Dari Jabir r.a, berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah S.A.W katanya: Wahai Muhammad demi Allah yang mengutusmu sebagai Nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 hasta kali 30 hasta dan di sekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.
Dan di situ Allah S.W.T mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit serta Allah S.W.T juga telah menghidupkan sepohon pokok delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya. Setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah S.W.T supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh bumi atau apa-apa sahaja sehingga tibanya hari berbangkit. Maka Allah S.W.T pun menerima permintaannya.
Berkatalah malaikat lagi: Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud. Kami mendapat dalam ilmu bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah S.W.T. Lalu Allah S.W.T menyuruh malaikat, “Masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku”. Maka orang itu berkata: “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah S.W.T menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang telah dibuat hamba itu selama 500 tahun telah habis dihitung hanya dengan sebelah mata sahaja, yakni nikmat penglihatan yang Allah S.W.T berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.
Maka Allah S.W.T berfirman: “Masukkanlah dia ke ke dalam neraka”. Apabila dia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatMu”. Lalu Allah S.W.T berfirman kepada malaikat: “Bawakan dia ke mari”. Kemudian Allah S.W.T bertanya kepada hambanya itu: “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada?”. Lalu hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah”. Kemudian Allah S.W.T bertanya lagi: “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatKu?” Jawab hamba itu: “Ya Allah, dengan rahmatMu”.
Allah S.W.T bertanya lagi: “Siapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?”. Jawab hamba itu: ” Engkau ya Allah”. Allah S.W.T bertanya lagi: “Siapakah yang menempatkan kamu di atas bukit yang ditengah-tengah lautan. Dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin. Serta siapakah yang menumbuhkan sepohon pokok delima yang mengeluarkan sebiji buah delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali, lalu kamu meminta supaya Aku mematikan kamu dalam keadaan sujud, jadi siapakah yang berbuat semua itu?”
Lalu orang itu berkata: “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukannya”. Allah S.W.T berfirman: “Maka semua itu adalah dengan rahmatKu dan kini Aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatKu”. Maka malaikat Jibrail berkata: “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah S.W.T”.
Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah S.W.T berikat kepada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah S.W.T sebaliknya mohonlah dengan rahmatNya. Sebab hanya dengan rahmat Allah S.W.T sahajalah seseorang itu dapat memasuki syurgaNya.
Apabila kita memohon doa kepada Allah S.W.T supaya kita dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya, maka mintalah supaya Allah S.W.T memasukkan kita dengan rahmatNya ke dalam syurga Firdaus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan