Sabtu, 21 Disember 2013

taman cinta

Yang kaya terus menambah kekayaan. Sedangkan yang miskin terus dihimpit penderitaan. Apabila jurang pendapatan antara si kaya dan si miskin makin luas maka timbullah hasad pada diri si miskin dan takbur dalam hati si kaya. Lalu hasad dan takbur pun ‘bertempur’.
Akibatnya, runtuhlah persaudaraan, suburlah persengketaan. Jika dalam organisasi, hilanglah ukhuwah. Jika dalam masyarakat, meningkatlah jenayah.  

“Aku layak menikmati kekayaan ini kerana usaha ku,” kata si kaya.  
“Tapi kau kaya dengan bantuan keringat ku, “ balas si miskin.
Aku yang sejak tadi terus memerhati. Dialog maraton antara si kaya dan si miskin. Taman indah lokasi pertemuan itu ‘terbakar’. Dialog itu meresahkan. Ah, aku jadi rindu pada pertemuan si miskin yang sabar dan si kaya yang syukur… walaupun bukan di sebuah taman.    
“Aku mampu. Aku boleh menukar kereta ku. Tahun hadapan aku akan beli beberapa lagi daripada model terbaru.”
“Kau lihat satu-satunya motosikal cabuk ku. Tahun hadapan ia akan menjadi besi buruk. Di mana simpati dan empati mu?”
Aku diusik untuk berfikir. Pertembungan rasa antara si kaya dan si miskin bukan baru. Ia sudah lama berlaku dalam sejarah peradaban manusia. Dan ia juga turut terjadi dalam sejarah kehidupan Rasulullah dan para sahabatnya. Terbayang semula kisah pengaduan si miskin kepada Rasulullah SWW:

Pada suatu hari, serombongan fakir miskin daripada golongan Muhajirin datang mengeluh kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang kaya mengaut dan membolot semua pahala sehingga mereka mencapai darjat yang paling tinggi.”

Lantas Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa kamu berkata demikian?” Ujar mereka: “Mereka menunaikan solat seperti kami bersolat, mereka pun berpuasa seperti kami berpuasa, mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka pula memerdekakan hamba, pada hal kami tidak memiliki kemampuan untuk berbuat demikian.”

Selepas mendengar keluhan golongan fakir miskin tadi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat mengejar dan mengatasi mereka dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kamu, kecuali orang yang berbuat seperti perbuatan kamu itu?” Jawab mereka dengan bersemangat: “Sudah tentulah, Ya Rasulullah. Kemudian Nabi SAW berkata lagi: “Bacalah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali sesudah selesai solat kamu. 

Selepas menerima pesanan Rasulullah SAW, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dan terus melaksanakannya. Tidak lama kemudian, golongan fakir miskin pun datang kembali menghadap Rasulullah SAW sambil merintih: “Ya Rasulullah! Saudara kami orang kaya mendengar dan melihat perbuatan kami, lalu mereka pun berbuat seperti perbuatan kami. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kurnia Allah SWT diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (Riwayat Bukhari) 

Subhanallah, satu kesah yang hebat. Pertembungan antara sahabat yang kaya dan miskin ketika itu bukan kerana hasad dan takbur. Namun kerana ibadah dan jihad. Perlumbaan untuk sama-sama merebut cinta Allah. Si miskin ‘cemburu’ kerana si kaya dapat merebut lebih banyak pahala. Sedangkan si kaya bukan sahaja tidak takbur, malah terus bersaing dengan si miskin dalam memburu.

“Wahai si miskin…, “ laung ku sambil melambai tangan memanggil. Si miskin pun datang, “ada apa tuan hamba? Apakah ada harta untuk diberikan pada hamba?”
“Tidak ada harta. Cuma aku akan ceritakan jalan untuk mendapat pahala.”
Si miskin mencemikkan mukanya.

“Kalahkan si kaya itu dengan sabar mu!”
Si miskin terus memasamkan muka.
“Pergi ke masjid, pergi ke tempat-tempat yang baik,  buatlah kebajikan dengan motosikal mu.  InsyaAllah, motosikal cabuk yang membuat kerja kebaikan dan kebajikan lebih baik di sisi Allah berbanding kereta besar yang membesarkan ego tuannya.”       

“Aku benci pada si kaya yang licik memanipulasi dan mengeksploitasi kaum marhaen seperti kami. Dia mengaut isi, sisa kuah dicampakkan kepada kami. Aku benci pada nepotisme dan kronisme dalam skala mikro dan makro.”

Subhanallah. Si miskin ini bukan orang sembarangan. Dia seorang pejuang rupanya. Tetapi dia pejuang yang marah. 
“Aku boleh kaya kalau rela jadi pembodek. Tapi aku ingin jadi pejuang seperti Che Guevara, tapi bukan sisi komunisnya. Musuh ku sama. Semua kapitalis, jenama agama atau nasionalis!”
“Abu Zaar RA sahabat Rasulullah, juga penentang tegar kemewahan dan pembaziran. Bukan kerana hasad, tetapi kerana jihad. Tegurannya tajam, atas kebimbangannya bahana kekayaan yang boleh merosakkan agama dan cinta Allah.”

“Tuan hamba, lihat sahaja Sang Kapitalis itu… bila terguris sedikit sahaja daripada keuntungannya, kami yang di bawah ini akan jadi mangsanya. Pendapatan kami yang memang sudah sedikit itu yang dikurangkannya.”
“Carilah ketenangan, bukan kesenangan… kualiti jiwa mu bukan kuantiti harta mu,” pujuk ku.  
“Ini sudah takdir. Begitu nasihat tuan hamba?”

“Jangan miskin jiwa, walaupun terpaksa miskin harta. Berjuanglah menentang kemiskinan tetapi jangan hasad kepada si kaya,” balas ku perlahan.
“Rumah kami sempit dan terhimpit sedangkan Si kaya itu terus mengumpul harta dan menambah bilangan tanah.”

“Biarlah. Fikirkan keluasan kubur mu. Jangan disempitkan oleh dosa mu. Luaskan kuburan dengan zikir dan Al Quran.”
Si miskin itu menggeleng-gelengkan kepala. Lalu berlalu dengan berkata, “lawan tetap lawan!
“Duhai Si kaya…” laung ku. Kali ini memanggil si kaya. Dia menoleh angkuh.
“Kau memanggil aku?” jeritnya dari jauh.

Aku mengangguk.
“Apa yang kau mahu? Minta sedekah? Minta derma?” tanya si kaya sebaik sahaja bertemu muka.

“Aku hanya ingin berbicara…” ujar ku pendek.
“Bicara yang produktif sahaja. Aku kesempitan waktu untuk cakap-cakap kosong. Banyak temu janji ku dengan atasan.”

“Aku hanya ingin sembang-sembang tentang kasih sayang dan persaudaraan.”
“Kau dengar cakap ku… Aku kaya kerana usaha ku. Aku ternama kerana pernah susah. Marhaen itu malas dan suka memberontak. Layak mereka miskin dan terhina. Aku tak perlu kasih sayang mereka, yang aku perlu hanya keringat mereka. Itu pun aku membayarnya!”   
“Kekayaan bukan anugerah tapi amanah. Untuk memberi lebih banyak bukan untuk terus menambah dan menambah.”

“Salahkah aku menambah harta? Salahkah aku jadi kaya? Semuanya halal.”
“Halal itu dihisab. Memang tidak salah tetapi fitnah harta sangat berbahaya. ”
“Aku juga faham agama. Aku juga menambah ibadat. Aku juga mencari pahala dengan solat sunat, sering berpuasa, melaksanakan umrah dan berzikir…  ”
“Bagaimana usaha mencari pahala dengan harta mu?”
“Aku pilih ibadah yang tidak pakai modal. Itu lebih menjimatkan. Pahala pun dapat. Duit pun selamat. Solat, puasa, zikir… ”

“Kalahkan si miskin itu dengan ibadat yang mereka tidak mampu buat!”
“Apa dia?”
“Beribadah dengan harta mu… Keluarkan zakat, sedekah, wakaf, tambah gaji pekerja-pekerja mu, bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan. Kata Imam Ghazzali itulah ibadah yang utama bagi orang kaya selepas ibadah-ibadah wajibnya. ”
“Tapi ingat aku selalu mengerjakan umrah. Itu pun pakai duit juga…”
“Mari ku ceritakan kesah ini…”

Lalu aku pun bercerita:
“Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Al Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”

“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.

“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham  itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.

“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”


Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung  sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr (gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”

Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhah, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Mendengar cerita itu Si kaya itu menggeleng-gelengkan kepala. Enggan. Lalu dengan keras dia berkata, “Harta ku adalah milik ku dan keluarga ku!” Dan Si kaya yang Takbur dan Si miskin yang hasad pun terus bertempur…

Apakah taman cinta itu akan terus terbakar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan