Kalau orang sedang bercinta, mereka sering katakan "Aku bertepuk sebelah
tangan" sekiranya cintanya tidak diterima orang atau dia hanya syok
sendiri. Kita pun telah mengetahui betapa banyak orang yang frust
bercinta hanya kerana cintanya tidak berbalas. Ini fenomena dalam cinta
haram atau cinta monyet. Cinta yang dianjurkan oleh Islam amat berbeza
benar, sama ada bercinta dengan Allah mahupun cinta kepada Rasulullah S.A.W.
Percintaan dengan S.A.W amat unik kerana baginda telah dahulu memulakan percintaan
ini, sebelum kita semua memulakannya. Baginda telah menyintai kita
semua sebelum kita semua menyintainya. Baginda telah menghulurkan
tangannya untuk bertepuk dengan kita sambil menunggu kita untuk
membalasnya. Ironinya, nabi S.A.W tidak memerlukan kepada balasan kita
sebenarnya. Baginda memulakannya kerana ingin melihat kita bahagia dan
senang di akhirat kelak.
Ketikamana Rasulullah bersabda "Sesiapa
yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (berdoa) ke
atasnya (sesiapa yang berselawat) dengan 10 kali selawat", Rasulullah
amat gembira dengan kurniaan Allah S.W.T tersebut. Bukanlah gembira
dengan pujian dan limpahan doa yang bakal dilakukan oleh umat
kepadanya, akan tetapi baginda gembira dan seronok apabila Allah akan
memberikan ganjaran yang banyak kepada umatnya. Mana tidaknya, sekali
kita berselawat kepada nabi, Allah akan membalasnya dengan 10 kali
lebih baik daripada itu. Imam Sakhowi ketika mengulas perkara ini
mengatakan bahawa satu selawat Allah (doa) kepada umatnya lebih baik
daripada membuat 1000 kebajikan. Lihatlah cintanya nabi kepada kita
semua, lebih memikirkan nasib umatnya berbanding perkara lain.
Kita juga tidak boleh melupakan jasa nabi Muhammad S.A.W ketika menerima
ibadah solat fardhu pada peristiwa Isra´ Mikraj. Daripada 50 rakaat
yang ditaklifkan, nabi berusaha untuk mengurangkan bilangan tersebut
sehinggalah menjadi 5 rakaat seperti sekarang selepas mendapat signal
daripada nabi Musa yang menyatakan umat akhir zaman ini tidak mampu
melakukan ibadah sebanyak itu. Lalu turun-naik lah nabi berjumpa Allah
untuk mengurangkan bilangan tersebut lantaran memikirkan umatnya
walaupun dia sendiri `tebal muka´ untuk meminta pengurangan itu. Ada
sebahagian riwayat menyatakan daripada 50 rakaat yang disyariatkan, ia
dikurangkan 5 rakaat setiap kali nabi mengadap Allah. Secara congakan
akal yang dangkal ini, bermakna 9 kali nabi S.A.W turun-naik secara
tebal muka untuk berunding bagi urusan umatnya!! Akhirnya dengan sifat
kasih sayang Allah jua, kita hanya difardhukan untuk menunaikan 5 kali
solat sehari tetapi pahalanya tetap sama dengan 50 rakaat yang mula
disyariatkan !!
Saat-saat akhir nabi di alam ini adalah isyarat yang paling jelas kepada kita
bahawa baginda telah memulakan proses percintaan ini sebelum kita
memulakannya. Ketika baginda nazak menghadapi sakaratul maut, baginda
masih menyebut "Ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku)". Jika
kita fikir-fikirkan pun, tak mungkin orang yang sakit akan menyebut
perkara yang lain ketika sakitnya melainkan mengerang kesakitan. Akan
tetapi kerana cintanya kepada umatnya, baginda masih memikirkan umatnya
walaupun di penghujung usia.... Ya Allah !!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan