Saya merupakan seorang pensyarah perubatan pelatih dari sebuah IPTA. Saya mewakili rakan-rakan seperjuangan (pensyarah perubatan dan pergigian pelatih) ingin menyampaikan rasa kecewa dan terkilan kami dan amat berharap permasalahan kami dipandang serius oleh pihak yang berwajib.
Sebagai permulaan, kami, pensyarah-pensyarah perubatan dan pergigian pelatih, secara dasarnya adalah merupakan doktor perubatan dan doktor pergigian. Perbezaan antara kami dan doktor perubatan dan pergigian di hospital dan klinik kerajaan adalah dari segi kementerian. Kami berkhidmat di bawah naungan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, manakala doktor perubatan dan pergigian di klinik dan hospital kerajaan berkhidmat di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia. Dari segi kelayakan, bidang tugas dan jumlah tahun berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan tiada bezanya antara kami di IPTA dan juga doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Yang menjadi permasalahan buat kami, pensyarah perubatan dan pergigian pelatih, adalah skim perkhidmatan masih belum dikaji semula. Untuk seseorang doktor di Kementerian Kesihatan yang telah berkhidmat selama lima tahun, mereka akan dinaikkan pangkat ke gred UD48. Sedangkan seseorang pensyarah perubatan/pergigian pelatih yang berkhidmat pada tempoh masa yang sama (lima tahun), masih lagi kekal di gred DU45.
Dari segi perbezaan gaji pokok pula, untuk doktor bergred UD48 di Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebanyak RM5,000 dan kami, pensyarah perubatan/pergigian pelatih adalah sebanyak RM3,400. Terdapat perbezaan yang amat ketara di antara gred dan gaji pokok di sini. Untuk makluman, gaji doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia telah dikaji semula pada bulan Mac 2010. Menjadi tanda tanya buat kami, kenapa gaji kami tidak selaras dengan doktor di Kementerian Kesihatan. sedangkan dari segi tugas, kelayakan dan juga pengalaman berkhidmat, kami di IPTA dan doktor di Kementerian Kesihatan adalah sama? Kami terasa seperti dianaktirikan.
Kami amat berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengkaji dan menyelaraskan semula gaji pensyarah perubatan/pergigian pelatih dengan gaji doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan