Keluhan seorang Profesor Jusa B, bekas Dekan dari sebuah IPTA
SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.
Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernahmenyandang jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya berpendapat bahawa saya berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.
Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi (Key Performance Indicator – KPI) mereka akan dinilai. Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan “rangking dunia,” maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa (SCOPUS dan ISI).
KPI Pensyarah Malaysia Mengikut ketentuan Kuasa Barat?
Masalah ini kian parah apabila jurnal SCOPUS dan ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan pengiktirafan SCOPUS dan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa pengiktirafan SCOPUS dan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia yang lain.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.
Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak KPT ialah memberi pengiktirafan kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh universiti mahupun institusi tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras “malas” atau “sakit” sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.
Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.
Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (pra-universiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.
Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaik taraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.
Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.
Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan bekas Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato’ Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh membela nasib guru.
Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.
Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf SCOPUS dan ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan SCOPUS dan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar “rangking” dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada.
Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok ke-100 dalam “rangking” dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah “kegilaan” mengejar “rangking” dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri.
Tugas Pensyarah Lebih Berat Daripada Guru , Tetapi Gaji Guru Lebih Lumayan!
Kepada KPT, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama universiti tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke universiti swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.
Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan “Surat Pembaca” Berita Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan profesor atau pengarah di universiti?
Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada universiti mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?
Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.
Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya menginsafi falsafah Melayu “kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya.
Gaji Pensyarah Malaysia VS Gaji Pensyarah Warga Asing?
Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apa-apa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan