tetapi jika ada yang silap, saya berlindung dengan Allah daripada kelemahan diri saya ini.

Isu Lapuk.

Isu cinta, saya kira menjadi satu bahan perbualan dan perbincangan yang masih tidak temui sudahnya. Ada yang meletakkan berbagai definasi bagi cinta, tetapi saya meletakkan cinta itu sebagai sebuah kekuatan yang mendorong si pemilik cinta untuk memiliki apa-apa yang dia cintai itu.

Sungguh! Cinta itu ialah satu fitrah kurniaan Allah. Al-Quran ada bercerita tentang cinta, bagaimana cinta itu banyak bahagiannya. Cinta kepada kebaikan, keimanan, kekuasaan, harta benda, nafsu dan lain-lain. Maka, satu kesimpulan dapat dibuat, iaitu cinta itu boleh mendorong manusia kepada melakukan kemungkaran dan boleh juga mendorong manusia untuk melakukan kebaikan.

Cinta yang membawa kebaikan itu jelas, dan cinta yang membawa kemungkaran itu juga jelas. Antara keduanya, ada satu lagi isu yang dinaikkan sejak mutaakhir ini iaitu berkenaan zina hati.

Dan banyak sekali soal jawab berlaku tentang zina hati, kerana ia sangat rapat juga dengan persoalan couple yang menjadi trend dan budaya remaja tidak terkecuali orang dewasa. Dan berkenaan zina hati, ramai yang bersikap egois dan menidakkan cinta, kerana bimbang terjebak dalam kancah zina dalaman ini.

Ya Allah. Berilah petunjuk kepada aku untuk meneruskan penulisan.

Saya berkongsi sebuah cerita tentang Abang Ben dengan isterinya Kak Long. 

Beberapa tahun dahulu, Abang Ben meminati seorang akhawat medic yang belajar di Mesir, Kak Long. Perkenalan mereka aneh-aneh sahaja. Tidak pernah bersua muka, tidak pernah juga mendengar suara. Hanya kerana sebuah tanggungjawab dan komitmen dakwah, Abang Ben mengenali Kak Long dan ia hanya terhad kepada hasil tulisan Kak Long sahaja.

Abang Ben yang masih belajar pada masa itu hanya mampu memendam rasa, tapi dalam masa yang sama, dia memberanikan diri untuk menegur kak long. Entah dari mana kekuatannya, akhirnya Abang Ben sanggup meluahkan hajatnya untuk memperisterikan Kak Long. Masa itu, mereka masing-masing di usia awal 20-an.

Kak long terkedu. Diam sesaat. Mukanya merona merah. Ya! Siapa sangka, rupanya Kak Long juga memendam rasa yang sama.Tanpa masing-masing sedar, rupanya sedia wujud rasa yang aneh antara mereka.

Abang Ben meletakkan sebuah janji- dia mahu meminang Kak Long dalam tempoh dua tahun lagi. Abang Ben di Malaysia, dan Kak Long pula di Mesir. Cadangan Abang Ben itu disambut baik oleh Kak Long. Tetapi awal-awal lagi Kak Long memberitahu bahawa kuliahnya masih belum habis dan dia masih akan terus berada di Mesir, paling kurang untuk 4 tahun yang mendatang. Tempoh 2 tahun yang Abang Ben kata tadi ialah tempoh untuk Abang Ben menamatkan kuliahnya, dan terjun ke dalam alam pekerjaan.

Rancangan dua insan yang sedang berkongsi rasa ini tidak diketahui oleh ibubapa masing-masing. Ini hanya janji yang dipahat antara mereka berdua dan pasti, Allah sebagai pemerhati mereka.

Abang Ben pernah ditanya, "Jika dalam tempoh 2 tahun itu, ada lelaki lain melamar Kak Long melalui ibubapanya... Abang Ben nak buat apa?"

Sambil tersenyum, Abang Ben menjawab. "Jika ibubapa dan Kak Long sendiri menyenangi lelaki itu, maka abang hanya mampu mendoakan kebahagiaan mereka. Tetapi abang tahu... jodoh kita sememangnya Allah telah tentukan. Jika benar Kak Long itu jodoh abang, abang yakin Allah akan mudahkan semua urusan kami dan satukan kami. Abang yakin itu... dan abang hanya mampu berdoa dan berusaha..."

Abang Ben sangat memahami konsep usaha dan takdir. Dua tahun telah berlalu. Abang Ben menghantar rombongan untuk meminang Kak Long. Majlis dijalankan sederhana cuma, kerana Kak Long pun masih dalam kuliahnya. Mereka bertemu, dan berpisah dek komitmen masing-masing. Tapi tautan hati mereka kekal utuh, hingga kini dan selamanya, insyaAllah.

Dan persoalannya, adakah Abang Ben dan Kak Long berzina hati sepanjang dua tahun itu?

Saya akan katakan ia bukannya zina hati, tetapi motivasi. Abang Ben, saat tersedar bahawa Kak Long menantinya, dia tidak lagi cuai dalam pelajarannya. Dia bersungguh-sungguh dalam program dakwah dan tarbiyyahnya. Dia juga berusaha keras menjadi insan yang berdikari. Segala ilmu yang kurang, dia tambah. Segala harta yang tiada, dia cari. Segala kematangan yang tumpul, dia asah. Segela kelemahan yang bocor, dia tampung. Tempoh 2 tahun tadi menjadi satu tempoh untuk dia berubah, menjadi a better muslim.

Kak Long juga sama. Dia bersungguh-sungguh dengan kuliahnya. Dia juga semakin menjaga diri dan pergaulannya. Dia juga semakin hebat amal ibadahnya, juga ilmu agamanya, dan tak lupa, akhlak cermin dirinya. Tempoh dua tahun itu menjadi satu tempoh yang paling bersejarah dan saksi diri- menjadi a better muslimah.

Inilah yang saya ucapkan kepada kawan-kawan yang bertanya tentang cinta.

Cinta itu fitrah. Allah beri kepada sesiapa yang dia kehendaki. Kita tidak boleh memaksa diri mencintai orang kerana perasaan yang beputik dalam hati, segalanya kurniaan Allah. Dan islam melayan perasaan-perasaan itu sebagai suatu fitrah.

Salahkah jatuh cinta?

Sungguh! Ia bukan suatu kesalahan. Tetapi mengapa ramai yang meletakkan 'kau telah melakukan dosa besar' hanya kerana seorang ikhwan itu jatuh cinta kepada seorang akhawat?

Ada jalannya! iaitu bernikah!

Dan inilah juga saranan saya kepada orang yang bertanya tentang cinta kepada saya. Soalannya, "Saya ada teman wanita. Apa perlu saya lakukan?". 

Orang itu tanya orang A, orang A kata, "Kau putus sekarang!".
Orang itu tanya orang B, orang B kata, "Kau telah melakukan zina hati".

Atas alasan mengingati orang lain lebih daripada Allah

Ya. Saya akan katakan tidak wajar untuk mengingati orang lain lebih daripada Allah kerana dalam surah al-Anfal ayat 2, sifat mukmin sejati itu ialah "apabila disebutkan nama Allah, maka gementarlah hati-hati mereka"

Satu nota refleksi. Kebanyakan kita, apabila disebut nama orang yang kita suka itu, gementar hati kita. Rasa terbuai-buai, sedangkan apabila nama Allah disebut, tidak pula terasa apa-apa! Adilkah kita membahagiakan hati kita dengan cara begini?

Sambungan kisah Abang Ben...

Sepanjang tempoh 2 tahun tu, dia dengan Kak Long banyak berbincang. Antara yang dibincangkan ialah perancangan selepas kahwin. Dan dalam masa yang sama, Abang Ben berfikir beberapa perkara dan bersedia dengan solusi pada situasi itu.

1- Bolehkah aku menerima hubungan jarak jauh Malaysia-Mesir?
2- Mampukah aku menerima doktor sebagai teman hidup? 

Itu antara benda yang dia fikirkan dan bersiap.

Dan saya nak bertanya lagi kepada orang yang suka menggunakan perkataan zina hati. Adakah rancangan Abang Ben-Kak Long untuk bernikah ini dikira zina hati?

Kerana 'zina hati' itu kerap dikaitkan dengan 'orang yang macam faham agama', maka saya terkilan kerana ada juga manusia yang lebih berkenan untuk berpisah daripada mengajak teman lelaki/wanita yang sedia ada untuk berubah sama-sama. Sama-sama jadi baik.

Ustaz Kamaruddin Shaadan selalu berpesan kepada anak muda. "Kepada sesiapa yang sudah ada teman lelaki atau teman wanita, maka silalah ajak mereka berubah sama-sama. Katakan saja, jika kamu tak mahu berubah, maka saya tidak akan teragak-ragak untuk tinggalkan kamu".

Bukan sedikit yang berubah melalui cinta. Tapi banyak juga yang dilalaikan oleh cinta!

Sebagai contoh bagaimana cinta melalaikan kita:
  • Selepas bercinta, tumpuan untuk beribadah jatuh merundum.
  • Selepas bercinta, tumpuan untuk menimba ilmu hilang.
  • Selepas bercinta, banyak terjebak dengan benda sia-sia
  • Selepas bercinta, jadi lebih banyak buat dosa samada kecil atau besar.
  • Selepas bercinta, jadi lebih utamakan awek daripada sahabat
  • Selepas bercinta, jadi makin banyak membazir dan boros
  • Selepas bercinta, lupa Allah
  • Selepas bercinta, lupa keluarga
  • Kesimpulannya, yang buruk-buruk belaka.
Hah! Di sana barulah betul jika kamu nak salahkan cinta! Tetapi banyak orang yang menyalahkan cinta sedangkan cinta yang patut disalahkan ialah apa-apa yang datang bersama cinta yang tidak dikawal ini!

iaitu rasa nak enjoy!

Jika di saat ini kalian sudah ada pacar, maka jalan terbaik ialah nikah! Jika tidak mampu, maka buat macam Abang Ben dan Kak Long buat iaitu BERUBAH KEPADA KEBAIKAN, kerana apa yang saya nampak pada Abang Ben dan Kak Long ialah cinta mereka bermatlamat!

Cinta Yang Bermatlamat.

Iaitu cinta yang meletakkan syurga Allah sebagai destinasi. Dengan sendirinya, pihak lelaki dan pihak wanita akan merubah diri. Apa yang Allah suka, itulah apa yang sepatutnya pasangannya suka. Dengan ini juga, tidak akan berlaku....
  • Bergayut di telefon, kerana kedua-dua belak pihak faham yang ada banyak benda yang mereka patut dahulukan
  • Membazir beri hadiah selalu, kerana mereka faham selepas kahwin lagi banyak duit nak kena pakai
  • Bermanja-manja, kerana mereka faham bahawa itu ialah nikmat selepas nikah
  • Dan lain-lain...yang banyak remaja sedang buat.
Kesimpulan.

Jika ada lagi orang yang datang bertanya saya tentang cinta, maka saya akan ulang jawapan ini.

"Kita cuma perlu ubah cara kita bercinta, dengan menjadikan cinta itu bermatlamat, iaitu syurga"

Wanna break the relationship? I hope not. Better change then!


SUMBER:  http://iqbalsyarie.blogspot.com/2011/05/cinta-abang-ben-dengan-kak-long.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan