Lihat alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia. Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.
Kulit, daun, akar, pucuk dan segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.
Ketika segala-galanya diciptakan untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.
Persis bekalan dan alat kelengkapan pada seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan bekalan.
Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.
Jangan disalah gunakan, kerana segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu. Alam ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.
Alam adalah layar yang memancarkan kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda ('sign') yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.
Dua misi besar itu sangat berat dan sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya. Firman Allah:
"Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." Al Ahzab 33:72
"Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." Al Ahzab 33:72
Gunung, langit dan bumi tidak sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi 'pembantu' manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi 'Guru' dalam sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga. Sedarkah kita?
Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan