Selasa, 13 Oktober 2026

Pangkat

 PENGALAMAN BEKERJA DI BAWAH 7 BOS PANAS BARAN DAN SUKA LEMPANG


Sepanjang 42 tahun berkhidmat dalam Tentera, saya pernah bekerja di bawah pelbagai jenis bos tetapi yang paling melekat dalam kepala otak saya ialah bos yang panas baran, kaki maki, kaki lempang dan kaki baling apa sahaja yang ada di depan mata.


Kalau hari ini orang bercakap tentang toxic leadership, saya cuma tersenyum. Kami dulu bukan setakat bekerja dalam persekitaran toksik, kami dah macam tinggal dalam loji nuklear Chernobyl! Setakat hantuk kepala dan tarik telinga tu sebagai tamda kasij sayang. Maki hamun itu sarapan pagi. Tengah hari kena lagi, itu makan tengah hari. Kalau petang kena lempang, itu kira minum petanglah. Saya nak cerita pengalaman bekerja di bawah tujuh orang bos yang cukup terkenal dengan perangai panas baran mereka. Nama-nama ini bukan calang-calang. Sebut sahaja, veteran tentera zaman itu pasti tersenyum. Ada yang mungkin terus teringat trauma lama!


BOS PERTAMA: CO YANG TAK PERNAH SENYUM - CODEWORD BADAK


Masa saya masih pegawai muda, CO saya seorang yang cukup garang. Saya tak pernah nampak dia senyum. Mungkin otot senyum dia dah pencen awal. Kalau kau buat kerja bagus, kena maki. Kerja tak bagus, kena maki. Datang awal kena maki, datang lambat lagilah kena maki.


Pendek kata, kau hidup pun salah, kau mati pun mungkin dia maki sebab tak minta kebenaran! Tapi CO saya ini ada satu kelebihan. Dia tak pernah pukul orang. Mulut sahaja puaka! Paling kelakar, kalau hari itu CO panggil dan maki kau, dengan bangganya kau akan balik ke mes pegawai dan mengumumkan, “Weiii, hari ni CO bercakap dengan aku!”. Pegawai lain akan datang bersalam, “Congratulations bro! Bertuah hang hari ni!”. Sebab bagi CO kami, maki itu sebenarnya cara dia berkomunikasi. Kalau dia tak maki, maknanya dia belum kenal kau!


BOS KEDUA: JENERAL ITEK


Belum sempat saya menikmati kehidupan aman, saya dipaksa pula menjadi ADC kepada Panglima Divisyen, Jeneral Itek. Ya Allah! Daripada mulut harimau, saya masuk pula ke dalam perut naga! Puas la auta bagi sebab nak tolak dari jadi ADC, tak boleh elak juga. Siapa tak kenal Jeneral Itek. Jangan kata kapten atau mejar. Panglima Briged pun boleh hilang telur kalau dipanggil menghadap beliau. Saya sebagai ADC, Memang sah jadi lauk harian. Setakat kapten, mejar dan leftenan kolonel, semuanya boleh terasa macam prebet yang baru keluar pusat latihan. Kalau Datin pun boleh kena tengking, apatah lagi saya yang cuma ADC!


Pernah dalam perjalanan, ada kereta memotong sayur staff car beliau. Terus diarahkan pemandu mengejar dan menahan kereta tersebut. Beliau turun dan mencekak leher pemandunya! Kalau terserempak lori kurang ajar di jalan raya, penumbuk dihulurkan melalui tingkap. Kalau sehari tak tiga kali tunjuk penumbuk, mungkin belum lengkap rutin harian. Saya yang duduk dalam kereta cuma berdoa, “Ya Allah, janganlah hari ni aku pula yang kena cekak leher.”Bekerja dengan beliau, saya belajar satu kemahiran penting, iaitu membaca perubahan cuaca pada muka bos. Sebab lepas tu dia dah duk diam dalam kereta, penumbuk pun tak keluar dah, sebab saya lagi gedebe dari dia, sy plak tunjuk penumbuk dari tingkap sambil arah driver, “Sjn kejar dan pintas, hari ni memang aku tibai orang”, tapi tak jadi sebab Jen Itek cakap dari sit blkg, “Dah dah tak payah, nanti ko masuk lokap plak aku yang susah tak ada ADC”. Ha ha ha.  


BOS KETIGA: JENERAL ISRAEL aka YAHUDI. 


Selepas itu saya pergi belajar di UKM. Saya ingatkan habis belajar, kehidupan akan kembali aman. Rupanya tidak! Saya ditempatkan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan. Bos saya Jeneral Yahudi. Nama gelaran pun dah Yahudi. Kau bayangkanlah kehidupan aku! Beliau seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan. Semua kerja mesti perfecto. Dia punya perfecto tu boleh buat ko gila meroyan. Cth; satu hari panglima besar mindef nak melawat formasi dia, ko bayangkan, tiang lampu tepi jalan dia suruh luruskan, gali balik yang mana tak lurus. Level dia tinggi. Satu hari baru saya tau kenapa org gelar di yahudi, dia kata kat saya, “aku ni yahudi yang latihkan”. Dia lulusan peg kadet singapore.


Salah satu titik, boleh jadi satu amukan yang panjangnya mengalahkan khutbah Jumaat. Maki hamun? Itu biasa. Kalau dia melengking, ko tahu ke melengking tu apa, sy penah tengok lt kol SO1 saya west point train pun menyorok bawah meja. Cuma kali ni semua dalam bahasa orang putih. Taklah terasa sampai ke urat telur. Saya pernah melihat sendiri suasana di rumah beliau. Apabila yahudi pulang, anak-anak cepat-cepat naik ke tingkat atas. Macam tikus nampak kucing!


Paling saya tak boleh lupa, ketika beliau hendak berangkat menunaikan umrah bersama keluarga. Sampai di kaunter lapangan terbang, tiba-tiba namanya tiada dalam senarai penerbangan bersama keluarga. Apa lagi! Petugas kaunter menjadi sasaran nak didebiknya. Nasib baik saya mengiringi beliau dan cepat cepat pintas dia sambil kata, “Sabar Dato, nak pergi tanah Tuhan, dia akan uji dari mula niat lagi”. Kalau tak pintas, kompom makan debil yahuid budak kaunter tu. Nasib baik masa tu saya ada awek MAS yang datang membantu menyelesaikan masalah. Kalau tidak, mungkin kaunter itu pun nak diterbangkan sekali ke Jeddah!


Garangx dia, dia naikka. pkt saya dari kapt ke mejar. Mejar pertama tanpa staff kolej kerja di mindef. Di pejabat, yang boleh masuk angin dengan dia hanya saya, CC en Nong dan Nenek (kak pah PA awam£, tu pun kena maki gak.


BOS KEEMPAT: JENERAL Al KARIM


Saya kemudiannya bertukar ke Sekretariat Darat. Bos saya kali ini Jeneral al Karim. Allahuakbar! Yang ini pakej lengkap. Mulut berjalan, tangan berjalan, kaki pun berjalan! Banyak rekod dia ni.  Kalau bos sebelum ini maki sahaja, yang ini ada demonstrasi praktikal. Ramai yang pernah menerima pelempang. Pemandu beliau pun tidak terkecuali. Saya sendiri sentiasa berhati-hati. Kalau masuk pejabat beliau, saya pastikan kedudukan pintu keluar sentiasa dalam ingatan. Ini bukan lagi office management. Ini dah masuk komando training. Akhirnya, setahu saya, beliau diberhentikan daripada jawatan susulan isu menampar anggota. Al karim ni, dia tak peduli ko dari mana, org awam pun dia maki.  Pengajaran besar di sini, pangkat tinggi bukan lesen untuk melempang orang. Walau sehebat mana pun seorang panglima, tangan tetap kena ada disiplin.


BOS KELIMA: JENERAL JACK


Selepas itu saya bertukar ke Cawangan Sumber Manusia sebagai PS2 Sel Pegawai. Bos besar ketika itu ialah Jeneral Jack. Siapa tak kenal Jeneral Jack? Jawatan saya pula memerlukan saya hampir setiap hari menghadap beliau. Aduhai! Salah pilih jawatan rupanya. AKS saya pun pernah kena baling fail. Kalau pegawai kanan pun kena, apatah lagi mejar macam saya!Yang paling susah dengan Jeneral Jack ialah membaca air mukanya. Dia senyum, kita takut. Dia serius, kita lagi takut. Dia ketawa, kita mula fikir dosa apa yang telah kita buat.


Dalam kalangan kami ada satu ungkapan, “Kalau Jeneral Jack ketawa, engkau bersedialah untuk menangis!” tapi Tun Mahathir dikatakan sangat menyukai beliau. Tetapi bagi kami yang bekerja di bawahnya, setiap kali dipanggil menghadap, tekanan darah boleh naik tanpa perlu makan gulai kambing!


Segarangx Jen Jack, dia naikkan pangkat saya dari Mejar ke Lt Kol. Terima kasih.


BOS KEENAM: JENERAL POLIN — KIAMAT DUNIA AKU!


Jeneral  Polin yang keenam. Selepas dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Sekretariat Darat, beliau menjadi bos nombor dua saya. Aduhhhh weiii! Belum habis saya menyesuaikan diri, tup tap tup tap, beliau menjadi pula Panglima Tentera Darat! Kiamat dunia aku! Dia ni, kalau makan siput sedut masak lemak, dia ssedut tapi siput tak keluar, ko kena maki. 


Jen ni suka buat leceh. Bila ada acara besarx, bila dia sampai, dia akan tengking dan makix dulu dengan kuat supaya semua orang demgar dan aware dia dah sampai. Ada satu kes tu, sy dgn peg komando yg bertugas di unit bukan komando, kami dua orang pakai green beret sebab masa tu walau tak tukar kor masih boleh pakai beret kdo. Sebab saya Pemangku Prah Sek Darat, saya dan peh kdo ni tggu dia sampai. Dia keluar ke kereta, menonong dia pergi kat kawan saya peg kdo, rabut beret dan baling dalam

parit, lepas saya plak kena, beret saya di rabut dengan lanyard sekali sambil dia menjerit, “ko ni askar melayu atau komando?”. Tu lah last aku pakai green beret.


Yang paling tak tahan, jen polin ni dia tak pilih siapa. Org luar ka, org dalam ka, dia balun semacam. Semasa perajurit muda berlatih sekali dengan konstabel polis, aku tengok peg polis ACP pun kena semacam je. Dia tak peduli orang sebab diri dia sendiri pun dia marah. Aku pernah tengok dia maki diri dia sendiri. 


Orang lain naik pangkat, aku yang rasa nak turun pangkat! Kalau sebelum ini saya mati sekali sehari, dengan beliau saya mati berkali-kali. Pagi mati, tengah hari hidup balik, petang mati semula. Nak cerita perangai Jeneral Polin ini, panjang sangat. Silap-silap boleh jadi satu buku. Kalau nak tahu, pergilah tanya anggota pasukan Para yang pernah berkhidmat di bawah beliau. Depa mesti ngeri punya!


Tapi Jen polin yang garang macam rimau sedang susu anak ni, tewas kepada dua benda iatu cucu dan kuching, dia jadi lembek mavam

agarx tak jadi dek terlebih air.


BOS KETUJUH: JEN SYED — SIAPA TAK KENAL?


Dan yang terakhir, takkanlah saya nak lupa Jen Syed. Siapa tak kenal? Nama beliau pun sudah cukup membuatkan ramai orang lama tersenyum sambil mengimbas kembali pengalaman masing-masing. Bekerja di bawah beliau memerlukan persediaan mental, fizikal dan emosi. Sebelum masuk pejabat, kita bukan sahaja semak fail dan dokumen, tetapi turut semak muka sendiri di cermin. Takut-takut muka nampak terlalu yakin, terlalu santai atau terlalu gembira. Semua itu boleh mengundang soalan tambahan!


Kalau beliau panggil, kita datang dengan penuh hormat. Kalau beliau diam, kita mula tertanya-tanya. Kalau beliau mula bercakap dengan nada tertentu, kita terus duduk tegak macam baru dengar arahan kawad. Ada masa, satu kesilapan kecil boleh menjadi kuliah panjang. Ada masa pula, satu jawapan yang kurang tepat boleh menyebabkan kita rasa mahu memohon pertukaran ke unit yang paling jauh.


Namun begitu, di sebalik ketegasan dan perangai panas baran itu, pasti ada pengalaman serta pengajaran yang boleh dibawa sampai hari ini. Jen Syed juga mengajar saya bahawa seorang ketua mungkin ditakuti kerana suaranya, tetapi hanya akan dihormati kerana keadilan, kebijaksanaan dan cara dia melayan orang bawahan.


APA YANG SAYA BELAJAR DARIPADA SEMUA INI?


Selepas melalui pengalaman bekerja dengan bos-bos panas baran ini, saya mendapat satu pengajaran yang cukup besar. Garang tidak semestinya tegas. Maki hamun bukan tanda bijaksana. Menampar orang bukan bukti keberanian. Ada bos yang terlalu garang sehingga orang bawahan tidak lagi berani memberitahu perkara sebenar. Mereka hanya memberitahu apa yang bos suka dengar. Inilah bahaya paling besar dalam kepimpinan. Apabila semua orang takut, organisasi mungkin nampak berdisiplin, tetapi sebenarnya sedang membina budaya menyembunyikan kesilapan.


Saya akui,  bos-bos panas baran ini sangat hebat dalam kerja, sangat bijak dan berjaya dalam kursus, dilatih di luar negara, berpengalaman dan mempunyai standard yang tinggi. Banyak perkara baik saya pelajari daripada mereka tetapi kehebatan profesional tidak semestinya membenarkan kelemahan akhlak kepimpinan.


Sepanjang 42 tahun, saya belajar bukan sahaja daripada perkara baik yang dilakukan oleh bos, tetapi juga daripada perangai buruk mereka. Bos bos dulu, depa ni baran saja tapi skandal tak dak, rasuah jauh sekali. Tang ni memang respect. Sebab tu bila sembang dengan askar, bab hantuk kepala dengan tarik telinga, kami gelak je. Bukan kami sembang kencang tapi sebab dah majai dengan memdax mcm tu, lebih ganas lagi pun ada. Jadi jangan la terasa hati kalau saya tulis kes KP AKPS tu hal terpencil, kecik je, settel je sesama polis. Boleh je setel sesam kita demi tugas, demi negata dan demi semangat uniform. Kalau tak boleh juga, ikut suka korang la.


Apabila saya sendiri menjadi Panglima Briged, saya berusaha supaya anggota tidak perlu takut untuk berjumpa saya. Saya tidak mahu pegawai dan anggota pulang ke rumah dengan tekanan hanya kerana dimaki atau dimalukan oleh ketua. Saya mahu mereka menghormati saya kerana kepimpinan, bukan kerana takut kena lempang. Satu perkara yang saya pegang, orang bawahan bukan tempat bos melepaskan kemarahan akibat masalah peribadi.


Hari ini, apabila mengenang kembali pengalaman tersebut, saya boleh ketawa. Tetapi dahulu, ketika menghadap mereka, nak kentut pun kena fikir dua kali!


Akhir kalam, saya bersyukur pernah bekerja dengan mereka semua. Mereka mengajar saya dua perkara penting iaiyu bagaimana menjadi seorang pemimpin yang berkesan, dan bagaimana untuk TIDAK menjadi seorang pemimpin yang dibenci. Pangkat boleh memaksa orang memberi tabik hormat, tetapi pangkat tidak boleh memaksa orang menghormati peribadi kita. Satu lagi, kalau bos kau hari ini jenis suka senyum, bercakap elok dan tak pernah baling fail, bersyukurlah. Kau belum pernah merasa bekerja dalam kandang harimau!


Saya berpesan pada peg dan staf saya, “Orang hormat kita kerana jawatan kita, tanpa jawatan, kita bukan sesiapa”.


PENA CEL0RENG

42 tahun dalam tentera. Tujuh bos panas baran. Beribu kali kena maki. Alhamdulillah, masih hidup dan boleh epi epi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan