Sabtu, 29 Disember 2012

Muliakan tetamu mu...


Sewajarnya kita meraikannya sebagai tetamu di rumah Allah, mudah-mudahan dia mendapat hidayah dan seterusnya memeluk Islam tanpa banyak soal.

Menyingkap keutamaan memuliakan tetamu, Abu Hurairah meriwayat sebuah hadis: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Muslim) Pernah diriwayatkan bahawa Allah pernah menegur Nabi Sulaiman AS kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu daripada orang kafir, baginda tidak sepenuh hati memulianya.


Baginda merasa tidak perlu memuliakan tetamu itu seperti memuliakan tetamunya daripada sesama pengikut. “Disebabkan ia bukan umatku yang beriman,” begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya.


Setelah tetamu itu pulang, datang malaikat Jibril AS menyampaikan teguran Allah yang bermaksud: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu? Jawab Nabi Sulaiman: “Bukankah dia (tetamu itu) daripada golongan kafir?” Jibril bertanya lagi: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?” Lantas Nabi Sulaiman menjawab dengan yakin: “Allah.” Lantas ditanya lagi oleh Jibril: “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?” Dan Nabi Sulaiman tetap dengan jawapannya: “Allah.” Seterusnya Jibril bertanya: “Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan?” Tetap dijawab dengan jawapan sama oleh Nabi Sulaiman iaitu: “Allah.” Jibril bertanya lagi: “Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?” Dan Nabi Sulaiman tetap dengan jawapannya: “Allah.” Jibril terus berkata: “Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Mendengar soalan Jibril, Nabi Sulaiman terdiam dan terus bersujud. Baginda kemudian mengejar orang kafir itu tadi seraya meminta maaf kepadanya selepas menyedari kesilapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan