Selasa, 25 September 2012

ujian Allah


Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” Subhanallah, saya terasa ingin menjawab rasa hati ini dengan sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar terpanggil. 

Tetapi kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan tulisan yang secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun, marilah sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis ini jika diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai. Terimalah tuisan ini sekadarnya

KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU!

Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.” Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah kita bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik – Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk manusia. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Dengan hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Nafsu terdesak, tak senang dan ingin lepas daripada ujian – ini membuka pintu rahmat Allah kerana nanfsu sangat mengajak pada kejahatan.

Melemahkan nafsu, hilangkan kekuatan, batalkan sifat-sifatnya. Bila nafsu lemah – manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa, maksiat – mengejar dunia hingga terlepas daripada keredhaan Allah.

Menimbulkan taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Benarlah, frman Allah yang bermaksud:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah. Ia berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya dan dia berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Tapi bagi yang negatif, tak dapat lihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja. ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku).

Tiada jalan keluarkan melainkan lakukanlah tiga langkah ini:
  • Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi bala dan cubaan. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.
  • Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
  • Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?
Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan