Dr. Mohd Khairuddin A. Razali, | 02 Okt 2012 |
Merangka perbelanjaan di luar batas pendapatan sehingga berlakunya tunggakan hutang negara adalah bajet defisit yang bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 7
•لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا مَا آتَاهَا سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا } [الطلاق:7]
Bermaksud: "Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan daripada kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia berbelanja daripada apa yang diberikan oleh Allah. Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang diberikannya."
Selama berbelas tahun sebelum ini bajet defisit dan laporan kewangan menyaksikan hutang negara yang semakin meningkat. Tunggakan hutang apatah lagi apabila melibatkan negara sangat dibimbangi mendedahkan negara dan kerajaan kepada penguasaan pihak asing.
Justeru itu, Nabi saw berdoa:
اللهم اني اعوذ بك من غلبه الدين وقهر الرجال
Bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya saya berlindung dengan kamu daripada dikelilingi hutang dan daripada penguasaan manusia-manusia lain
Pada 28 September yang lalu YAB PM selaku Menteri Kewangan telah membentangkan bajet untuk tahun 2013. Sejam selepas itu dan hari berikutnya segunung pujian diberikan kepada Kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib. Kenyataan seperti ‘mesra rakyat’, menyeluruh, prihatin, cakna dan segala pujian yang baik dihamburkan oleh pakar-pakar ekonomi termasuk profesor-profesor yang dianggap berkelayakan dan mempunyai autoriti dalam memberikan pendapat berkenaan dengan ekonomi.
Malangnya setiap tahun pujian demi pujian sedangkan hutang makin bertambah sudah hampir belasan tahun. Ini bermakna secara mudahnya pemikiran pembuat bajet lebih kepada menambah hutang bukan ingin membayar hutang. Bahasa yang mudah ekonomi kita tenat dan makin tenat.
Kami kemukakan di sini beberapa noktah agar mudah difahami berkenaan dengan bajet yang baru dibentangkan baru-baru ini:
• Kadar hutang negara makin bertambah. Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas belanja tahun lepas mencecah RM20 bilion. Hutang naik RM456 bilion. Sekarang hutang sudah menjadi RM502 bilion. Semasa pembentangan tiada disentuh langsung oleh pembentang untuk melunas dan melangsaikan hutang. Begitu juga seolah-olah angka hutang dibiarkan ‘tersilent’. Sedangkan angkanya bertambah dari tahun ke tahun dan mengikut statistik terkini hampir menuju ke tahap yang dibenarkan. Jika melebihinya akan menuju kepada muflis. Inilah yang sepatutnya difikirkan oleh pemimpin utama negara supaya tidak terjerumus ke gaung bankrap seperti yang berlaku di Greece.
• Bajet hutang. Sebuah negara yang mengamalkan hutang sehingga menjadi kemestian mengingatkan kita falsafah karut ‘biar papa asal bergaya’. Bayangkan satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM4 ribu sebulan, tetapi setiap bulan perbelanjaannya 5 ribu sebulan dengan pelbagai aksesori dan keperluan yang tidak diperlukan sangat. Apa kata kita terhadap keluarga tersebut? Jawapannya kita hilang respek atau penghormatan dan nampak betapa keluarga tersebut gagal menguruskan ekonominya sendiri. Kita akan katakan kepadanya: Hai saudara ukurlah baju di badan sendiri. Inilah yang terjadi kepada negara kita. Hutang, hutang, hutang dan hutang….
• Semangat membayar hutang. Sejauh mana prihatinnya kerajaan dalam membayar hutang sama ada pokok atau bunga (ini kerana dasar ekonomi yang masih terbelenggu dengan sistem ribawi). Berdasarkan setiap kali belanjawan dibentangkan sudah hampir 14 tahun, sentiasa menambahkan hutang. Inilah penyakit dalam pemikiran pemimpin seperti ‘Pak Pandir’ yang berkata: ‘Bukan anak aku sahaja yang mati.’ Justeru, samalah seperti katanya: Bukan aku sahaja yang berhutang tetapi yang terdahulu pun berhutang. Soalnya bila mahu bayar hutang??? Kalaulah rakyat marhaen yang berhutang 10-15 ribu untuk PTPTN, pembelian motorsikal yang lambat bayar sudah pasti bank-bank mengejarnya hingga ke lubang cacing. Justeru, alangkah gembiranya rakyat jika dalam bajet dari tahun ke setahun sentiasa diumumkan pembayaran hutang melebihi dari berhutang seperti kata Menteri kewangan yang akan datang: “Tahun ini kita telah melangsaikan 40 bilion hutang negara. Begitulah setiap tahun yang menunjukkan komited dan ‘kebertanggungjawaban pemimpin yang berada di tampuk kuasa.”
• Bajet tambahan. Hampir setiap tahun kebelakangan ini akan dibentangkan bajet tambahan. Ini menandakan bertambahnya hutang negara. Soalnya mana dia pakar-pakar ekonomi yang begitu cerdik pandai, bertaraf profesor dan sentiasa menghadiri seminar antarabangsa tetapi setiap kali diamanahkan menggubal bajet, angka-angka yang besar dalam bajet tambahan menunjukkan jangkaan amat meleset.
Sudah sampai masanya sebuah keinsafan dipamerkan dalam hati yang takutkan Allah untuk menggubal dan melaksana bajet agar ia benar-benar memberi manfaat semaksimum mungkin kepada rakyat jelata dan negara.
• Mencontohi bajet berhemah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Sudah sampai masanya pemimpin negara merujuk kepada dasar-dasar ekonomi khalifah Islam yang berjaya seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mencatatkan kemasukan harta negara yang melimpah ruah sehingga boleh membantu pelbagai lapisan masyarakat dan rakyat. Hinggakan yang ingin berkahwin pun dapat dibantu. Inilah yang kita dambakan. Pastikan negara sifar hutang bahkan mampu memberi hutang dan membantu negara Islam yang lain.
Semoga bajet yang akan dibentangkan pada tahun hadapan dan seterusnya adalah bajet yang boleh membayar hutang dan melangsaikannya. Dengan iman dan takwa kita yakin pasti boleh kerana janji Allah akan membuka keberkatan-keberkatan daripada langit dan bumi.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan