”Maaflah kalau kata-kata saya ni macam bajet bagus je, saya tak berniat......”
Saya terdengar frasa di atas melalui sebuah stesen radio Islami, dari seorang tetamu yang ditemubual di radio tersebut. Saya cuba mengamati temubual tersebut, yang diselangseli dengan nasihat, panduan, pedoman, sindiran dan teguran. Ketika dibuka talian untuk berinteraksi dengan pendengar, saya kaget apabila seorang pemanggil ditempelak dengan ungkapan berikut:
”Teruskan dengan soalan ya, pandangan boleh diberikan dalam program yang lain, ramai lagi yang queue untuk menyoal saya!”
Astaghfirullah! Berderau darah saya, degup jantung pun kencang, terjahan kata-kata itu ibarat pisau lipat yang tajam, menghiris-hiris luka hati saya. Apa hendak jadi dengan umat hari ini? Sudah lah umatnya jahil, dapat personaliti yang cerdik pandai, bajet bagus pula.....getus hati saya.
BAJET BAGUS adalah istilah moden yang popular digunakan kini. Apa maksud sebenarnya pun saya tidak pasti, tetapi jika diteliti kedua-dua petikan kata-kata tersebut, fahamlah kita bahawa orang yang bajet bagus ini mungkin merasakan dirinya serba bagus, penting, smart dan hebat, hatta tidak perlukan lagi kepada pandangan dan teguran orang lain.
Inilah petaka yang melanda umat Islam di akhir zaman, apabila persoalan adab dikesampingkan. Orang yang berilmu, jika tidak disempurnakan dengan adab, akan jadi bajet bagus. Orang kaya, jika hilang adab, akan jadi sombong, bongkak dan bakhil. Orang miskin yang tidak beradab, akan jadi sampah masyarakat yang melambakkan masalah sosial lain. Anak yang tidak diadabkan, akan jadi biadap. Ibubapa yang lemah adab, akan hilang tanggungjawab. Yang paling bahaya, pemimpin yang tidak mengambilkira soal adab, ada kecenderungan menjadi pemimpin yang zalim, beraja di mata, bertakhta di hati.
Seseorang yang merasakan dirinya bagus, sebenarnya hampir-hampir menggelincirkan kakinya ke dalam lubang yang amat bahaya, yang membawa kepada tiga sifat mazmumah (keji) yang perlu dielakkan, iaitu ’ujub, riya’ dan takabbur.
’Ujub ertinya merasa ta’jub dengan diri sendiri. Merasa dirinya hebat dan lebih dari orang lain, walaupun perasaan itu mungkin tidak terlafaz atau dizahirkan pada kata-kata. Guru saya memberikan contoh berikut:
Seorang yang bangkit awal pagi untuk bertahajjud, bersendirian munajat di ruang kamarnya, tanpa diketahui oleh sesiapa pun, meratap merayu kepada Tuhannya, boleh terpercik penyakit ’ujub, jika terdetik di hatinya perasaan ”Alhamdulillah, awal aku bangun pagi ini, tak sangka pula dapat tahajjud, dalam keadaan jiran semua masih tidur lena...”. Cukuplah merasai kehebatan diri sendiri itu, walau tiada siapa yang tahu dia bertahajjud, maka rasa ta’jub dengan diri sendiri itulah namanya ’Ujub.
Penyakit ’ujub yang dilayan dan bermain-main diperasaan, jika tidak dibendung dan dirawat segera, akan mudah merebak menjadi riya’. Bagaimana caranya? Jika si polan tersebut mula membuka mulutnya menceritakan kehebatannya dan mengharapkan orang melihat-lihat kehebatannya. Contoh, jika selepas bertahajjud, maka si polan itu segera ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Selepas berjemaah, maka diapun dengan sengaja bertanya kepada jirannya soalan seperti ”tadi jam 5.00 pagi tak sedar ke bunyi loceng? Saya dengar sampai ke rumah saya, ganggu wirid dan tahajjud saya tadi!”. Ungkapan itu lebih bertujuan memaklumkan jirannya bahawa dia telah bangkit lebih awal dari jirannya. Maka jatuhlah si polan itu ke perangkap riya’ iaitu melakukan amalan kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan mengharapkan pujian.
Riya’ yang kronik akan membawa si pengidapnya kepada takabbur, iaitu kemuncak keburukan akhlak pada mana-mana makhluk. Orang yang takabbur akan berbangga dengan kelebihannya, dan menempelak orang lain semuanya lemah dan buruk. Contoh di atas, jika disambung berbunyi seperti ini ”awat hang tak bangkit subuh? Isy...isy....teruk la hang ni. Tengok macam aku ni, setengah jam sebelum azan, confirm dah siap-siap tahajjud dan nak pi masjid dah. Bukan macam hang tu dok berdengkur lagi.....”
Takabbur adalah penyakit bawaan Iblis, yang merasa dirinya hebat berbanding Nabi Adam AS. Seperti di dalam kitab Al-Quran, apabila Iblis enggan bersujud (hormat) kepada Nabi Adam AS seperti para malaikat yang lain, Iblis membantah dengan kata-kata
”Apakah aku akan sujud kepada dia yang Kau ciptakan dari tanah? Sedangkan aku Kau ciptakan dari api, dan aku lebih baik darinya...” (AL-QURAN)
Takabbur sang Iblis menyebabkan dia dihalau keluar dari Syurga oleh Allah SWT. Sifat takabbur adalah sifat yang amat dibenci oleh Allah SWT. Bahkan ada Hadith Qudsi yang mafhumnya:
”Takabbur itu pakaianKu, barangsiapa yang mengambil pakaianKu, maka berhak mendapat kemurkaanKu” [HADITH QUDSI]
Justeru, mari kita pelihara diri dari ketiga-tiga sifat yang keji ini, untuk selamat dari terkena kemurkaan Allah SWT. Jika bajet bagus itu terangkum di dalamnya ’ujub, riya’ dan takabbur, maka waspadalah diri kita dari merasai bajet bagus dengan diri sendiri.
Orang yang bajet bagus, tidak menghimpun apa-apa pada dirinya, kecuali kebencian dan kemarahan orang lain. Kita akan merasa meluat dan menyampah jika ada di kalangan kita yang bersifat bajet bagus. Orang bajet bagus melihat dirinya lebih penting, utama dan bagus dari yang lain. Yang rugi adalah dirinya sendiri kerana dia menutup pintu nasihat, teguran dan pandangan orang lain kepadanya. Dikhuatiri, dia akan terus hanyut dibuai perasaan sendiri, dan mudah terjerumus ke lembah maksiat, kelemahan, dosa dan kesalahan. Paling tidak pun, dengan ’ujub, riya’ dan takabbur itu sendiri, menjadikan dirinya dibenci oleh Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.
Kepada Allah SWT kita bermohon, dipelihara daripada walau setitikpun ’ujub, riya’ dan takabbur pada hati kita.
SOLUSI Bil 38, ruangan Cerna Minda by Ir. Ahmad Jais Alias as-Syazili
Tiada ulasan:
Catat Ulasan