Ahad, 17 Julai 2011

masalah

apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku "Tough Times Never Last, But Tough People Do" oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah  orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5.  Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata "Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya".

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis
Kamaruddin Hassan merupakan seorang ahli perniagaan dan penulis yang disegani dalam dunia online. Salah satu produk yang dihasilkan adalah Panduan Menulis E-Book Pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan