Seorang Professor daripada sebuah universiti memberi amaran dengan katanya: “Sebelum anda menyertai Himpunan Bersih, lihat terlebih dahulu siapa ketuanya. Ketuanya adalah seorang Hindu, sudahlah Hindu, dia juga merupakan penyokong kuat kepada ideologi kesamarataan agama”.
Itu dia amaran daripada seorang professor. Tak sangka ramai juga rupanya profesor-profesor kangkung di Malaysia.
Saya ingin menjelaskan dengan tegas di sini bahawa, andainya ditakdirkan Abu Jahal yang digelar sebagai Firaun Umat Nabi Muhammad sekalipun mengetuai Himpunan Bersih, itu tidak menjadi masalah kepada orang Islam untuk menyertainya.
Ya, saya ulangi, andainya Abu Jahal sekalipun yang memimpin Himpunan Bersih, itu tidak menjadi masalah untuk disertai.
Ada baca cerita dengan Hilful Fudhul?
Zaman Jahiliyyah dulu sebelum Nabi diutuskan, berlaku Hilful Fudhul, satu himpunan kaum untuk menyatakan kata sepakat menuntut semua kaum untuk menjaga kebajikan tetamu yang bertandang ke Makkah. Tiada kezaliman boleh dilakukan terhadap mana-mana individu yang datang menziarahi kaabah. Mana-mana kaum yang buat kacau maka kaum itu layak diambil tindakan oleh kaum lain.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pada zaman mudanya menyertai himpunan tersebut. Setelah diutuskan sebagai seorang rasul, Nabi dengan banggannya mengatakan:
شَهِدْتُ حِلْفَ بَنِي هَاشِمٍ ، وَزَهْرَةَ ، وَتَيْمٍ ، فَمَا يَسُرُّنِي أَنِّي نَقَضْتُهُ وَلِيَ حُمْرُ النَّعَمِ ، وَلَوْ دُعِيتُ بِهِ الْيَوْمَ لأَجَبْتُ عَلَى أَنْ نَأْمُرَ بِالْمَعْرُوفِ ، وَنَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ وَنَأْخُذَ لِلْمَظْلُومِ مِنَ الظَّالِمِ
Maknanya: Kalau Nabi diajak menyertai himpunan tersebut setelah Islam datang pun Nabi akan pergi.
Soalnya, siapa yang ada dalam himpunan di Mekkah tersebut??? Mereka yang ada di Mekkah menyertai himpunan tersebut termasuklah Abu Jahal, Abu Lahab, dan segala bangsawan Quraish yang berada di Mekkah yang menentang Islam kemudiannya.
Nabi sanggup pergi? Ya Nabi sanggup walau dalam himpunan tersebut ada Abu Jahal dan segala kepala-kepala puak Quraish yang lain.
Takder hal langsung bro. Nabi pandai membezakan keadaan. Letakkan sesuatu isu di tempatnya. Ketika berhadapan dengan isu yang menjejaskan Islam, mereka adalah musuh. Tetapi ketika berhadapan dengan isu kebajikan tetamu yang bertandang ke Makkah, maka mereka adalah rakan.
Lihat bagaimana Nabi seorang yang cerdik dapat membezakan sesuatu perkara mengikut tajuk dan isu mengikut tempat. Bukan semberono bermusuhan tanpa tahu tajuk dan tempat.
Itu beza antara orang yang jahil dengan orang yang cerdik.
Orang jahil ni, dia melihat semua perkara sama. Dia tak mampu membezakan masalah mengikut tajuk. Pendek kata tak profesional langsung.
Orang cerdik pula, dia melihat sesuatu perkara itu mengikut keadaan dan tempat. Tidak semua sama. Dan dia mampu membezakan perkara mengikut tajuk. Pendek kata dia profesional.
Tapi sayangnya di Malaysia, status dah tahap profesor, tapi gagal membezakan masalah mengikut tajuk.
Apa sebenarnya isu dalam soal himpunan bersih ini??? Isunya adalah tuntutan berkenaan pilihan raya. Yang pergi campur aduk pasal islam dengan kafirlah, pasal orang melayu berpecahlah, pasal komunislah apa kejadahnya???
Soalnya adalah pilihan raya. Tajuk yang perlu dibincangkan adalah tajuk tentang pilihan raya. Sejauh mana bersihnya sistem pilihan raya di Malaysia?
Ada orang berkata pilihan raya dah bersih dah pun, pembangkang dah menang 5 buah negeri lagi pilihan raya umum lepas.
Soalnya, kalau anda yakin pilihan raya dah bersih sekalipun, kenapa anda begitu takut dengan himpunan dan tuntutan yang dibuat tersebut? Sampai baju kuning pun nak diharamkan apa kes?
Orang yang tak bersalah, biasanya tak takut, orang yang bersalah jer biasa yang gabra. Ni siapa yang bersalah dan siapa yang tak bersalah ni?
MASALAH SERATUS PERATUS
Berkata pula seorang ustaz: “Saya tidak menyokong dan tidak akan menyertai Himpunan Bersih sebab himpunan tersebut melibatkan perkara-perkara mungkar. Perempuan tak tutup aurat pun ikut perhimpunan tu, orang yang tak sembahyang pun ikut, bla bla bla”.
Katanya lagi “Kalau himpunan itu 100 peratus bersih daripada perkara mungkar, dijamin tiada huru-hara, dijamin tiada itu dan ini…ba bla bla, barulah saya akan sokong dan ikut”.
Ada jugak rupanya ustaz yang buat poyo. Ustaz-ustaz macam ni elok dinasihatkan hidup di hutan belantara jer lah senang.
Yalah, tak nak terpalit walau satu dosa pun kan, Pergi duduk kat hutan sorang-soranglah.
Ni adalah contoh masalah mentaliti mereka yang nak jadi malaikat, bukan nak jadi manusia yang baik.
Maslahah yang besar, lebih diutamakan daripada maslahah yang kecil. Mana besar antara maslahah untuk umat dan negara dengan maslahah untuk diri sendiri?
Sedangkan dalam muamalat pun, ulama mengharuskan apa yang dipanggil sebagai “gharar yasir” atau kalau diterjemahkan sebagai penipuan yang sedikit yang berlaku dalam jual beli yang susah nak dielakkan.
Contoh 1:
Anda beli buah-buahan seperti durian mengikut kilo, anda beli kulit atau beli isi? Tentunya anda membeli isi yang boleh dimakan, tapi anda membayar harga termasuk harga kulit yang langsung tidak anda makan?
Bukankah itu satu penipuan??? Bukankah jual beli yang sah adalah jual beli tanpa penipuan??? Ya jual beli yang sah adalah jual beli yang tiada penipuan, tapi penipuan yang sedikit sebegitu dimaafkan.
Contoh 2:
Anda masuk Hammam dengan membayar 10 Dirham. Anda mempunyai hak untuk mandi menggunakan sebanyak mana liter air sekalipun, untuk berada beberapa jam sekalipun dalam Hammam tersebut. Orang lain yang hanya mandi beberapa ketika dan terus keluar pun turut membayar harga yang sama seperti anda.
Tidakkah ini satu ketidak adilan dan penipuan dalam urus niaga? Bolehkah seorang berkata kepada anda bahawa ini tidak adil dan merugikan tuan punya Hammam. Tidak, ulama mengharuskan hal tersebut.
Contoh 3:
Anda menaiki bas ke bandar dan membayar tambang sebanyak 4 dirham. Jarak rumah anda ke bandar adalah 20 km. Mereka yang menaiki bas tersebut dari jarak 30 km pun turut membayar 4 dirham, juga mereka yang menaikinya dari jarak 5 km sekalipun.
Tidakkah ini merupakan satu penipuan dan ketidak adilan dalam urus niaga? Tetapi hal sebegini dimaafkan oleh ulama kerana termasuk dalam bab Al-gharar Alyasir.
Justeru, kalau ada ustaz yang berkata: “Saya takkan berurus niaga kecuali urus niaga itu 100 peratus bersih daripada sebarang penipuan”, maka saya anggap ustaz begitu hanya memalukan title ustaz yang dipegangnya. “Ek’eleh buat poyo pulak mamat ni” bak kata budak-budak muda.
Saya teringat kepada Abdullah Bin Umar yang menjawab seorang lelaki daripada Iraq yang datang bertanyakan hukum darah nyamuk. Abdullah Bin Umar dengan penuh sindiran terhadanya berkata:
“Kamu sibuk bertanya soal hukum darah nyamuk, tapi darah cucu Nabi yang dibunuh di Iraq tidak pula kamu mahu tanyakan hukum”.
Perumpamaan mudah lainnya adalah orang lain sibuk membincangkan soal kahwin dan bagaimana perkahwinan itu mendatangkan manfaat kepada pemuda dan pemudi, menggalakkan pemuda supaya berkahwin dan sebagainya, tetapi dia sibuk membincangkan soal perkahwinan itu bakal dicampuri kemungkaran seperti bersanding bla bla bla…
“Ana nasihatkan enta jangan kahwin sebab akan ada kemungkaran dalam majlis kahwin nanti, sepupu perempuan enta yang tak pakai tudung tu mesti datang, budak-budak muda kampung yang tak sembahyang pun confirm datang jugak, banyak kemungkaran tu, enta bersubahat sekali. Jadi janganlah kahwin, kalau nak kahwin pun buat senyap-senyap jerlah ataupun kahwin lari”.
Kah kah kah…alangkah tempangnya pemikiran ustaz-ustaz hingusan ini.
AKHIRNYA…
Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya ulas setelah membaca dan mengumpul hujah-hujah dangkal yang keluar di dada-dada akhbar, tetapi lain kali sajalah apabila terasa rajin.
Renungkanlah kata-kata Serikandi Islam ini kepada pemuda-pemuda Islam:
قَالَتِ الشِّفَاءُ ابْنَةُ عَبْدِ اللَّهِ، وَرَأَتْ فِتْيَانًا يَقْصِدُونَ فِي الْمَشْي وَيَتَكَلَّمُونَ رُوَيْدًا، فَقَالَتْ: مَا هَذَا؟ فَقَالُوا: نُسَّاكٌ، فَقَالَتْ : كَانَ وَاللَّهِ عُمَرُ "إِذَا تَكَلَّمَ أَسْمَعَ، وَإِذَا مَشَى أَسْرَعَ، وَإِذَا ضَرَبَ أَوْجَعَ، وَهُوَ النَّاسِكُ حَقًّا".
Berkata Syifa’ Binti Abdullah setelah dia melihat pemuda yang berjalan secara lemah dan bercakap secara perlahan dengan katanya siapa mereka ini? Mereka berkata : Kami adalah golongan ahli ibadah.
Lalu Syifa’ berkata: “Umar Al-Khattab demi Allah merupakan seorang yang, apabila dia bercakap, tajam sekali ucapannya. Apabila dia berjalan, laju sekali langkahnya, Apabila dia memukul, perit sekali pukulannya, tetapi dialah yang paling hebat ibadahnya berbanding kalian”.
Itu teguran daripada seorang serikandi Islam pada zaman tersebut kepada pemuda-pemuda Islam yang lembik longlai. Buat malu kaum jer.
Buat mereka yang menentang mana-mana himpunan aman yang ingin diadakan oleh mana-mana rakyat Malaysia walau siapapun mereka, maka saya katakan kepada mereka……
Tiada ulasan:
Catat Ulasan